Petikan Buku 'Interaksi Dengan al-Qur'an'
Muassis Resources
Slogan الإسلام هو الحل
yang bermaksud Islam ialah solusi, Islam is the solution merupakan
slogan yang dilaung-laungkan di era kebangkitan Islam pada tahun-tahun yang lampau
terutamanya di negara-negara Arab timur tengah dalam menentang kezaliman
pemimpin yang menindas rakyat dan menjadi tali barut penjajah serta mengajak
orang ramai untuk kembali beramal denga Islam yang syumul sekaligus menolak
ideologi-ideologi lain. Pilihan slogan ini adalah tepat. Ia bersesuaian dengan nature
Al-Qur’an yang menjadi rujukan utama dalam Islam yang menawarkan solusi kepada
pelbagai permasalahan dalam mendirikan ‘bangunan Islam’[1] dan
mempertahankannya.
Tidaklah keterlaluan jika kita katakan sebahagian
besar kandungan Al-Qur’an merupakan solusi, jawapan atau bimbingan yang diturunkan
dari langit untuk menuntun pergerakan dakwah Rasulullah SAW dan para sahabat
baginda sehinggalah Negara Islam pertama iaitu Madinah Munawarah tertegak dan
stabil. Solusi-solusi Qur’ani ini turun sedikit demi sedikit selari dengan
proses pergerakan dan penegakan Deenul Islam itu sendiri yang bermula
dengan pengislahan individu-individu Muslim yang terdiri daripada para sahabat
r.anhun, pembentukan keluarga Muslim, memimpin masyarakat, memperbaiki kerajaan
dan mendirikan Daulah Islamiyah dalam tempoh hidup Rasulullah SAW.
Dengan berbekalkan solusi dari isi kandungan Al-Qur’an
yang sama, generasi berikutnya meneruskan penyebaran Islam sehingga
bergabungnya wilayah-wilayah Islam di bawah pemerintahan sistem Khilafah Islam
dan di kemuncak ketamadunan Islam di abad-abad yang lepas, seluruh dunia tunduk
pada World order[2]
Islam. Pada kemuncak ini, sistem-sistem, aturan-aturan, neraca, prinsip-prinsip
dalam aspek sosial, politik, ekonomi, ketenteraan, pendidikan dan sebagainya di
peringkat global dicedok dari Islam yang bersumberkan wahyu Al-Qur’an.
Perhatikan ayat-ayat Al-Qur’an. Kesemuanya diturunkan dalam rangka
pergerakan dan perjuangan ini. Masalah-masalah yang timbul sepanjang meniti
jalan ini, satu persatu dijawab oleh ayat-ayat Al-Qur’an.
Ketika umat islam ditindas pada awal kemunculan mereka, ayat-ayat yang
turun bertalu-talu menyuruh mereka bersabar atas apa yang menimpa mereka dan
menyerahkan nasib dan balasan bagi musuh-musuh mereka dan musuh-musuh Allah itu
sendiri kepada Allah SWT.
وَاصْبِرْ
عَلَىٰ مَا يَقُولُونَ وَاهْجُرْهُمْ هَجْرًا جَمِيلًا
Dan
bersabarlah terhadap apa yang mereka ucapkan dan jauhilah mereka dengan cara
yang baik.
وَذَرْنِي
وَالْمُكَذِّبِينَ أُولِي النَّعْمَةِ وَمَهِّلْهُمْ قَلِيلًا
Dan
biarkanlah Aku (saja) bertindak terhadap orang-orang yang mendustakan itu,
orang-orang yang mempunyai kemewahan dan beri tangguhlah mereka barang
sebentar.
[Al-Muzammil :10-11]
[Al-Muzammil :10-11]
Ketika masyarakat
muslim itu sudah tidak tertahan lagi dengan penindasan yang mereka hadapi dan
timbul perasaan ingin bangkit membalas dendam atas perbuatan-perbuatan kasar
dan penderaan fizikal, turun lagi ayat-ayat yang meminta mereka terus bersabar dan menahan tangan mereka daripada membuat tindak
balas dalam keadaan mereka belum cukup kekuatan.
قِيلَ
لَهُمْ كُفُّوا أَيْدِيَكُمْ وَأَقِيمُوا الصَّلَاةَ وَآتُوا الزَّكَاةَ
…Dikatakan
kepada mereka: "Tahanlah tanganmu (dari berperang), dirikanlah sembahyang
dan tunaikanlah zakat!...
[An-Nisa’-77]
[An-Nisa’-77]
Apabila mereka diuji
dengan peristiwa boikot yang mencengkam keperluan hidup mereka, Al-Qur’an
menjanjikan kepada mereka bahawa dalam setiap kesusahan itu pasti akan diiringi
kesenangan menyebabkan mereka terus tabah dan bersabar dengan ujian jalan ini.
فَإِنَّ
مَعَ الْعُسْرِ يُسْرًا
Karena
sesungguhnya sesudah kesulitan itu ada kemudahan
[Al-Insyirah :5]
[Al-Insyirah :5]
Apabila kota
Mekah dilihat tidak lagi mampu menjadi medan yang boleh dijadikan tapak
pergerakan dakwah Islam, lalu diturunkan surah al-Kahfi yang mengisyaratkan
perlunya penghijrahan sehingga sebahagian daripada mereka diutus ke Habshah[3].
Kemudian ada pula Hijrah ke Madinah.
Apabila Negara
Madinah tertubuh, turun pula ayat-ayat sebagai bekal dan solusi untuk
berhadapan dengan serangan-serangan ideologi dan pemikiran daripada ahli kitab.
Sejak meletusnya peperangan Badar dan disusuli peperangan-peperangan yang lain,
turun pula ayat Qur’an untuk membimbing mereka dalam menyikapi peperangan
tersebut dari segi persiapan, etika berperang, kepatuhan semasa berperang,
menguruskan tawanan perang dan membahagi harta rampasan.
Kemudian
ayat-ayat Qur’an terus turun sebagai solusi kepada pelbagai masalah dalam
sistem masyarakat, rumah tangga Islam, muamalat, kepimpinan dan politik,
hubungan dengan yang bukan Islam dan sebagainya. Kesemuanya dilihat mempunyai
hubungan yang selari dan padu dengan perkembangan penegakan Islam di segenap
sudut. Dalam keadaan inilah para sahabat berinteraksi dengan Al-Qur’an. Apabila
masalah muncul, mereka menunggu solusi dari Al-Qur’an, seperti kisah Khaulah
binti Tha’labah yang telah kita singgung sebelum ini.
Sekarang marilah
kita lihat kepada realiti kita hari ini. Bagaimana kita berinteraksi dengan
solusi-solusi yang ditawarkan oleh Al-Qur’an ini? Kita ada kitab berupa solusi di
tangan, tetapi kehidupan kita jauh dari lapangan amal sebagaimana lapangan amal
para sahabat r.anhum. Masalah-masalah yang kita hadapi tidak bersangkutan
dengan solusi yang diberikan. Jikapun ada yang boleh dimanfaatkan dari Al-Qur’an
ia adalah sebahagian kecil dan hanyalah serpihan manfaat yang digunakan untuk
tujuan-tujuan yang kecil bersifat peribadi, bukan tugas-tugas besar yang atas
sebabnya Al-Qur’an diturunkan.
Kita tidak
berada dalam arus pergerakan menegakkan Islam. Adakah Islam sudah tertegak?
Adakah semua sistem, aturan, prinsip dan neraca Islam sudah diamalkan? Adakah world
order hari ini mengikut selera Al-Qur’an ? Adakah rumah tangga kita
bernuansakan Islam? Adakah system masyarakat, politik, ketenteraan, muamalat
dan sebagainya mengikut telunjuk Al-Qur’an?
Kita pun setuju,
jawapan bagi soalan-soalan di atas adalah tidak melainkan sebahagian kecil pada
aspek-aspek tertentu. Tetapi kita tetap belum berada dalam lapangan atau
pergerakan untuk memulakan ia atau meneruskan perjuangannya. Selagi mana
kehidupan kita terpisah dari arus ini, selagi itu interaksi kita dengan
ayat-ayat Al-Qur’an tidak ngam dan serasi. Seakan-akan Al-Qur’an berada di satu
wadi[4]
dan kita berada di wadi yang lain, jauh dan terpisah.
No comments:
Post a Comment