Thursday, May 15, 2014

HARMONIKAN AGAMA



Bismillah

Setiap amalan yang kita buat atau ibadah dalam Islam in the first place adalah kerana Allah swt yang suruh sama ada arahan datang melalui al Quran ataupun melalui hadith Rasul saw. Pun begitu, setiap arahan ataupun syariat ini mempunyai objektif dan hikmah yang tersendiri, dalam bahasa arab tujuan ini dipanggil maqasid.

Maka tersangatlah penting untuk kita mengetahui tujuaan ini supaya kita bukan sahaja melakukan ibadah sekadar memenuhi arahan, tetapi melakukan ibadah yang terbaik, memenuhi tujuan asal, objektif dan tuntutan. Malangnya, kita diajar dalam beribadah hari ini hanya sekitar perkara cabang, hukum yang zahir. Kita hanya tahu, halal, haram, makruh, sunat, afdhal dan seumpanya.


Akibatnya?

Ibadah menjadi kering, tidak hadhir bersama ibadah itu perasaan. Yang tinggal hanya pergerakan pergerakan kosong, pengorbanan kosong yang kita berdoa semoga Allah swt tetap terima amal-amal itu semua, sebagai usaha kita menjadi seorang hamba. Dan semestinya, kita harus keluar dari kotak pemikiran ini.


Maka marilah kita lihat sejenak, kepentingan mengetahui tujuan pensyariatan dan hal hal di sebalik setiap pensyariatan, bukan sekadar hukum dan hal hal zahir sahaja.



Sebagai contoh,

Ibadah solat yang lima waktu itu, yang tidak perlu dipertikaikan lagi kewajipannya. Secara zahir, semua muslim tahu akan kewajipannya. Banyak dalil al Quran yang menyuruh kita mendirikan solat. Bahkan, kebanyakan daripada kita pun tahu peristiwa Israk Mikraj yang menjadi titik tolak pensyariatan solat lima waktu.


Tetapi, apa tujuan solat sebenarnya?
Sudahkah kita solat untuk memenuhi tujuannya ataupun sekadar memenuhi sebuah arahan?


Dalam surah al Ankabut Allah swt berfirman;

“..Sesungguhnya solat itu mencegah dari (perbuatan) keji dan mungkar…”
Al Ankabut :45


Between the lines, kita dapati daripada ayat ini, antara lain tujuan solat adalah untuk mencegah pelakunya daripada terlibat dengan perbuatan keji dan mungkar. Itulah goal kita dalam melaksanakan solat. Dan matlamat ini akan menjadi guideline untuk kita periksa tahap kesempurnaan solat kita.

Macam mana kalau kita solat tidak pernah tinggal, tetapi masih sangkut dengan perbuatan keji dan mungkar? Sama ada tersembunyi atau terang terang. Perkara pertama yang perlu kita muhabasah adalah solat. Pada mata kita mungkin bagus, tetapi mungkin ada lompang pada wudhuk kita, atau pada bacaan al fatihah kita, atau pada ruku’ kita atau pada tahiyyat kita.


Dengan objektif ini, solat kita akan lebih beerti. Solat tidak tinggal hanya pergerakan pergerakan kosong. Inilah yang perlu ditekankan dalam ibadah, bukan sekadar soal zahir, hukum semata-mata, tetapi melihat di sebalik pensyariatannya.


Baik, contoh kedua, kita lihat pada tuntutan solat berjemaah.


Umum mengetahui bagi kaum Adam khususnya solat berjemaah merupakan suatu ibadah yang dituntut, sunnat mu’akkad. Bahkan, ada pendapat para imam fiqh yang meletakkan solat berjemaah sebagai satu kefardhuan. Zahirnya jelas akan hukumnya.

Persoalannya, kenapa begitu?
Apa objektifnya?


Meskipun saya belum menemui objektif solat berjemaah berdasarkan sumber mathur ekoran kurangnya sumber bacaan (down), tetapi melalui kemahiran berfikir kreatif dan kritis (KBKK) pun kita boleh agak. Apabila umat Islam solat lima waktu berjemaah, sekurangnya mereka akan bertemu sesama sendiri, lima kali sehari.


Ini bertujuan merapatkan ukhuwah sesama muslim, meningkatkan kefahaman sesama kita, mengajar umat islam untuk lebih berdisiplin dalam pengurusan waktu. Kesemua ini elemen yang penting untuk membentuk kesatuan umah. Tidak hairanlah, Rasulullah saw sesampai di madinah pertama sekali mendirikan Masjid Nabawi, sebagai tempat perkumpulan umat Islam, solat berjemaah bersama-sama dan bersosial secara sihat.


Tetapi hari ini, kita tidak melihat solat jemaah dari sudut itu. Maka ada yang berfikir, tak kisah lah solat di bilik atau di rumah pun, asalkan berjemaah. Dapat juga pahala berlipat kali ganda itu. Ekoran kesempitan cara fikir ini, syariat tidak lagi serves the purpose. Lebih malang, ada yang tidak berminat dengan solat berjemaah, kerana bagi mereka, asalkan solat.  Mentality ini terbentuk kerana melihat solat atau ibadah dari sudut hukum semata-mata.


Baiklah, contoh ketiga.


Pensyariatan puasa, sebagaimana firman Allah swt dalam surah Al Baqarah;

“Hai orang-orang yang beriman, diwajibkan ke atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan ke atas orang-orang sebelum kamu agar kamu bertakwa”
Al Baqarah :183


Secara zahir, hukumnya wajib. Semua tahu. Bila tiba Ramadhan, hampir semua muslim berpuasa, kerana kewajipan tersebut. Meskipun beliau seorang muslim yang tidak komited pada ibadah dan syariat lain.

Tetapi ramai yang tidak fokus kepada objektif puasa, yakni melahirkan hamba yang bertakwa. Ramai yang berpuasa, tetapi tidak menjadi graduan Ramadhan yang bertakwa. Maka, ada yang tidak kena dengan puasa kita.

Mungkin kita masih mengumpat semasa berpuasa. Masih mendedahkan aurat. Masih rambang mata melihat aurat yang lain. Inilah yang perlu kita perbetulkan, agar kita tidak sekadar berlapar dan dahaga sebulan lamanya, tetapi mencapai maqasid pensyariatan puasa.


Baiklah,

Contoh terakhir yang saya kira sangat dekat dengan kita semua, yakni tentang kewajipan menuntut ilmu. Sebagimana hadith mafhumnya meletakkan kewajipan menuntut ilmu ke atas setiap muslim. Tidak kiralah sama ada fardhu ain atau fardhu kifayah.

Maka, ramailah dalam kalangan kita berlumba lumba menuntut ilmu. Sehingga merentasi benua, berjauhan dengan keluarga, meninggalkan rumah bertahun lamanya. Persoalan yang besar yang perlu kita sama-sama fikirkan ialah, apa objektif menuntut ilmu sebenarnya?


Allah swt berfirman dalam surah Fatir;

“…Sesungguhnya yang takut kepada Allah di antara hamba-hambaNya hanyalah ulama (orang yang banyak ilmu)”
Al Fatir:28


Sekali lagi between the lines, daripada ayat ini kita dapati tujuan menuntut ilmu antara lain untuk meramaikan lagi graduan ilmu yang takut kepada Allah. Inilah objektifnya. Semakin berilmu semakin takut dengan Allah, semakin patuh, tunduk dekat dan beriman. Kalau diabaikan perihal ini, ramailah yang berilmu tapi makin jauh dengan Allah swt. Adakah ilmu yang harus dipersalahkan? Sudah tentu tidak. Kitalah yang bermasalah.


Kalau makin hari kita makin bertambah ilmu tetapi makin meninggi di hadapan Allah, perlulah diperiksa hati kita, mungkin dihidapi penyakit. Perlulah diperiksa niat menuntut ilmu, mungkin kerana hendak berdebat menjatuhkan yang jahil atau mungkin kita menuntut ilmu supaya menjadi modal menjana pendapatan.

Begitulah, peri pentingnya untuk kita mendalami tujuan pensyariatan, melebihi sekadar tahu hukum sesuatu ibadah.


Perkara ini sebenarnya diketengahkan oleh Sheikh Yusuf al Qaradhawiy dalam buku Fiqh Awlawiyat dibawah tajuk; Keutamaan Pensyariatan berbanding dengan Perkara perkara Zahir.


Komentar beliau;


“Perkara yang termasuk dalam istilah fiqh juga adalah mendalami ilmu pensyariatan serta mengetahui sumber dan sebab-sebabnya. Penting juga untuk kita memahami hubungan pensyariatan dengan yang lain, mengembalikan perkara cabang kepada perkara asal dan perkara juzuk kepada perkara kulli (menyeluruh)

Kekacauan banyak berlaku pada mereka yang sibuk dengan ilmu agama. Mereka hanya memberi tumpuan kepada perkara zahir dan tidak masuk kepada perkara yang lebih mendalam. Mereka menyebarkan agama Allah swt dan hukum hukum syariat kepada manusia dalam pelbagai bentuk dan tidak mengaitkan perkara itu dengan ‘illah atau sebab.

Kesannya syariat hanya kelihatan seperti kata-kata dan penulisan mereka. Seolah olah syariat tidak mampu membawa kemaslahatan untuk makhluk. Kebanyakan penyimpangan kepada hal hal lahiriah seperti ini juga menyempitkan apa yang diluaskan oleh Allah swt. ”


Sungguh padu. Mungkin juga disebabkan kegagalan sesuatu syariat disampaikan dengan baik, ramai bukan sahaja melakukan ibadah sekadar memenuhi kewajipan, bahkan langsung tidak melaksanakan ibadah ibadah utama yang dinyatakan di atas kerana pada hemah mereka tidak membawa apa-apa erti, sama ada mereka lakukan atau tidak.


Saudaraku,

Terletak pada bahu anda lah untuk menjelaskan kepada manusia akan hal ini. Above all, kita terlebih dahulu hendaklah melihat syariat secara keseluruhannya, dalam bentuk yang lebih harmoni bukan hukum semata-mata.

Banyak urusan ibadah lain yang perlu kita dalami ilmu pensyariatannya. Semoga kita terus istiqomah berusaha menjadi hamba kepadaNya. Semoga kita terus dikurniakan kefahaman agama, yang merupakan kebaikan yang paling tinggi darjatnya. Marilah kembalikan kebahagian dan kenikmatan beragama.

Dan, belilah buku Fiqh Awlawiyat  :)


Ps : In sha Allah saya akan kongsi komentar tajuk lain yang dibincangkan dalam buku ini.

No comments: