Monday, January 22, 2018

FI ZILAL QUR'AN, REVISIT #1



Syarahan Bebas
Muqaddimah Fi Zilal Quran
Sayyid Qutb

Himpunan perenungan ini dinamakan sendiri oleh Sayyid Qutb sebagaiفي ظلال القران  yakni bermaksud di bawah bayangan, atau naungan al-Quran. Secara bahasa zilal boleh dimaksudkan bayang-bayang atau teduhan sesuatu seperti teduhan pokok, teduhan jambatan mahupun rumah. Dari sudut maknawi pula teduhan atau naungan ini boleh bermaksud berada di bawah perlindungan sesuatu yang lebih berkuasa. Sebagai contoh, kita katakan negeri-negeri Islam berada di bawah naungan Kerajaan Turki Uthmaniyah. Ini tidaklah secara bahasa bermaksud negeri-negeri itu berteduh di bawah bayangan Kerajaan yang lebih besar tetapi mereka nyaman mendapat perlindungan,perhatian dan penjagaan kerajaan yang lebih besar.
Kedua-dua maksud ini boleh digunakan untuk menyampaikan maksud dan perasaan yang cuba dikongsi oleh Sayyid Qutb berkenaan kehidupan di bawah Zilal al-Quran. Dalam al-Quran terdapat beberapa perkataan zilal atau bayang-bayang atau tempat berteduh atau naungan.

هُمْ وَأَزْوَاجُهُمْ فِي ظِلَالٍ عَلَى الْأَرَائِكِ مُتَّكِئُونَ
Mereka dan isteri-isteri mereka berada dalam tempat yang teduh, bertelekan di atas dipan-dipan.
(Yasin :56)
إِنَّ الْمُتَّقِينَ فِي ظِلَالٍ وَعُيُونٍ
Sesungguhnya orang-orang yang bertakwa berada dalam naungan (yang teduh) dan (di sekitar) mata-mata air.
(Mursalaat :41)
Kedua-dua perkataan zilal ini digunakan untuk menggambarkan suasana yang nyaman, tempat berteduh yang menenangkan dan merehatkan. Perkataan zilal dalam redaksi Quran merujuk suasana syurga yang perasaannya tidak dapat kita bayangkan dengan pancaindera kita. Inilah yang cuba digambarkan oleh Sayyid Qutb, kehidupan di bawa teduhan al-Quran yang nyaman, merehatkan dan tenteram.

No comments: