Friday, April 18, 2014

SENTUHAN AL AKH #20




Riyadus Salihin
Hadis no 361:

Dari Abu Hurairah r.a. dari Nabi s.a.w bahawa ada seseorang berkunjung ke tempat saudaranya yang berada di lain desa, kemudian Allah Ta’ala mengutus malaikat untuk menghadangnya, dan setelah malaikat itu bertemu dengan orang itu kemudian bertanya;

“Mahu ke mana kamu?” Orang itu menjawab, “Saya akan berkunjung ke tempat saudaraku yang 
bertempat tinggal di desa itu”

Malaikat itu bertanya, “Apakah kerana kamu merasa terhutang budi kepadanya?” Orang itu menjawab, “Tidak, saya mencintai dia kerana Allah Ta’ala semata.”

Malaikat itu berkata, “Sesungguhnya aku utusan Allah untuk menjumpaimu dan sesungguhnya Allah telah mencintaimu sebagaimana kamu mecintai saudaramu kerana Allah”

(HR Muslim)



-------------------




Antara lain dari mana datangnya sentuhan sentuhan yang telah ku garap di sini kerana adanya ukhuwah. Beginilah jalan dakwah mengajar kami, memaknai erti ukhuwah, bukan sekadar pujian, justeru merelakan al akh itu terkapai-kapai atas dasar berbaik sangka, tetapi kecintaan mengatasi baik sangka.


Sanah Helwa.

Begitulah ucapan yang sering diucapkan kepada al akh tatkala dia meraikan ulang tahun kelahirannya ke muka bumi ini. Segala pujian dikembalikan kepada Allah swt. Di celah celah ucapan itu juga, seorang akh tersentuh dengan ucapan al akh yang lain, yang aku kira wajar aku kongsikan di sini.


 “Hari ini, cukup 21 tahun ibu anda melahirkan anda. Dan ini bermakna, 21 tahun yang lalu, seorang wanita itu bertarung dengan nyawanya untuk anda melihat cahaya, untuk anda merasai kenikmatan dan ujian dunia.

Boleh jadi suatu rahmat yang besar itu Allah tarik 21 tahun yang lalu, dan masa yang akan datang pun belum tentu akan dipanjangkan oleh-Nya. Kerana saat ini, ada orang lain yang tidak pernah merasainya, juga yang telah kehilangannya.

Selamat 21 tahun.

Pak Ostad Kazim Elias cakap, kita bila ulang tahun kelahiran sibuk minta orang beri hadiah pada kita, sedangkan kita yang sepatutnya beri hadiah kepada orang hebat yang melahirkan kita.”


Tidak pantas dibiarkan sahaja sentuhan itu berlalu pergi.
Lagi,


“Sanah helwah akhi!

Usia hanya sebuah angka
Yang bertambah dari awal
Yang berkurang menuju akhir
Di antaranya itulah satu ruang,
Yang kita namakan kehidupan.
Terpulanglah kepadamu
Makna apa yang perlu diisi kedalamnya.”


Begitulah, dalamnya sentuhan al akh. Ya, dia mengajari saudaranya memaknai ruang ruang di antara dua waktu yang dipanggil kehidupan. Lalu, aku teringat akan suatu kata yang lejen berkenaan usia,


"Manusia yang hidupnya untuk dirinya sendiri, usianya amatlah pendek. Bermula dari hari kelahirannya dan tamat ketika maut. Akan tetapi, bagi mereka yang hidupnya untuk perjuangan, usianya panjang, sepanjang perjuangan itu. Bermula dari hari diciptakan Adam, dan berakhirnya ketika Dia memusnahkan alam"

[Sayyid Qutb]

 
Atau suatu lagi kata-kata dari akh yang terlebih dahulu menapaki jalan ini,


Apa artinya usia panjang namun tanpa isi, sehingga boleh jadi biografi kita kelak hanya berupa 3 baris kata yang dipahatkan di nisan kita :

“Si Fulan lahir tanggal sekian-sekian, wafat tanggal sekian-sekian”.

[KH Rahmat Abdullah]


Sentuhan yang tulus lagi mulus itu, tidak pantas kubiarkan berlalu sepi, sesepi dakwah di tanah airku ini. Ajarkan aku ya akhi untuk mengisi ruang-ruang di antar kedua waktu yang bertambah dan berkurang itu, yang kita sama-sama menamainya kehidupan.


Ajarkan kepada sekalian kami, erti perjuangan, agar kami tegar mahu mati atas jalannya. Jalan keshahidan. Begitulah, seperti kerap kalinya insan insan yang bertebaran atas jalan kenikmatan ini mengajari dan menyentuh satu sesama yang lain.


Ku bawakan lagi untuk kalian,

Sentuhan al akh !

No comments: