Wednesday, February 14, 2018

DUNIA INGIN MERASA


Ali bin Abi Thalhah meriwayatkan dari Ibnu Abbas tentang firman Allah sebagaimana yang dinaqalkan oleh al-Imam Ibn Kathir ;

أَلَمْ تَرَ كَيْفَ ضَرَبَ اللَّهُ مَثَلًا كَلِمَةً طَيِّبَةً كَشَجَرَةٍ طَيِّبَةٍ أَصْلُهَا ثَابِتٌ وَفَرْعُهَا فِي السَّمَاءِ

Tidakkah kamu perhatikan bagaimana Allah telah membuat perumpamaan kalimat yang baik seperti pohon yang baik, akarnya teguh dan cabangnya (menjulang) ke langit...

Menurut Ibn Abbas, kalimah yang baik ini ialah kalimah لا إله إلا الله manakala pokok dalam ayat ini ialah perumpamaan bagi seorang akh mukmin.

Dalam ayat berikutnya Allah menjelaskan lagi ciri pokok berkenaan yang tidak pantas dibiarkan tanpa diambil pengajaran oleh seorang mukmin, apatah jika dia seorang akh di jalan dakwah.


تُؤْتِي أُكُلَهَا كُلَّ حِينٍ بِإِذْنِ رَبِّهَا ۗ وَيَضْرِبُ اللَّهُ الْأَمْثَالَ لِلنَّاسِ لَعَلَّهُمْ يَتَذَكَّرُونَ

pohon itu memberikan buahnya pada setiap musim dengan seizin Tuhannya. Allah membuat perumpamaan-perumpamaan itu untuk manusia supaya mereka selalu ingat.

Ibrahim :25

Ciri yang paling menonjol dalam ayat di atas ialah

تُؤْتِي أُكُلَهَا كُلَّ حِينٍ بِإِذْنِ رَبِّهَا ۗ

Memberikan buah setiap masa, dengan izin Tuhannya.

Wujud kah pohon yang sentiasa memberi buahnya? Pada setiap masa? Bukan pokok buahan ada musim-musimnya?

Berkenaan pokok ini, Ibn Umar r.anhuma berpendapat ia adalah pokok kurma.

Begitulah sifat seorang akh mukmin, daie muslim. Ia sedia memberi, setiap masa, dengan izin Tuhannya. Jika kita renungkan sifat pokok kurma, bukan sahaja sentiasa memberikan buah, tetapi yang paling baik diberikan ketika musim panas yakni ketika pokok pokok lain enggan untuk memberi hasil mereka.

Sifat daie mukmin memang begitu. Memberi yang terbaik lebih lebih lagi dalam keadaan yang sulit. Dalam keadaan orang lain sudah tidak mampu atau sanggup lagi, dia mara ke depan & volunteers kan diri.

Ia menerangkan prinsip yang sering diulang-ulang dalam pertemuan mereka iaitu ;

يعطي ولا يأخذ
Maksudnya, memberi bukan (sekadar) menerima.

Marilah kita mula memberi akhi. Kerana kita sudah banyak menerima. Kita terima santunan para daie sebelum kita. Kita disuap bahan halaqah. Daurah yang disusun. Dimutabaah amal-amal fardhi. Dilayan kerenah & segala perangai kita...

Nikmat Tuhan mana lagi yang bakal kita dustakan. Dunia sedang menunggu untuk merasai pemberian kita. Umat merindui sentuhan kita, tangan - tangan kita untuk membelai mereka dengan fikrah & akhlak islam yang syumul.

Jangan takut dan biarkan diri kita terperap kaku di penjuru rumah.

Sebenarnya ada sesuatu yang lebih berat untuk disampaikan berkenaan redaksi ayat di atas, namun kita simpan sahaja... Untuk diceritakan di medan amal kelak....


Semoga kita terus boleh memberi....

Kerana memberi lambang tidak pentingkan diri sendiri...


No comments: