Pengalaman bukanlah dalil untuk menghalalkan sesuatu
tindakan. Ia prinsip yang mahal, yang wajar dihadam oleh kita semua, lebih
lebih lagi yang bergelar duat, termasuklah ahli ahli gerakan Islam. Saya cuba
untuk mendisiplinkan diri untuk tidak menulis sebarang komentar mahupun artikel
berkenaan perkelahian antara warrior Islam kita belakangan ini. Banyaknya,
keyboard warrior sahaja.
Tetapi entah mengapa, malam ini tangan yang gatal ini seakan
tidak dapat digaru lagi. Eh. Mudah-mudahan hasil nanti tidak dibusuki al hawa.
Imam Hassan al Banna ada menggariskan 20 prinspip asas
memahami Islam, yang mana prinsip kedua adalah berkenaan sumber dalam Islam,
yakni al Quran dan hadis. Ia adalah sumber memahami hukum hukum dalam Islam
yang disepakati. Cara untuk memanfaat kedua-dua sumber ini pula dijelaskan
dengan ringkas dalam tulisan beliau itu.
Ia cukup berguna hari ini bahkan sampai kapan pun.
Quran dan hadith sebagai sumber, bukan sahaja dalam hal hal
yang jelas ‘keislamannya’ seperti ibadah khusus solat, zakat, menunaikan haji
umrah dan umpamanya, tetap juga dalam kita bermuamalah dengan manusia, dalam
kita berakhlak, dalam kita merespon.
Kita sering dengar hujah hujah yang tidak masuk akal dari
perbuatan membalas respon yang tidak berakhlak;
“Saya buat begini sebab dia pun buat begini dahulu”
“Ah, menangkan musuh. Dia buat tidak apa, saya buat tidak
boleh”
“Tengok tu, diorang pun buat ok je…”
“Tok imam pun buat, apa salahanya…”
“Dia yang mulakan dahulu..”
“Dia putar belit fakta tidak apa, bila kita putar sikit dia
berang pula..”
Ayuh kita lakukan pertaubatan nasional.
Merespon serupa dengan pihak lawan bukan dari ajaran Islam. Apatah
lagi menjadikan respon awal pihak lawan yang tidak mengenal Islam itu sebagai
dalil untuk menjustifikasi tindakan kita, jauh menyimpang dari saranan Islam.
Pengalaman kita ditipu tidak meghalalkan kita untuk menipu
balas kepada orang yang sama apabila kita berpeluang untuk melakukannya. Pengalaman
kita difitnah juga tidak menghalalkan kita untuk melakukan fitnah balas. Ya,
darah dengan darah. Tetapi ia tidak applicable dalam semua perkara, lebih lebih
lagi apabila perkara tersebut terang terangan dibenci oleh ajaran Islam.
Bukankah hukum alam juga begitu? Fitnah jika dilawan dengan
fitnah, sampai bila pun masalah tidak akan selesai. Label jebon bertemu dengan
label lebai kampung tidak membawakan kita ke mana. Bahkan ada yang lebih buruk,
yang malu untuk saya nukilkan di sini. Masakan api dapat dipadamkan dengan api.
Sebab itu kita belajar, hukum tarikan magnet, kutub yang sama sering
bertentangan. Sebaliknya yang berlainan itu yang saling menarik, mendekat dalam
dekapan ukhuwah. Bukankah magnet pun diciptakan untuk manusia?
Sedikit sekali yang mengambil pelajaran!
Sakitnya, itulah krisis yang kita hadapi hari ini. Semangat perjuangan
yang meluap luap pada jiwa pemuda, tetapi tidak diuruskan dengan ilmu dan
kefahaman dengan baik akhirnya hanya memenangkan ego dan emosi. Bertindak atas
respon. Lalu di mana letaknya al Quran dan hadith?
Wajarlah kita merenung kembali prinsip Islam yang kedua oleh
al Banna ini, dalam kerangka pemikiran yang lebih luas, mencakupi hal hal
keduniaan seperti berhubungan sesama manusia, menekuni pihak lawan dan
sebagainya.
Somehow, sudah tawar hati pula untuk menulis lagi topik ini.
Ia seakan tidak kena dengan jiwa penulis. Ada baiknya kita renungkan sepotong
ayat ini sebelum berangkat ke medan amal;
“Dan tidaklah sama kebaikan dan kejahatan. Tolaklah (kejahatan)
dengan cara yang lebih baik, maka tiba tiba orang yang antaramu dan antara dia
ada permusuhan seolah-olah telah menjadi teman yang sangat setia”
(Fussilat :34)
Pendekatan al Quran, sentiasa mengharmonikan dan
mendamaikan. Barangkali ia telah setuju dengan slogan Menuju Negara Rahmah? Eh.
Entah.
Salam.
No comments:
Post a Comment