Perasankah kita, al-Qur'an sering kali bertanyakan sesuatu yang pada surface nya kita sudah tahu. Dibawakan satu statement yang cukup makruf, yakni diketahui secara umum kemudian diiringi dengan persoalan atau hujung ayat yang cuba memprovok kita, "In kuntum ta'lamun..." yang bermaksud sekiranya kamu mengetahui..
Atau pangkalnya dimulai dengan frasa, ..."Fa'lam....." maka ketahuilah....Ilmuilah... Sedangkan pokok perbicaraan yang menyusul kemudiannya memang sudah diketahui umum. Jadi "tahu" yang macam mana yang dimaksudkan oleh al-Qur'an?!
Jadi apakah fungsi frasa-frasa ayat sebegini?
Sudah tentu ia mempunyai peranan tertentu. Tidak tercabarkah kita tatkala membacanya? Bukankah di sana ada signal yang cuba mengajak kita menilai kembali pengetahuan kita pada perkara-perkara yang kita tahu? Kerana seakan-akan ia hanyalah konon-konon tahu sahaja.
Atau mungkin, disebalik ayat-ayat ini, di sana ada signal bahawa yang kita tahu itu hanya satu peringkat daripada banyak peringkat pengetahuan. Justeru, ia menyeru..."In kuntum ta'lamun..." atau "...Lau ka na ya'lamuun..." atau ..."Fa'lam....." atau "Wa'lam......" dan sebagainya.
Maka, mari menilai kembali pengetahuan-pengetahuan kita kepada asas-asas Islam yang sudah kita kenal, baca dan "tahu" sejak bangku sekolah itu. Persoalan akidah, syurga & neraka, janji-janji Allah, kemenangan Islam, kewajipan berdakwah dan sebagainya. Betulkah kita sudah tahu? Atau sekadar "tahu" ?
Jika disemak dalam hadis, ternyata tahu itu mempunyai peringkatnya tersendiri.
Dalam hadith, Rasulullah SAW bersabda;
لَوْ تعْلمُونَ ما أَعْلَمُ لَضَحِكْتُمْ قَلِيلاً وَلَبَكَيْتُمْ كثيراً
Sekiranya engkau mengetahui apa yang aku ketahui, nescaya engkau akan sedikit ketawa dan banyaknya menangis!
Anas berkata, tidak pernah didengarinya khutbah yang lebih menakutkan daripada ini! Takut daripada apa? Takut daripada ketidaktahuan atau takut kalau-kalau konon-konon tahu sahaja!
Beliau menyebut lagi, "Maka para sahabat Rasulullah saw. menutupi muka mereka lalu menangis terisak-isak."
Jadi, betulkah kita sudah tahu?
Atau pura-pura tahu sahaja?
Mari kita semak sejenak.
Sebenarnya tidaklah terlalu lama tempoh kita mula ditarbiyah sehingga ke hari ini. Mungkin dalam kalangan kita sudah mula mengikuti program tarbiyah sejak 3 tahun yang lalu, atau 4 tahun yang lalu, atau 5 tahun yang lalu. Keterlibatan kita sepanjang tempoh ini telah banyak memberi "tahu" kepada kita. Sehingga tatkala mengetahuinya buat kali pertama, kita seakan dirasuk, dipukau dan bertindak sehingga tidak dapat dihalang lagi dengan pengetahuan itu.
Kewajipan dakwah? Kita tahu dan kita beramal gila-gila. Kebenaran janji Allah? Kita tahu dan begitu yakin tatkala meneliti ayat-ayat al-Qur'an. Kemuliaan Islam. Neraca langit? Azabnya neraka? Nikmatnya syurga? Dunia adalah hina? Dunia adalah medan ujian?
Kewajipan dakwah? Kita tahu dan kita beramal gila-gila. Kebenaran janji Allah? Kita tahu dan begitu yakin tatkala meneliti ayat-ayat al-Qur'an. Kemuliaan Islam. Neraca langit? Azabnya neraka? Nikmatnya syurga? Dunia adalah hina? Dunia adalah medan ujian?
Ya. Ini semua adalah "'tahu" yang baru.
Namun lihatlah kepada diri kita hari ini? Betulkah kita sudah tahu? Benar-benar tahu dengan mendalam? Benar daqiq pemahamannya?
Atau konon-konon tahu sahaja?
Kenapa setelah 4, 5, 6 atau lebih banyak tahun-tahun diberi "tahu", kelihatannya tidak bertambah tangis kita, bahkan mula bertambah gelak kita?
Kenapa dakwah yang kononya kita "tahu" wajib itu tidak ditanggap serius? Ketika kelas berjalan, kita berikan alasan sibuk dengan kelas. Sekarang kita sudah bekerja, kita beri alasan sibuk bekerja pula. Jadi betulkah kita sudah "tahu?"
Dalam tempoh yang begitu sekejap. Dunia yang telah kita buang dari hati kita pada beberapa tahu yang lepas sudah kembali bahkan dengan tarikan yang lebih kuat. Dalam tempoh yang begitu sekejap. Tarikan lainan jantina yang kita tepis habis-habisan dahulu, kini kita biarkan masuk melalui pintu utama rumah-rumah kita. Dalam tempoh yang begitu sekejap. Wangian syurga yang seolah-olah kita hidunya dalam sesi mabit kita telah dikalahkan oleh bau wang kertas di hari gaji..
Jadi betulkah kita sudah tahu?
Sesungguhnya al-Qur'an memang tepat dan benar. Ia mengajak kita menguji perasaan tahu itu. Lagi dan lagi. 5,6,7 dan seterusnya angka bilangan tahun kita "tahu" mendaki dan bertambah, ia tidak pernah cukup untuk mengatakan kita sudah tahu.
Kesimpulannya, jangan pernah merasa sudah tahu dan sudah terpelihara. Tahun-tahun di Madinah, masih ada isu-isu para sahabat keliru dengan alat dan matlamat, silau dengan kenikmatan dunia dan terpelosok ke kancah fitnah, kerana mereka juga belum benar-benar tahu.
Alangkah perlunya kita kepada al-Qur'an dan tarbiyah, untuk terus membimbing diri kita, mendaki ke peringkat-peringkat tahu yang lebih tinggi dan dalam, sehingga kita sedikit ketawa dan banyak menangis. Jadi jangan cepat bosan, jangan menarik muka masam apabila kita diperingatkan dengan perkara bascis dalam Islam, kerana kita itu konon-konon "tahu" sahaja!
***
Hadis sahih, diriwayatkan oleh al-Bukhari, hadis no. 91, 507, 4255, 5885, 6005, 6562, 6750 dan 6751; Muslim, hadis no. 4351-4354; Ahmad, hadis no. 11602, 12198, 12324, 12355, 12672 dan 13173
Hadis sahih, diriwayatkan oleh al-Bukhari, hadis no. 91, 507, 4255, 5885, 6005, 6562, 6750 dan 6751; Muslim, hadis no. 4351-4354; Ahmad, hadis no. 11602, 12198, 12324, 12355, 12672 dan 13173
No comments:
Post a Comment