Saturday, January 24, 2015

LAGENDA




Anda benar. Penulis sedang bercuti di rumah, menghabiskan saki baki cuti semester selama kurang lebih dua minggu. Maka tidak hairanlah sehari dua ini penulis kelihatan galak menulis di sini. Namun dia hampir sahaja mahu mengundurkan diri daripada menulis. Tidak mengapalah. Kita abaikan sahaja.


Firman Allah swt;

“Dan hendaklah takut orang-orang yang sekiranya mereka meninggalkan keturunan yang lemah di belakang mereka yang mereka khawatir terhadapnnya. Oleh itu, hendaklah mereka bertakwa kepada Allah dan hendaklah mereka berbicara dengan tutur kata yang benar”
(An Nisa’ :9)


Jika kita telusuri perkataan keturunan dalam ayat yang dipetik di atas, perkataan yang dibawakan al Quran adalah zuriyat. Maka anda sekali lagi benar, penulis belum memiliki sebarang zuriyat biologos bahkan belum mendirikan rumah mahupun tangga. Belum. Namun begitu, marilah kita sama-sama hayati sepotong ayat ini dengan kaca mata dakwah dan tarbiyah.


Ah, dakwah sudah mudah. Ramai sudah yang mampu menulis kata kata enak, video video menarik, seminar dan dialog ilmiah. Ramai. Namun masih ramaikah yang mampu bekerja tanpa dikenali, membina manusia demi manusia, mengubah no body menjadi somebody? Menjadi seorang murabbi.
Semua akh biasa berdakwah, menyebar islam dengan cara sendiri. Tapi hanya akh yang benar, mampu menjadi seorang murabbi. Kita naik, dengan mengangkat insan insan lain.


Saudaraku,

Betapa dakwah ini sejak dari dahulu lagi berhajatkan pewaris dan pelapis. Kita yang bersama angkatan dakwah yang haraki ini sifatnya justeru tahu dan faham benar akan urgensinya untuk setiap al akh yang benar amalnya untuk melahirkan lebih ramai rijal untuk umah ini dengan sentuhan usahanya, dengan izin Allah swt.

Mengingat akan urgensi ini, al akh yang benar tidak lena tidurnya memikirkan zuriat dakwah yang dibinanya. Bagaimana perkembangan tarbiyah zuriatnya itu. Bagaimana proses takwin, pembentukan mereka. Itulah yang sering merisaukan al akh yang soddiq itu. Sesungguhnya umat hari ini sangat berhajatkan kepada rijal yang perkasa amalnya, yang mampu membawa mereka kembali mengenal Tuhan, kembali ke jalan yang benar.

Dan ayat al Quran di atas menampar para murabbi dengan tamparan yang membekas bukan sahaja pada kedua belah pipinya, bahkan pada hati dan perasaannya, pada akal dan jiwanya. Allahu akbar! Penulis sendiri memikirkan hal ini. Tertanya-tanya, siapakah di belakangku?

Berapa ramaikah manusia yang telah aku ajak untuk bersama angkatan ini? Bagaimana pula kondisi mereka? Sudah mampu menjadi murabbi ummah kah? Atau masih lemah ? Masih bermalasan? Masih memberi alasan alasan mencurigakan itu?

Menginsafkan sungguh ayat Allah swt yang satu ini. Kerana selebihnya, setelah kita meneliti satu persatu siapakah rijal dibelakang kita itu, setelah kita tahu betapa masih banyak lagi kekurangan yang perlu diisi, masih ada lompang di sana dan di sini, para murabbi diseru untuk bertakwa kepada Allah.


Mungkin yang kurang sebenarnya ketakwaan kita!
Satu muhasabah besar!


Dan kemudiannya, mereka diseru untuk berbicara dengan kata-kata yang benar. Qaulan sadidaa. Perkataan sadidaa bukan sahaja bermaksud benar, tetapi sentiasa benar, always the truth, bahkan bukan sahaja kebenaran, tetapi kebenaran yang ada referensi, apropos. Begitulah kita disuruh untuk terus menerus berkata dengan kebenaran, dengan jelas dan terang. Terus menerus membina rijal untuk umat ini.


Mungkin dari situlah, penulis pun memilih untuk berkongsi lagi dengan pembaca. Kerana pada amatannya, kata-kata itu tidak sekadar yang terucap di mulut, bahkan boleh diterjemah melalui tulisan tulisan juga. Meskipun tulisannya picisan. Tidak menyelerakan akal apatah lagi menghiburkan.

Tidak mengapa. Ia tidak pernah bermaksud untuk meneyelerakan dan menghiburkan. Penulis insya Allah akan menulis, memandangkan penulis seorang yang kurang bercakap, pendiam, mungkin ada emas dalam mulutnya. Nikmati sahajalah ilham Ilahi ini.


Sudah lama tidak menulis muqaddimahnya sepanjang ini.


Baru baru ini penulis merenung beberapa perkara, betapa hari ini kita kian kehilangan tulisan yang membara-bara semangat harakinya. Kita makin kekurangan tulisan yang mengalir ruh dakwah dan tarbiyah dalam ayat-ayatnya, dalam perenggan perenggannya, makin kurang. Meskipun laman alam maya beraneka bentuk dan platform tumbuh. Sentuhan penulisan seperti kader kader yang lebih dahulu terluka atas jalan ini masih tidak tertanding, tetapi malangnya banyak dari mereka sudah tidak aktif di papan kekunci.

Bahkan penulis sendiri merasa betapa semakin tidak jujur dan telus dalam penulisannya. Kadang-kadang sisi-sisi teknikal seperti keteraturan, gaya bahasa, perbendaharaan kata serta tatabahasanya dilebih-lebihkan penelitiannya. Lantas, mesejnya kadang-kadang kehilangan ruh, kering, terlalu teknikal. Mungkin kerana terbawa-bawa untuk meniru gaya tulisan watak-watak yang sudah berdekad lamanya berkarya.

Waktu awal-awal dahulu, memang tulisan tulisan di alam maya dicari penulis atas banyak sebab. Antaranya untuk mencari semangat yang tidak tentu arah halanya. Mencari kefahaman yang tidak datang melayang dari udara. Kadang-kadang mencari bahan pengisian, sama ada untuk jiwa sendiri yang kontang atau untuk disebarkan bahagia. Tidaklah terlalu lama meninggalkan reality, tetapi waktu itu kita ada banyak pilihan.

Tulisan ikhwah dan akhawat yang bergelora ruh harakinya. Ia tidak tertumpu pada bunga-bunga ayat atau gaya bahasa. Kebanyakannya perkongsian yang datang dari hati. Perkongsian amal yang benar. Perkongsian bagaimana mujahadah tatkala dakwah itu dipraktikkan, bukan berlegar sekitar teori semata-mata. Cukup menghidupkan.

Marilah penulis kongsikan taiko, atau mereka yang boleh dikatakan orang lama di medan ini, berbanding dengan generasi penulis. Antaranya;









Memang ada yang masih tegar. Cuma mungkin ada yang sudah tidak sama lagi penyampaiannya. Kadang-kadang mesej yang dibawa jauh dengan reality dakwah ikhwah dan akhawat, mungkin kerana target audience yang berubah, atau prinsip yang berubah. Kadang-kadang ada juga hasil karya yang direka, bukan datang dari amal yang sebenar, pada amatan penulis la. Kadang-kadang artikel ditulis sekadar meningkatkan hits. Atau mungkin sudah tidak aktif kerana posisi dakwah yang sudah berubah. Begitulah analisa kita yang tidak tepat ini.


Mereka yang baru mengenal jalan ini, pasti tercari-cari bekal bekal baharu. Mereka memerlukan kelangsungan usaha ini. Meskipun ia bukanlah medan utama. Penulis juga tertanya, di mana pergi suara baharu, arus baharu. Sebenarnya penulisan orang baharu kadang-kadang lebih segar. Mereka lebih jujur dan telus. Tulisan masih panas, diangkut dari jemuran amal di medan jihad. Tetapi entalah.


Jika diikutkan, sewaktu angkatan kami mula bersama dakwah dan tarbiyah, bukan tidak ramai yang menulis, dengan tulisan yang basah dan menghidupkan. Terlalu banyak bahkan. Cuma, halatuju kini berbeza. Ada yang mungkin lebih selasa dengan cara sekarang.

Renungan ini adalah satu muhasabah untuk diri sendiri, untuk kembali meniupkan ruh fikrah kita ini dalam tulisan tulisan mendatang. Mudah-mudahan. Mudah mudahan juga kalian yang membaca hingga ke patah perkataan ini mengerti bahwa ia bukan sahaja satu bebelan lewat malam di waktu cuti yang lapang, tetapi juga satu hasrat untuk melihat, makin ramai yang berkarya. Untuk Islam insya Allah.


Benarlah, dakwah berhajatkan pewaris dan pelapis.
Dari satu sudut, jelas terbukti kedhaifan kita di situ.

Dari meja penulis, kita akhiri dengan coretan ini;

“Saya tak rasa gembira kalau pembaca membaca penulisan saya, kemudian dia rasa seronok-seronok, tanpa membawa apa-apa daripada penulisan saya ke dalam kehidupannya.

Pada saya, seorang penulis itu bukan seorang penghibur.
Penulis adalah yang membina ideologi ummah, memimpin pemikiran ummah.

Justeru, penulis yang berjaya, adalah penulis yang penulisannya mampu memberikan kesan kepada kehidupan manusia.”

-Hilal Asyraf


Jangan salah faham. Penulis bukan Hilal Asyraf.
Wallahu’alam.

1 comment:

Anonymous said...

"Penulis adalah yang membina ideologi ummah, memimpin pemikiran ummah."

Allahu Allah.

Benar akh, menulis kadang-kadang mendatangkan konflik jiwa yang sangat sukar difahami oleh penulis itu sendiri. Kadang2 saya pun rasa loser bila menulis tapi rasa2 tiada yang tersentuh dengan tulisan saya.

Teruskan menulis akh, saya suka baca blog akh. Terutamanya bahagian obsesi al-quran. Saya mula perlahan-lahan belajar untuk berinteraksi dengan Al-Quran bila baca penulisan Akh. Saya rasa lebih tenang dan bahagia. Bukan untuk memuji lebih2. Aha, cuma semoga ianya menjadi kekuatan utk akh terus menulis.

Benarlah akh, maa jaa'al qulub,fadakhalal qulub. Yang dari hati akan sampai ke hati.

Infiru!