Tuesday, April 29, 2014

IKHWAN 683 (1)







Tepat Jam 5.40 pagi, di dini hari Khamis yang suram dan sunyi itu, setelah hampir lebih tiga jam bertarung antara hidup dan mati, Jameelah selamat melahirkan putera sulungnya. Tahmid meniti, bertali arus di bibir Hamid. Tidak henti henti.


Usai dibaluti anugerah Ilahi yang baru sahaja menghiasai keluarga Hamid itu, dia mendukungnya lalu mengumandangkan azan di telinga kiri dan iqamah di telinga kanan bayi itu. Belum ada nama. Bahkan kedua pasangan itu seolah-olah tidak percaya. Di saat ketaatan berdoa dan keimanan dengan janji Sang Tuhan, keduanya sudah hampir 18 tahun bertarung antara harapan dan putus asa.

Lapan belas tahun. Satu perjuangan meneruskan legasi keluarga yang cukup lama dan pahit. Lapan belas tahun, di saat tetangga seusia mereka di waktu itu sudah memikirkan bakal menantu, memikirkan nama cucu, keduanya masih menunggu kehadiran seorang insan bernama sang anak. Hampir hampir sahaja harapan itu hilang.


Tiga minit yang lalu memisahkan sejarah lama dengan kehidupan mendatang sejauh-jauhnya. Sejauh mata bisa memandang, di lapangan gurun yang mendatar luas, tidak ada yang menghalang penglihatan itu berkelana ke hadapan kecuali ketulan batu kecil dan ribut pasir di gurun yang datang dan pergi. Sejauh itu.


Suara azan dan iqamah menghidupkan pagi yang suram dan hening, diselang-seli dengan suara  teriakan si bayi yang baru sahaja tiba ke dunia, yang siapa sangka lapan belas tahun mendatang bakal menjadikan dunia yang tampak mesra itu penjara. Siapa sangka. Hadirnya ditata penuh manja, namun masa depan bukan boleh dilakar di kanvas putih sesuka hati, sesuka rasa.


Pagi itu,


Belum sempat keringat yang mengalir sekelian banyak liang roma di sekujur tubuh wanita Melayu kacukan Jawa itu kering, kedengaran suara bingit di kampung mereka. Dingin dini hari beransur-ansur hangat. Dari celah celah lubang pada dinding papan rumah mereka yang bertiang dua belas itu, kelihatan cahaya obor api menjalar masuk.


Kedengaran gerombolan manusia berlari berteriakan, hiruk pikuk. Suasana cemas dapat dirasai oleh kedua Jameelah dan Hamid, meskipun mata belum menatap dengan yakin gerombolan yang berlari merentas hutan dan semak di kampung itu. Namun keimanan, cukup mendalam sehingga tidak perlu kepada pandangan mata yang banyakknya memesongkan manusia.

“Jepun menyerang, Jepun menyerang !”



Begitulah, kurang lebih kedengaran teriakan gegak gempita sekumpulan perwira kampung. Melaung dengan sehabis kudrat yang ada. Sehingga yang tinggal di hujung suara yang tenggelam timbul itu, cungapan nafas keletihan. Baki nafas yang resah tetapi bersemangat. Membangunkan yang tidur. Menggerakkan yang bangun. Dan yang paling penting, menghidupkan yang mati, mereka yang mati jauh lebih awal sebelum roh meninggalkan jasad. Mati dalam kealpaan dan kelalaian. Mati dalam kemewahan, ditenggelami harta, makanan dan perusahaan. Hidup yang sukar.


Semboyan jihad telah ditiup, bergema di setiap penjuru. Dari selatan mulanya, merebak ke timur kemudian terpantul ke barat dan kini sudah bertandan di bumi Tuhan sebelah utara. Semboyan jihad menentang musuh yang kurang ajar. Musuh yang tiada pegangan hidup kecuali kezaliman.


“Jangan Hamid ! Apa kau ingin anakmu ini yatim sedangkan dia belum sempat melihat sang mentari?!”


Rayu Jameelah. Air mata cinta yang boleh mencurangkan iman si suami mengalir laju, menyelusuri kedua belah pipinya.


Hamid buntu. Dia dilemma. Bayi itu, lama benar dia tunggu untuk ditatap dan dilayan sepenuh rasa. Namun pada waktu yang sama, seruan jihad, dari Allah dan Rasul telah pun bergema kuat, mengisi ruang-ruang kosong yang ada. Di satu sudut yang lain, bayi kecil itu menangis tidak henti-henti, makin kuat kedengaran tapak kaki para mujahid membelah bumi pada pagi yang belum cerah itu, makin kuat pula suara tangisannya. Seolah-olah memujuk-mujuk si ayah untuk terus tetap di pangkuan bonda yang hampir sahaja menawatkan riwayat menyambut kelahirannya.

Berat. Terasa beratnya.


Hampir sahaja Hamid berpaling dari seruan semboyan itu dan memilih dunia dek tangisan si isteri dan si anak yang baru sahaja kurang sepetang mengenali dunia. Namun di shadnya yang turun naik persis ombak di musim tengkujuh, turun dan naik, berombak dengan cepat itu, masih ada saki baki kalam suci al Quran yang ditekuni saban hari.


Mujur.


Akhirnya Hamid memilih untuk mengutamakan seruan yang menghidupkan itu daripada kehidupan yang pasti akan berakhir dengan kematian. Memilih suatu keputusan yang disambut baik oleh bumi dan seisinya.


“Namakan dia Talhah, supaya suatu hari nanti dia berkembang besar dan mencontohi sosok tubuh yang digelar syahid yang masih berjalan di muka bumi oleh Sang Nabi ”

Tegas. Hamid membulatkan tekad. Mengetepikan tipu daya dan mainan syaitan di sebalik air mata seorang isteri dan seorang anak. Suatu kata-kata yang cukup agung tetapi perit untuk diterima oleh si isteri.


“Apa kau sudah hilang waras? Lalu aku bagaimana?”

“Dan tidaklah patut bagi laki-laki yang mukmin dan perempuan-perempuan yang mukmin apabila Allah dan RasulNya telah menetapkan suatu ketetapan, akan ada pilihan bagi mereka tentang urusan mereka..”


Terpacul keluar dari mulut Hamid wasiat daripada al Quran. Lalu akurlah si isteri dengan keputusan si suami. Tunduk penuh patuh dengan arahan dari Allah swt. Jameelah mengesat air mata yang mengalir makin laju dari kedua matanya. Kali ini air mata itu bukan lagi air mata yang keluar untuk memesonakan atau memesongkan si suami, tetapi air mata kekaguman dengan seorang laki-laki yang beriman dan bertaqwa yang sedang berdiri kokoh di sisinya.


“Pulanglah nanti wahai Hamid. Jika tidak kepangkuanku, maka pulanglah kepada Tuhan kita. Akan aku ceritakan perihalmu pada bayi ini, pada Talhah bin Hamid”


Begitulah, terus mantap dan kokoh Jameelah. Perempuan mukminah yang jarang-jarang sekali wujud di dunia yang penuh kejam dan misteri ini.

Talhah bin Hamid.


Bersambung…..

No comments: