Sunday, December 14, 2014

HALAQAH



Kekecamukan hidup hari ini membuatkan as sakinah yakni ketenangan menjadi sesuatu yang begitu mahal.




Komponen tubuh manusia yang terdiri daripada jasad, akal dan ruh memerlukan makanan-makanan tersendiri. Jika makan dan minum serta aktiviti aktiviti riadah dapat memenuhi hak hak jasad, manakala ilmu melalui kelas kelas dan pembacaan pembacaan memenuhi hak aqal dan fikiran, kita tertanya tanya, bagaimana pula dengan hak ruh kita?


Sebab itu, setelah penat bekerja, setelah menelaah pelajaran sehingga begitu cemerlang di menara gading, setelah banyak menghabiskan wang membeli keperluan kepeluan jasad yang berbentuk material, setelah memperuntukkan waktu untuk bersukan dan sebagainya, kita masih terasa kosong. Masih tidak terisi. Benarlah Najwa Latif, kosong-kosong.


Rupanya, roh kita belum terisi. Hati kita masih terasa kosong.

Manusia hari ini yang tidak tahu bagaimana untuk mengisi kekosongan tersebut tercari cari apakah jalan yang terbaik. Ya, kita mencari ketenangan. Dalam proses cuba jaya itu, ada yang mencari ketenangan melalui melancong, dengan keluar bersama yang teristimewa, dapatkan urutan beraroma, mandi spa bahkan ada yang cuba menyibukkan diri dengan kerjaya dan hobi supaya kesibukan itu mengisi kekosongan tadi.

Tetapi sekali lagi cuba jaya itu terus gagal. Jika terisi pun ia hanyalah pada pandangan mata kita semata-mata. Bak kata kawan saya Shiva Pragashan dalam manifesto pilihan raya kampus untuk menjadi ahli komittee kelab pelajar A-Level di Kolej Antarabang suatu ketika dahulu,

“Your mind says no, but your heart says yes”

Our heart is saying yes to ‘emptiness’


Beberapa tahun yang lalu Miss Nina mengungkapkan satu kata-kata yang begitu indah dan dalam, sehingga ia memerlukan kita meneropong jauh untuk memaknainya;

“All this while, I’ve been searching for happiness all in the wrong places”


Begitu la sebuah kata-kata, meskipun ringkas, tetapi apabila datang daripada lautan hati yang paling dalam, ia sampai menjentik hati penulis sedalam-dalamnya. Ia tidak perlu dihiaskan lagi dengan perkataan perkataan bombastic yang lain dan tidak perlu diungkapkan secara meleret-leret kerana ia berbicara tentang sebuah hakikat.

Perbincangan kita masih belum tamat.


Dalam kitab hadis Riyadhus Salihin, Imam Nawawi rahimahullah meletakkan sebuah hadis yang begitu menawan dalam bab Sunnahnya Berkumpul untuk Membaca al Quran;


Dari Abu Hurairah r.a katanya, “Rasulullah saw bersabda, “Tiada suatu kaumpun yang sama berkumpul dalam salah satu daripada rumah-rumah Allah sambil membca kitabullah dan saling mempelajarinya melainkan turunlah ketenangan ke atas mereka, serta mereka akan diliputi oleh para malaikat dan Allah menyebut-nyebut mereka itu kepada makhluk makhlukNya yang ada di sisiNya”

(HR Muslim)


Indah bukan. Seindah bulan pernama tatkala dilihat dari sebuah kota yang udaranya bersih dan segar.


Dalam hadis ini Rasulullah saw sedang menawarkan satu solusi kepada kita seputar isu mencari ketenangan. Ketahuilah bahawa antara cara untuk mendapatkan ketenangan atau sakinah ini ialah dengan menghadiri halaqah halaqah quran, halaqah usrah atau tarbawi yang kita adakan saban minggu itu.


Tidak keterlaluan jika dikatakan bahawa usaha kecil untuk mengajak kenalan kenalan terdekat menghadiri halaqah quran dan usrah itu juga merupakan antara usaha untuk mewujudkan perkumpulan manusia yang dimaksudkan oleh hadis tadi. Inilah jalannya! Jalan ke arah mencari ketenangan.

Mungkin inilah yang diperlukan oleh manusia hari ini. Tatkala diasak dengan begitu dahsyat dan ganas oleh tuntutan hidup, mereka mendambakan sedikit masa untuk mendapatkan sakinah. Kita memang ingin menawarkan peluang berhalaqah kepada semua yang berminat, namun kerana perlahannya para du’at yang berjalan dan mempromosikannya menyebabkan ia tidak glamour.


Dan jika mendapat sambutan yang hangat sekalipun, kita kekurangan individu yang berkebolehan serta sanggup untuk melakukan kerja kerja yang tidak popular ini. Yang bersama halaqah tidak mahu membuka cawangan yang lain, bahkan lebih rela menyibukkan diri dengan amal amal berskala besar yang lebih glamour dan mendapat sambutan.

Alangkah sedihnya!

Sekali lagi, kesedihan ini tidak perlu kita ceritakan dan sampaikan dalam ayat yang puitis. Cukup sekadar beberapa patah perkataan yang jujur dan telus kerana ia merupakan satu hakikat yang berlaku, sedang berlaku.


Dalam satu perjumpaan halaqah kami di salah satu daripada rumah rumah Allah, suatu malam yang sunyi dan hening, kami didatangi oleh seorang lelaki yang menghadiahkan kami dengan sepotong kata-kata yang terus membekali semangat kepada kami;


“Jika gugusan bintang merupakan gemerlapan yang menghiasi kanvas langit pada waktu malam dari pandangan bumi, maka halaqah seperti ini menjadi cahaya yang menghiasi bumi dari pandangan langit”

Subhanallah!

Meskipun kata-kata itu menurut kami tidak bersumber daripada mana-mana nas al Quran atau hadith, tetapi ia cukup indah untuk menyifati halaqah tarbawi secara tidak keterlaluan. Ia merupakan satu pendapat yang dikeluarkan oleh seorang lelaki yang diutus oleh Allah untuk menghiburkan kami, insya Allah.

Sebenarnya, bahagian akhir hadis tadi sudah cukup ‘keterlaluan’ dalam menghiburkan mereka yang menjadi aktivis halaqah, usrah atau usaha-usaha yang seumpamanya tatkala Nabi saw bersabda sehingga ke frasa ini;


“…dan Allah menyebut-nyebut mereka itu kepada makhluk makhlukNya yang ada di sisiNya”

Subhanallah.

Allah swt menyebut nyebut usaha kecil kita ini kepada makhluk mahkluk lain disisiNya seakan-akan Allah berbangga bangga dengan usaha itu dan gembira dengan apa yang kalian sedang lakukan dan yang akan terus kalian lakukan itu. Manakah penghormatan yang lebih mulia dan meluhurkan daripada penghormatan ilahi ini ?


Ia merupakan satu petanda bahawa usaha kecil yang dilakukan di bumi ini mendapat perhatian penduduk langit dan sebenanrnya terhubung dengan tali ilahi. Manakah penghormatan yang lebih mengujakan dan mengangkat darjat kita lebih tinggi sehingga menghubungkan kita ke langit sana?


Sebenarnya halaqah yang kecil, senyap, tidak ramai dan tidak mendapat liputan mana-mana stesen penyiaran ini lebih glamour dan famous daripada mana-mana aktiviti kebajikan yang masuk Sinar Harian, bahkan lebih famous daripada gerakan jahiliyah yang mendapat liputan antarabangsa, kerana kita mendapat perhatian penduduk langit yang Allah swt sahaja yang tahu siapakah mereka dan berapa bilangan mereka.

Cukuplah, kami tidak mahu berlebih lebih menambah perisa keterujaan ini.

Begitulah saudaraku,

Betapa sebenarnya halaqah itu sesuatu yang penting dalam hidup kita. Sebenarnya, apa kami ceritakan di atas hanyalah sebahagian daripada urgensi untuk kita terus istiqomah dengan halaqah masing-masing, atau untuk mencari halaqah jika tiada. Adapun, masih banyak sebab sebab lain kenapa kita perlukan halaqah ini dengan alasan yang lebih dahsyat, tetapi kami tidak berniat untuk memberat-beratkan perbincangan ni.

Elok juga kami biarkan para pembaca tertanya-tanya akan hal itu.


Wallahu’alam

3 comments:

munalhanan said...

Inspector,

Bawak usrah/buat kerja tarbiyah tak glamor. Kalau tak silap saya ada kata2 pasal tentera yg senyap or jundullab yg senyap. But tak ingt sape yg cakap.

PC1667 said...

Jundi majhul?

Inspector Saahab said...

Sodaqtukuma.
Jundi majhul.

Kata kata imam al banna