Saturday, August 6, 2016

UZLAH, ADAKAH JALAN TERBAIK?



Uzlah, Adakah Jalan Terbaik? 


Barangkali benar kata seorang brother, "evolusi kematangan" yang berlaku apabila setelah berlalu satu tempoh tarbiah, ada dalam kalangan mereka yang ditarbiyah mula menyepi, tidak membalas teguran dan sapaan di alam maya, memencilkan diri dan katanya perlukan sedikit masa.


Kita juga mungkin begitu. Setelah beberapa langkah berjalan, kita dapati kaki telah penat. Keringat yang di rembeskan pun telah kering. Terasa lenguhnya. Ujian pula makin bertambah. Sehingga ada detiknya komitmen tidak lagi dapat diberikan seperti waktu awal-awal dahulu. Kita mula rasa inferior dengan brothers yang lain, yang terus memacu laju tanpa menoleh ke belakang.


Setelah kondisi itu berterusan tanpa rawatan yang sesuai, tiba-tiba hati pula makin kering. Ibadah-ibadah siang dan malam tinggal pergerakan pergerakan semata-mata. Lamanya berdiri di tengah malam yang sunyi untuk qiyamullail terasa hambar. Helaian al-Quran yang kita tilawah dan tadabur seakan kaku, tidak menggerakkan.

Lalu kita membuat keputusan,


Mungkin aku patut menyendiri, mencari Allah. Pada detik itu tiba, terasa lah jauhnya dari Tuhan, walaupun dekat dengan syariat-syariat Nya. Semakin jauh dengan ketenangan, rahmat dan maghfirah. Jauh. Spiritually jauh.


Adakah uzlah, meninggalkan amanah dan tanggungjawab khilafah adalah jalan keluar? Pada pandangan pertama, mungkin jawapannya ya, ada benarnya. Ambil masa, bawa diri, mencari semangat dan ghairah yang hilang.

Tapi akhi,


Kita ditarbiah untuk mengikut teladan dari al-Quran dan sunnah Rasulullah saw. Adakah jawapannya masih uzlah?

Pada fasa-fasa kritikal seperti ini, mungkin beberapa firman Allah seperti berikut wajar ditelusuri.


وَسَارِعُوا إِلَىٰ مَغْفِرَةٍ مِنْ رَبِّكُمْ وَجَنَّةٍ عَرْضُهَا السَّمَاوَاتُ وَالْأَرْضُ أُعِدَّتْ لِلْمُتَّقِينَ


Dan bersegeralah kamu kepada ampunan dari Tuhanmu dan kepada surga yang luasnya seluas langit dan bumi yang disediakan untuk orang-orang yang bertakwa,


الَّذِينَ يُنْفِقُونَ فِي السَّرَّاءِ وَالضَّرَّاءِ وَالْكَاظِمِينَ الْغَيْظَ وَالْعَافِينَ عَنِ النَّاسِ ۗ وَاللَّهُ يُحِبُّ الْمُحْسِنِينَ


(yaitu) orang-orang yang menafkahkan (hartanya), baik di waktu lapang maupun sempit, dan orang-orang yang menahan amarahnya dan memaafkan (kesalahan) orang. Allah menyukai orang-orang yang berbuat kebajikan.


3:133-134


Ayat ini menerangkan urgensi untuk mendapatkan ampunan dan syurga yang disediakan oleh Allah kepada hamba hamba-Nya. Kedua-duanya merupakan obsesi setiap Muslim apatah lagi mukmin yang benar imannya. Jadi, bagaimana untuk hampir ke puncak kehidupan ini?

Menuju ketakwaan.


Alhamdulillah al Quran menggariskan dengan jelas, tips menjadi muttaqin yang sukses. Mereka adalah orang-orang yang ;


Menginfakkan dalam keadaan atau susah
Menahan amarah
Memaafkan kesalahan orang lain


Tiga tips yang sangat praktikal. Tiga tips yang disimpulkan sebagai perbuatan baik di sisi al Quran. Juga, tiga tips yang mengejutkan. Kerana kesemua tips melibatkan susun atur dalam bersosial.
Bolehkah uzlah jasadiyah (memencilkan diri) memberi ruang kepada kita untuk mempraktikkan 3 tips ini ? Ternyata tidak.


Hanya dengan kita hidup bergaul dengan manusia, bersosial dengan mereka, muayashah dengan mereka dan melakukan aktiviti harian dengan mereka barulah peluang peluang untuk berinfaq, menahan amarah dan memaafkan kesalahan mereka dibukakan kepada kita.


Jika bahasa modennya kita katakan kehidupan sosial adalah kata kuncinya. Bagi yang memahami ruh agama ini yang sentiasa menggerakkan, tahulah kita betapa kehidupan sosial yang dimaksudkan tidak lain tidak bukan adalah kehidupan dakwah dan tarbiyah.


Di jalan dakwah lah kita dituntut untuk menginfakkan harta, masa, emosi, tenaga, buah fikiran dan sebagainya. Di jalan dakwah lah kita perlu banyak menahan amarah,berhadapan dengan kerenah manusia yang beragam. Di jalan dakwah lah kita diuji sama ada untuk memusuhi orang yang menolak pelawaan dakwah atau memaafkan mereka yang akhirnya kita memilih untuk memaafkan.

Indah bukan.


Jadi akh,


Apakah kamu masih ingin memencilkan diri dengan sebab untuk mendekatkan diri dengan Allah, mendapat maghfirah dan meraih syurga yang seluas langit dan bumi itu?

Thursday, August 4, 2016

"AKU TELAH MEMILIHMU..."





"Kamu pakai pencuci muka jenama apa?" soal beliau kepada saya dalam kelas Bahasa Melayu pada pagi itu

"Tak pakai cikgu " jawab saya, dengan nada bersahaja.

Maka bermulalah sesi bebelan percuma untuk hampir setengah jam berikutnya. Err.

"Kalau nak jadi pelajar cemerlang, bukan sahaja kena jaga akademik, tapi pelajar pelajar mesti jaga keterampilan.  Kena contohi ikon kita Dr SMS.  Ni ha,  muka pun kena jaga " lanjut beliau.

Maaf kerana anda terpaksa membaca bebelan ini.

 
Tapi itulah Cikgu Zawahi Sulong. Guru bahasa Melayu SPM, merangkap ketua jabatan bahasa kami suatu ketika dahulu. Tahun berkenaan merupakan tempoh waktu yang cukup membanggakan buat warga MRSM kerana pada waktu itu nama angkasawan negara, Dr Sheikh Muszhapa Shukor mula melonjak naik. Tambahan pula, beliau merupakan lepasan pelajar MRSM sewaktu di bangku sekolah dulu.

Apa lagi, masing masing warga MRSM, kembang kempis hidung mereka. Tumpang gembira. Antaranya termasuklah Cikgu Zawahi. Harap cikgu tak baca ni.

Secara psikologinya manusia suka mengafiliasikan diri mereka dengan orang orang yang hebat dan tokoh kenamaan. Lebih lebih lagi jika tokoh berkenaan mempunyai persamaan dengan mereka. Dalam cerita saya ini, kami warga mrsm. Begitulah, kalau orang yang suka bola, dia suka kalau boleh 'link'  diri mereka dengan top players. Orang yang cenderung bidang agama rasa nak mendabik dada kalau boleh ambil gambar dengan ulamak terkemuka. Biasalah, semua baru nak up.

 
Rasa special bila ada hubungan khas atau affiliation dengan figure tertentu ini Allah campakkan dalam diri manusia. Barangkali ia satu bentuk penghormatan yang kita semua cari untuk memuaskan keinginan diri. Lebih-lebih lagi bagi anak-anak muda seperti saya dan kita semua, yang masih dalam pencarian identiti diri dan masih cuba memahami erti kehidupan.

Berbalik kepada kisah pada tahun 2009 itu, tak cukup sekadar berbangga dari jauh dengan kemunculan Dr SMS, nak ditakdirkan oleh Allah swt saya termasuk dalam senarai Badan Wakil Pelajar di mrsm kami dan kami diarahkan untuk merancang suatu projek mega iaitu membawa Dr SMS ke maktab kami,  untuk menginspirasi para pelajar, kononnya.

Penghormatan,  sekali lagi yang dikejar.

Kalau dapat bahwa Dr SMS ni,  mesti kepimpinan era kami akan diingat dan dikenang oleh warga maktab. Kelakar sungguh cara fikir waktu itu . Dan alhamdulillah, seperti yang dirancang, maka bertandanglah Dr. SMS ke maktab, dalam satu majlis yang gilang gemilang.

Bangga. Huhu.

Begitu lah sedikit sebanyak perjalanan hidup mewarnai kanvas seorang remaja belasan tahun. Tahun tahun berikutnya,  siapa sangka Allah swt mempunyai cara tersendiri mengajar saya akan erti hidup ini, lebih tepat berkenaan nilai, penghormatan, kemuliaan dan tujuan tujuan hidup.

Bak kata Miss Nina, "All this while, I have been searching happiness in all the wrong places"

Itulah yang beliau rasai setelah bertemu dengan nilai sbenarnya ini.

Berkenalan dengan tarbiyah, halaqah,  al-Quran, taddabur, dakwah, shahadatul haq dan banyak lagi jargon baharu dalam kamus hidup pada tahun tahun berikutnya selepas tamat pengajian di peringkat sekolah boleh saya saya rumuskan dengan satu ayat,  cukuplah kita berbangga menjadi seorang muslim, tak perlu mencari kehormatan, kemuliaan dan afliasi lain.

Perkenalan dengan program tarbiyah, untuk memahami addeen, yang pada asalnya sekadar untuk mengisi waktu kosong dengan perkara yang boleh dikatakan berfaedah tidak semena-mena membuka sedikit demi sedikit rahsia hidup kita ini, sekurang kurangnya, itulah yang dirasai oleh saya.

Tidak lengkap kiranya dalam ruang yang terbatas ini tidak kita sama-sama menyelusuri beberapa baris ungkapan khazanah tinggalan sifu kita,  Sayyid Qutb dalam menggarap perasaan yang sama ini.  Boleh jadi, beliau lebih tepat mengungkapkannya ;


" Hidup di bawah bayangan al-Quran adalah suatu keni’matan yang tidak dapat diketahui melainkan hanya oleh mereka yang mengecapinya sahaja. Ia adalah suatu keni’matan yang meluhur, memberkati dan membersihkan usia seseorang."


"Alhamdulillah syukur ke hadrat Allah yang telah mengurniakan kepadaku keni’matan hidup di bawah bayangan al-Qur’an selama beberapa waktu, di mana aku telah mengecapi nimat yang tidak pernah aku kecapi sepanjang hidupku, iaitu ni’mat yang meluhur, memberkati dan membersihkan usiaku."


"Aku hidup seolah-olah mendengar Allah bercakap kepadaku dengan al-Quran ini… ya Dia bercakap kepadaku seorang hamba yang amat kerdil dan amat kecil. Manakah penghormatan yang dapat dicapai oleh seseorang lebih tinggi dari penghormatan Ilahi yang amat besar ini? Manakah keluhuran usia yang lebih tinggi dari keluhuran usia yang diangkatkan oleh kitab suci ini? Manakah darjah kemuliaan bagi seseorang yang lebih tinggi dari darjah kemuliaan yang dikurniakan oleh Allah Pencipta Yang Maha Mulia?"


Subhanallah

Entah kali ke berapa saya quoted ungkapan ini. Semakin dibaca dan direnung, semakin dekat. Kata kata yang hidup. Moga beliau tenang di sana, terus bergirang gembira dan mendapat rezeki dari sisi Allah swt.


Alhamdulillah,

Dengan takdir Ilahi ini, kita semua akhirnya di sini.


Maka,  buku yang ada di tangan anda ini hanyalah himpunan perkongsian perasaan, pengalaman, kefahaman dan ilham yang sempat diterjemahkan dalam bentuk tulisan. Ia adalah usaha yang sangat minimal untuk berkongsi perasaan itu. Saya tidak berseorangan dalam hal ini.

Ia adalah perkongsian kita semua yang menempuh jalan dan takdir hidup yang hampir sama. Asalnya artikel-artikel yang bakal kita sama-sama renungkan sekejap lagi dimuat naik ke laman alam maya sebagai teman rapat untuk penulis berkongsi. Akan tetapi, setelah beberapa tahun, timbul idea untuk dibawakan himpunan artikel ini dalam bentuk buku untuk melebar luas manfaatnya. Semoga ia menjadi buah tangan yang berkhasiat dengan izin Allah swt.

Puji syukur kepada Allah swt, sekalung penghargaan kepada team Iman Publications atas usaha yang baik ini. Saya, sejujurnya tidak berkemahiran menulis ucapan-ucapan penghargaan. Tetapi jauh di sudut hati yang paling dalam, saya menghargai setiap insan yang mengesani diri ini dan menjadi asbab lahirnya perkongsian perkongsian ini. Barisan ikhwah, ahli halaqah yang silih berganti, murabbi dan mutarabbi dan ramai lagi. Apalah sangat nilainya nama kita terpateri pada helaian kertas yang bakal lusuh dan dilupakan tidak lama lagi  ini jika nak dibandingkan dengan nama kalian semua di langit sana atas usaha yang tidak pernah berhenti berfikir untuk dakwah islam.

Buku ini, ianya tidak seberapa. Bahkan mungkin tidak sampai kepada maksud yang cuba saya sampaikan. Sekurang-kurangnya ia tidak membawa kita semua menghabiskan masa dalam satu lagi perbuatan sia-sia. Saya berlindung dengan Allah swt daripada kesia-siaan itu.

Buya HAMKA pernah ditanya,

"Di tanah haram itu memang ada pelacur ya pak? "

“Kenapa?"

"Saya ketemu pelacur di sana "

" Oh,  dan anehnya kamu tahu, di tempat seperti Amerika Syarikat, saya ketemu hamba-hamba Allah yang soleh"

Lalu beliau menutup perbicaraan itu,

"Seseorang itu akan ketemu dengan apa yang dia cari "

Selamat mencari manfaat dari buku ini insya Allah.


Inspector Saahab
27 Ramadhan 1437H