Tuesday, July 1, 2014

RAMADHAN & ULUL ALBAAB




Secebis Pengalaman


Semasa berada di tingkatan tiga, di suatu perhimpunan rasmi di maktab rendah sains mara kami suatu petang, Tuan Pengetua membuat satu pengumuman yang penting. Katanya, pada tahun berikutnya, maktab kami akan dijadikan maktab atau MRSM Ulul Albab yang pertama di Malaysia, atas cabaran Pengerusi MaRA, beliau (Tuan Pengetua) telah menyahut cabaran itu.


Di kesempatan itu beliau bertanya kepada semua pelajar dan guru, siapa yang tidak setuju. Maka ramailah yang bersuara, bukan sahaja pelajar, bahkan cikgu cikgu yang duduk di pentas turut bercakap cakap sesama mereka. Yelah, dengan perubahan yang mendadak sebegitu rupa, dengan kerja yang bakal bertambah, jadual belajar dan mengajar yang bakal bertukar, sistem yang bakal berubah, ramai yang kelihatannya tidak bersetuju.


Boleh tahan tergugat Tuan Pengetua melihatkan response yang mengecewakan itu sehingga beliau mengeluarkan kata-kata autokratifnya, “Siapa yang tak setuju, either teachers or students, boleh apply for transfer next year”.

Begitulah.


Buat kali pertama dalam sejarah saya melihat Tuan Pengetua yang dihormati ramai itu menunjukkan sifat genetic yang kebanyakannya diwarisi oleh pemimpin negara pada hari ini. “Kalau tak setuju sila pindah”. “Tak nak bayar tol, cari jalan lain”. “Ayam mahal, tak usah makan ayam”. Eh.


Tahun berikutnya, rombakan itu berlaku seperti yang diumumkan. Dan tiada seorang pun setahu saya baik dari kalangan guru mahupun pelajar yang berpindah. Memang kami mengalami perubahan jadual, gaya makan, dan beberapa perubahan lain. Cikgu la yang penat, ada yang kena berkursus itu dan ini untuk memahiri sistem baharu itu, untuk mendukung cita-cita sebuah mrsm bergelar Ulul Albaab.


Di suatu malam seorang ustaz merangkap warden asrama bercerita tentang Ulul Albaab. Beliau bercerita dengan maksud untuk mempromosi penjenamaan itu dan antara lain untuk meredakan kebingungan yang melanda para pelajar. Beberapa ayat daripada al Quran dipetik yang berkenaan dengan Ulul Albaab.


Yang saya ingat, kata ustaz Ulul Albaab ini orang yang terpelajar, maksudnya pintu utama. Orang yang menjadi rujukan, golongan professional yang pada waktu yang sama boleh bercakap soal agama, hafal al Quran dan tahu hadis. Dalam banyak banyak ayat marketing yang digunakan, saya ingat dalam kepala terjemahan Ulul Albaab, yakni pintu utama. Bukan apa, somehow teringat cerita Ahmad Albaab.



Siapa Ulul Albaab?



Mencuit hati sungguh pengalaman yang lampau itu. Kita lupakan dahulu cereka mrsm, cita cita sang pengetua dan cerita si ustaz.


Albaab itu adalah kata jamak daripada Lubb.


Ia memberikan maksud isi atau inti. Atau beberapa terjemahan Inggerisnya iaitu core, pulp, pith, gist, marrow atau bahasa mudahnya the important or essential part or essence. Jauh benar dengan terjemahan yang dibawa oleh ustaz, kerana ejaan albab untuk pintu berbeza dengan albaab. Pintu kata dasarnya bab.


Tidak mengaplah, bukankah manusia itu penuh khilaf?



Adapun tujuan saya menulis di sini bukan untuk sama-sama kita gelakkan sang ustaz, kerana jika itu hadafnya, saya harus gelakkan diri sendiri kerana bertahun lamanya juga saya beriman dengan terjemahan ini sehingga diberi pencerahan baharu, tidak terlalu lama yang lalu.


Maka dapat kita simpulkan secara kecil bahawa ulul albaab adalah golongan orang yang mendapat inti dan isi sesuatu perkara, bukan mendapat kulit, atau perkara luar. Bak kata Ustza Hasrizal, mereka yang get the point.


Dalam al Quran ada enam belas tempat Allah menggariskan ciri-ciri Ulul Albaab. Kebiasaannya perkatan Ulul Albaab mengakhiri sesuatu ayat, setelah ayat tersebut berbicara tentang sesuatu yang kompleks, yang memerlukan pemahaman dan intelek yang tinggi untuk ditapis dan dikeluarkan gist atau inti ayat tersebut.


Tidak hairanlah, ayat ayat ini merujuk kepada golongan yang memahmi inti, Ulul Albaab.



Kita lihat beberapa contoh;



“Dan di dalam qisas itu ada (jaminan) hidup bagimu wahai Ulul Albaab agar kamu bertakwa”
(Al Baqarah :179)


Contoh pertama di atas. Kan sukar untuk difahami apabila Allah swt berfirman bahawa pada hukuman bunuh dibalas bunuh itu ada kehidupan. Bukankah membunuh pesalah itu maksudnya menghilangkan kehidupan buat mereka? Bagi yang bukan Ulul Albaab, mereka akan melihat hukum qisas suatu yang kejam, ganas, memudaratkan, kerana mereka melihat kepada kulit, luaran semata-mata.



Bukan isi dan inti. Bukan essence of qisas.
Sebab itu, hanya bagi Ulul Albaab, orang yang get the point ini melihat disebalik hukuman itu, adanya kehidupan.


Kita lihat contoh seterusnya;


“Sesungguhnya dalam penciptaan langit dan bumi, dan silih bergantinya malam dan siang terdapat tanda-tanda bagi Ulul Albaab”
(Ali Imran :190)



Bagi orang biasa, bukan orang yang mendapat inti, tatkala mereka melihat langit dan bumi, mereka mungkin tidak rasa apa-apa. Pertukaran siang dan malam yang penuh misteri itu hanya sekadar satu kejadian alam yang normal bagi mereka. Mereka lihat betapa indahnya ciptaan alam sekitar, lalu teruja, wow cantiknya, ok, ambil gambar sebagai kenang-kenangan. Itulah,sekadar di situ sahaja penghayatannya.


Tetapi bagi Ulul Albaab, inti dan isinya ialah tanda tanda kebesaran Allah swt. Tanda kekuasaan Allah swt sebagai khaliq. Lalu merendahlah mereka, tunduk dan sujud kepada Tuhan sekelian Alam.


Kita lihat contoh ketiga,



“Sesungguhnya pada kisah-kisah mereka itu, terdapat pengajaran bagi Ulul Albaab…”
(Yusuf: 111)



Setelah bercerita panjang lebar tentang kisah Nabi Yusuf a.s dan diakhiri dengan rumusan kisah kisah para nabi yang diutuskan, Allah swt menutup surah Yusuf ini dengan firman di atas.


Bagi mereka yang bukan dikategori sebagai Ulul Albaab, tatkala membaca kisah Nabi Yusuf umpamanya, mungkin take-home message yang mereka dapat ialah Yusuf s.a itu lelaki yang handsome, jahatnya saudara nabi Yusuf, mungkin jalan cerita persis drama Indonesia yang mereka dapat atau pengalaman seperti membaca novel novel dramatik, tidak lebih daripada itu.


Tetapi bagi Ulul Albaab, bagi mereka pengajaran melimpah ruah banyaknya. Mereka mungkin belajar tentang perjuangan di jalan dakwah, liku liku dan ujian kehidupan, cerita seseorang yang bangkit daripada titik yang paling lemah, musibah kehidupan,belajar untuk tidak berputus asa dan sebagainya.


Begitulah.

Cukuplah sampai situ kita meneliti beberapa ayat Quran tentang Ulul Albaab.



Ramadhan dan Ulul Albaab



Persoalan yang saya ingin bawakan, bagaimana agaknya persepsi Ulul Albaab terhadap Ramadhan. Apakah inti atau gist Ramadhan yang dilihat oleh mereka yang get the point ini?


Secara umumnya, apabila bercakap tentang Ramadhan, rata-rata dalam kalangan kita mungkin akan terbayang akan ibadah puasa dan terawih. Atau mungkin akan membayangkan tentang pengalaman bersahur, berjalan di bazaar dan berbuka. Ada yang melihat ia sebagai pesta ibadah di rumah rumah Allah, iktikaf, sedeqah, mengeluarkan zakat dan sebagainya.


Bagi pengusaha kuih raya, Ramadhan tandanya income akan meningkat dek tempahan tempahan kuih raya. Bagi peniaga peniaga pasar, Ramadhan adalah peluang berbisnes di bazaar Ramadhan, dan begitulah seterusnya. Bermacam persepsi dan bayangan yang bermain di kepala setiap orang tentang Ramadhan.


Dalam al Quran hanya sekali Allah swt sebutkan tentang bulan Ramadhan, yakni dalam surah al Baqarah;



“Bulan Ramadhan, bulan di dalamnya diturunkan al Quran sebagai petunjuk bagi manusia dan penjelasan mengenai petunjuk itu dan pembeda (antara haq dan bathil)…”
(Al Baqarah :185)



Yang menariknya dalam ayat tunggal yang menyebut perkataan Ramadhan ini, Allah tidak langsung mengaitkan Ramadhan dengan puasa ataupun terawih, apatah lagi bazaar Ramadhan, kuih raya, cushion baru mahupun pesta bermain mercun.

 
Tetapi perkara pertama yang menjelaskan Ramadhan ialah, diturunkan Quran padanya. Itulah yang menjadikan Ramadhan special. Quran sebagai petunjuk, penjelasan, pencerahan dan pemisah antara haq dan bathil.


Seolahnya, Allah swt mahu sampaikan mesej kepada kita, inti, isi atau gist Ramadhan adalah al Quran. Yang lebih menarik, ayat ini diturunkan di zaman Madinah, kepada para sahabat yang rata-ratanya sudah lama muslim dan beriman, sudah lama membaca bahkan mengamalkan al Quran, tetapi Allah swt menspesifikan fungsi al Quran.


Al Quran sebagai petunjuk, penjelasan dan pemisah.


Bukankah para sahabat sedia maklum akan hal ini? Bukankah mereka memang sudah sejak daripada zaman Mekah lagi sudah mengimani hal ini?


Seolahnya Allah swt mengajak hamba-hambaNya pada waktu itu untuk kembali mengkaji, mendalami dan mengamalkan al Quran seakan-akan itulah kali pertama mereka berinteraksi dengan al Quran. Seolahnya Ramadhan datang untuk memberi nafas baharu kepada penghayatan al Quran. Begitulah.


Kemudiannya, barulah Allah swt bercerita tentang puasa, pada sambungan ayat tadi.



Saudaraku,


Saya kira, selayaknya bagi Ulul Albaab, sudah pasti yang mereka lihat pada Ramahdan itu ialah satu fasa untuk kembali kepada al Quran, meskipun mereka in the first place sudah lama berinteraksi dengan al Quran. Dalam Quran, ia menjelaskan fitrah manusia dan muslim khususnya.


Sudah lama ia berbicara tentang muslim yang asli dan sejati. Al Quran menunggu-nunggu kita untuk kembali menjadi muslim. Kembali kepada ajaran al Quran. Dan Ramadhan, inilah waktu yang terbaik untuk melakukan kesemua itu. Inilah waktu terbaik untuk mengembalikan keaslian kita, supaya kelak kita layak meraikan hari fitrah.


Maka marilah kita jadikan bulan Ramadhan ini bulan al Quran yang intensif. Tutuplah tv kita, kurangkan tidur, berbuka dengan ala kadar, kurangkan ke bazaar, bersahur ala kadar, jauhilah pusat pusat hiburan, panggung wayang mahupun pusat membeli belah yang boleh memakan banyak masa kita, tetapi dampingilah al Quran. Baca, dengar, hafal, berjaga dan tidur dengan al Quran.


Semoga Allah swt kurniakan kita kekuatan untuk melaksanakan cita cita ini.


Wallahu’alam.

3 comments:

Inche gabbana said...

Haihh. Asik plagiat poin-poin NAK je ni. Bila nak dapat taujihat yang orijinal dari anda..?

Hehehe. (nak letak emotikon jeling waksep tapi tak boleh. ^^")

Anonymous said...

Cerita benda yg sama kpd mutarabbi, tbtb keluar soalan luar jangkaan "knp dlm banyak2 bulan, Allah pilih bulan Ramadan utk turunkan AlQuran, knp tak bulan2 lain?"


Berpeluh jugak nak jwb.

Inspector Saahab said...

:3