Monday, April 21, 2014

HAAZIHI AT-TARBIYAH




Dah lama dah saya mulai dengar perkataan tarbiyah. Lama sebelum saya berkenalan dengan tarbiyah yang versi real. Perktaan tarbiyah ini kalau dalam kalangan pelajar pelajar Sijil Pelajaran Malaysia bagi subjek Bahasa Melayu merupakan antara perkataan yang tersohor, sering digunakan dalam penulisan esei.

Kalau guna perkataan tarbiyah tu, kira boleh tahan gempak la kosa kata seseorang calon peperiksaan. Tarbiyah. Tahunan yang lalu, apa yang saya faham atau yang sering dimomokkan ialah pendidikan la. Mudah kan.


Tetapi ternyata, tarbiyah yang sebenar tidak sekadar berhenti di definisi sesempit itu. Tidak cukup sifat. Sukar sebenarnya untuk menggambarkan apa itu tarbiyah dengan kata-kata. Sejak berkenalan dengan gerak kerja tarbiyah dan dakwah, bukan sedikit pengisian pengisian yang saya lalui berkenaan tarbiyah, memaknai ruh dan tuntutannya.





Antara lain yang saya boleh kongsi,

Dari sudut bahasa, tarbiah berasal daripada:


Rabba – yarbu – tarbiah yang membawa maksud subur dan bertambah.  Sebagai contoh, lihat firman Allah (Ar-Rum: 39)

Rabba – yarbi  – tarbiah membawa maksud membesarkan dan memelihara. Contohnya firman Allah (Asy-Syu’ara’: 18)

Rabba – yarubbu  – tarbiah membawa maksud: memperbaiki, mengawal dan mentadbir urusan sesuatu, menjaga dan memeliharanya. Contohnya firman Allah (Al-Isra’:24)


Berdasarkan maksud asal perkataan tarbiah, pakar-pakar ilmu pendidikan Islam mendefinisikan tarbiah adalah: “Satu proses bertujuan menyubur dan mengembangkan keupayaan, kemahiran seseorang untuk menghadapi tuntutan kehidupan yang pelbagai, atau satu proses pembinaan individu dengan binaan yang syamil supaya dia mampu berinteraksi dengan segala perkara di sekelilingnya atau menyesuaikan diri dengan suasana yang melingkarinya.”


Ini dari segi bahasa la. Tapi masih tak cukup, definisi definsi di atas masih kering. Sekadar berbentuk ilmu. Ia tidak meresap ke dalam jiwa. Bukan itu tarbiyah sebenarnya.


Atau dalam sesi yang lain,


Katanya tarbiyah itu proses menurunkan ilmu atau kefahaman daripada akal ke hati. Atau proses memasukkan iman ke dalam hati. Kemudian ada lah dalil-dalil berdasarkan tafsiran al Quran dan sunnah.


Agak basah.
Tetapi belum cukup ‘ummpph’ untuk menggambarkan apa itu tarbiyah.


Bagi saya secara personal, mungkin di awal dahulu saya terus mengangguk kepala setuju dengan takrifan takrifan di atas, tetapi makin lama bersama tarbiyah, makin saya rasai keberadaannya, makin saya dapati ia sesuatu yang sukar untuk dijelaskan. Maknanya terlalu bererti untuk diungkapkan dengan hanya gabungan huruf dan kalimah kalimah.


Ia melibatkan perasaan. Suatu perasaan yang hanya dapat dinikmati oleh mereka yang mengecapinya. Ia melibatkan amal. Melibatkan perubahan. Penghijrahan. Kesemua sisi pandang inilah bagi saya yang paling tepat menjelaskan apa itu tarbiyah, setelah melihat kesan kesan dia ke atas diri mereka yang ditarbiyah.


Setelah 2 tahun, 5 tahun, 10 tahun, mungkin definisi ini akan berbeza. Berubah sejajar dengan kefahaman. Takrifannya mungkin akan menjadi semudah satu perkataan atau berjela-jela sehingga tidak mampu dimuatkan di sekeping dada akhbar.


Pasca tarbiyah, antara hasil yang dapat dilihat adalah perubahan yang mencakupi banyak aspek. Dari segi kefahaman terhadap hidup, tarbiyah menyedarkan ramai akan tujuan hidup, tuntutan menjadi seorang hamba. Betapa besarnya jasa ini, kerana membawa suatu berita bahawa hidup kita ini ada tujuan. Mengetahui seterusnya memahami tujuan hidup merupakan suatu kenikmatan yang sangat besar, yang hanya segelintir manusia dapat merasainya.


Pasca tarbiyah, ia mendidik jiwa kita untuk berinteraksi dengan Al Quran, arahan-arahan Allah dan ajaran daripada sunnah dalam bentuk yang lebih praktikal, basah, rapat dan begitu erat. Kita mula merasai keberadaan Allah, mula belajar mencintai Allah dan Rasul, mula rasa betapa mulianya umat ini dengan al Quran. Itu suatu sumbangan tarbiyah yang sangat besar.


Pasca tarbiyah, ia membuka dimensi baharu apabila melihat dunia ini. Tarbiyah mengubah persepsi kita terhadap hakikat alam al wujud ini yang tidak berakhir sekadar kehidupan di dunia. Ia menghadirkan rasa keimanan terhadap hari perhitungan, menjanjikan ganjaran di hari kelak dan membawa khabar keperitan ujian di dunia dengan janji ganjaran syurga. Ini satu sisi pandang yang tidak semua mampu raih.


Pasca tarbiyah ia memberi berita gembira bahawa buat kita yang penuh dosa dan noda di hari silam, harapan tetap ada. Ia ajarkan bahwa rahmat Allah itu sangat luas, pintu taubatNya sangat luas, sehingga tidak dapat digambarkan dengan kata-kata mahupun imaginasi. Tarbiyah mengeluarkan kita dari kegelapan dosa, dan mengajar untuk menuai pahala. Ia mengajar erti keampuann dan rahmat yang sebenar.


Pasca tarbiyah, banyak individu mulai menerokai keupayaan dan potensi masing masing. Potensi yang sedia ada dikembang biak, yang belum ada dipupuk dan dituntun ke arah yang baik. Banyak kemahiran hidup dikusai dek jasa tarbiyah. Kemahiran bercakap, menulis, memasak, berpidato, berbisnes dan sangat banyak lagi.


Terlalu banyak sebenarnya cabang-cabang yang boleh dilihat untuk menggambarkan apa itu tarbiyah dalam erti yang lebih ‘hidup’ dan menghidupkan.


Inilah tarbiyah.

Haazihi at tarbiyah,

Kesan kesan ini benar-benar kena dengan firman Allah;


Dan orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal yang salih serta beriman kepada Al-Quran yang diturunkan kepada Nabi Muhammad (s.a.w.) - yang ialah kebenaran dari Tuhan mereka, - Allah mengampunkan dosa-dosa mereka, dan mengislah keadaan mereka  
Muhammad :2

“Mengampunkan dosa”
“Mengislah”


Dan sudah pasti kesan kesan ini tidak dapat dilihat, dirasai dan dinikmati dalam masa sehari dua. Ia suatu proses yang panjang bahkan tidak bekesudahan, ia perlahan dan bertahap, sesuai dengan sifat manusia.


Maka saudaraku,

Yang sudah bersama tarbiyah, yang sudah menuai hasil tarbiyah dan menikmati hidup dibawa naungannya, teruslah, tetaplah bersama tarbiyah di mana sahaja kalian berada. Relakanlah dirimu untuk ditarbiyah. Tidak aku tulis kesemua ini melainkan untuk mengingatkan kita semua akan perintah yang kita semua pernah baca dari Allah ‘Azza Wajal,


“Fastaqim kama umirta”
“Dan istiqomahlah sebagaiman diperintahkan kepadamu”

(Hud :12)


Saudara, firman ini Allah turunkan dalam bentuk fe’el ‘amar, sebagai suatu ayat perintah. Mengapakah Allah menyuruh kita untuk istiqomah ? Bukankah hati hati kita semua berada dalam kekuasaan Allah ? Bukankah Allah berkuasa untuk kekalkan kita dalam keadaan istiqomah?


Tidak lain kerana akhirnya kitalah yang memilih, sama ada untuk terus tetap, teguh dan kokoh atau untuk mengundur diri.


Akhir sekali, ya, tarbiyah bukanlah segalanya, tetapi segalanya bermula dengan tarbiyah. Maka di mana sahaja kalian dicampak selepas ini, ke mana sahaja masa dan takdir membawa kita, jadikanlah tarbiyah sebagai core business. Teruslah, tetaplah, kokohlah dan teguhlah bersamanya.


Saudaramu,
Yang masih belajar

No comments: