Kami tuliskan untukmu akhi fillah.
Seorang akh bertanya,
"Masih ingatkah durah pertama
kita dulu dulu, sewaktu kita sama-sama menghadiri ISK ?"
Persoalan itu dimatikan disitu. Ia
mengajak kesemua ikhwah yang membaca pesanan ringkas di pagi yang baharu sahaja
menampakkan dirinya, mengambil masa masing-masing untuk melakukan renungan ke
atas diri sendiri, dengan renungan yang tajam dan mendalam.
Begitulah.
Pengalaman adalah sejarah. Seorang
tokoh pula pernah menitipkan pesanan kepada kita;
“Sejarah adalah tentera Allah yang
menguatkan”
Tidak ada yang tidak benar akan
statement ini. Barangkali, kenyataan ini
mampu menjawab persoalan yang bermain di benak fikiran sebahagian daripada
kita, mengapakah hampir 70% persen daripada ayat ayat Quran berbicara tentang
kisah kisah, sama ada kisah para Anbiya yang mendahului Nabi saw, cerita umat
terdahulu, cerita ikon hamba Allah seperti Lukmanul Hakim, Zulkarnain dan
banyak lagi cerita yang berselerakan sepanjang tiga puluh juzuk Quran itu. Dan
antara sekelian banyak cerita itu pula, kisah Nabi Musa a.s mendominasi
bahagian yang besar kisah dalam Quran.
Ada beberapa hikmah yang dapat kita
sama-sama fikirkan.
Pertamanya, kisah-kisah yang
dipetakan dalam Quran ini menjadi dalil aqli bahawa Quran itu bukan rekaan
Rasulullah saw kerana ia membariskan cerita cerita umat terdahulu, yang
mustahil Rasulullah saw mengetahuinya jika dia manusia biasa. Keduanya, Quran
ini tidak dibanjiri dengan kisah Rasulullah sendiri. Jika Rasulullah mencipta
al Quran untuk menjadi bahan rujukan pengikutnya, pastilah ia penuh dengan
cerita tentang dirinya, pasti ia ‘syok sendiri’ dalam mengkaryakan kitab itu.
Selain itu, sejarah dan pengalaman
yang lampau ini telah menjadi aset pengalaman yang berharga buat Rasulullah,
para sahabat dan mereka yang datang kemudian yang mengikuti jalan tarbiyah dan
dakwah ini. Ia adalah sejarah, tentera Allah yang menguatkan. Sebagaimana satu
firman ini;
“Dan kesemua kisah dari rasul Kami
ceritakan kepadamu, ialah kisah kisah yang dengannya Kami teguhkan hatimu, dan
dalam surat ini telah datang kepadamu kebenaran dan pengajaran dan peringatan
bagi orang-orang yang beriman”
(Hud :120)
“Dengannya Kami teguhkan
hatimu…”
Tidak perlulah kita perpanjangkan
lagi betapa benarnya sejarah dan pengalaman ini mampu menguatkan hati. Hati.
Hm. Ia merupakan makhluk yang unik. Ia merupakan raja kepada seluruh jasad
bagaimana sabda Nabi saw dalam satu hadis yang cukup makruf. Dan raja kepada
badan ini pula sangat cepat bolak baliknya.
Ada yang mengatakan,
“Hati lebih cepat berbolak balik
daripada air yang menggelegak”
Perumpamaan yang sangat baik!
Akhi fillah,
Begitulah di jalan dakwah ini,
tatkala sudah melewati sebahagian perjalanan dan menempuh sesuatu jarak, kita
mula merasai kelainannya. Permulaanya adalah sesuatu yang menggembirakan
tatkala kita dipertemukan dengan hamba hamba Allah yang soleh, mencuba cuba
benda baharu, menikmati hidup di bawah bayangan al Quran dan sebagainya. Namun
entah kenapa, setelah satu tempoh waktu, kemanisan dan kebasahan itu sedikit
demi sedikit telah hilang.
Sehinggakan symptom terakhir yang
sungguh membuatkan kita terkilan, kita dapati rakan kita yang dahulunya duduk
bersila bersama dalam halaqah mingguan telah pun menarik diri dari jalan
dakwah. Di waktu yang lain, kita dapati ikhwah yang pernah menjadi mas’ul
peringkat daerah bahkan nasional sudah tidak dapat dihubungi. Rupanya sudah
menjalani kehidupan seperti hamba hamba Allah yang lain.
Begitulah kesan hati. Bolak
baliknya itu sungguh cepat dan tidak dapat disangka-sangka. Barangkali inilah
alasan terbesar kenapa kisah kisah terdahulu membanjiri isi al Quran, dibawakan
dalam bentuk dan tema tema yang berbeza-beza. Seolah olahnya, pada waktu
pertama kali al Quran diturunkan, dapat kita agak bahawa masyarakat Muslim yang
terbaik ketika itu mengalami konflik dalaman dan krisis bolak balik hati. Ia
adalah sunahtullah di jalan dakwah.
Sebab itu kami ingin mengajak kita
semua merenung kisah kisah terdahulu. Kita cuba himpunkan sekelumit cerita
daripada mereka yang terlebih dahulu menapaki jalan ini untuk menjadi sumber
kekuatan buat hati hati kita. Kami cuba usahakan sedaya mungkin mendapatkan
kisah kisah terbaik ini untuk tatapan kami dan kalian. Usaha yang tidak
seberapa ini adalah sangat minimal. Selebihnya kita serahkan kepada Allah swt.
Sheikah Muhammad Ahamad ar Rashid
pun telah melakukan perkara yang sama. Dalam karyanya yang bertajuk,
‘Tazkiratun Naqib’ beliau menulis satu subtopik yang bertajuk Mengingatkan
Detik Permulaan.
Marilah kita renungkan kembali kata
al akh tadi;
"Masih ingatkah durah pertama
kita dulu dulu, sewaktu kita sama-sama menghadiri ISK ?"
Akhi Fillah,
Sungguh kami menantikanmu kembali.
No comments:
Post a Comment