Sunday, March 18, 2018

SEKEPING HATI


Bermula dengan sekeping hati.

Pada asalnya seluruh bumi berada dalam kegelapan, tanpa panduan cahaya untuk mengatur kehidupan. Manusia berada dalam kejahilan dan kesesatan yang nyata. Sehinggalah Allah swt telah memilih satu spot yang begitu terpencil dari seluas-luas muka bumi itu untuk dijadikan titik mula turunnya wahyu, nur yang akan menyinari hidup manusia.

Di samping itu, dalam kalangan isi bumi Mekah yang ramai itu, dipilih pula salah seorang hamba-Nya untuk menerima amanah ini. Maka mulalah al-Qur'an turun ke dalam hati Rasulullah saw. Ia bermula dengan sekeping hati.

Rasulullah menjadi mentol pertama. Suasana masih suram & gelap. Kemudian satu mentol ini menjadi, dua, tiga, empat dan seterusnya bertambah & bertambah.

Satu demi satu hati dibebaskan dari kegelapan. Sehingga cahaya itu menyinari Semenanjung Tanah Arab. Ia sampai merentasi sempadan geografi, ke Afrika. Sampai ke Habshah, Mesir, Maghribi & seluruh Afrika Utara.

Di sebelah Timur pula ia sampai menerangi Parsi, sampai ke India, Pakistan & tidak ketinggalan ke kepulauan Melayu.

Dari Afrika Utara, cahaya hidayah sampai merentasi benua Eropah. Ia masuk ke Sepanyol yang dikenali sebagai Andalusia. Cahaya yang terus marak itu hampir-hampir sahaja membuka & membebaskan Perancis.

Dari arah yang lain, mentol itu menyala ke Turkey & kawasan sekitarnya.

Bermula  dengan sekeping hati. Cahaya ini merentasi waktu dan zaman yang jauh. Musuh-musuh Allah ingin memadamkan cahaya ini dengan mulut-mulut mereka tetapi usaha itu tidak berjaya.

Namun, setelah tempoh masa yang lama & perjalanan yang jauh itu. Ada kota-kota yang dahulu bersinar dengan cahaya ini telah kembali malap bahkan terus padam di situ.

Siapakah yang akan membawa kembali cahaya ini & menerangi wilayah-wilayah ini?

Masih banyak tempat tempat yang belum disapa sinaran cahaya. Meskipun  bacaan Qur'an kedengaran di corong-corong suara di kiri dan kanan kita, tetapi masih ada yang belum menerima cahaya tersebut sebagaimana sepatutnya.

Masih ada di sekeliling kita pusat pengajian yang suram & malap. Kolej-kolej yang suram dan malap. Bahkan apatah lagi hati-hati yang suram dan malap. Sesungguhnya manusia lahir saban hari. Jika kerja membawa cahaya ini tidak dilakukan, siapakah yang akan menyelamatkan mereka?


Dari Umar al-Khattab, Rasulullah saw bersabda;

"‏ إِنَّ اللَّهَ يَرْفَعُ بِهَذَا الْكِتَابِ أَقْوَامًا وَيَضَعُ بِهِ آخَرِينَ ‏"‏ ‏
Sesungguhnya Allah mengangkat dengan kitab ini (Qur'an) sesuatu kaum dan merendahkan yang lain dengannya.

Sahih Muslim

Mereka yang menerima al-Qur'an, yang bergelimang dengan cahaya ini yang terdiri daripada ahli Qur'an, orang yang belajar di kuliah-kuliah deeniyah, atau mereka yang dipilih mengikuti program tarbiyah sepatutnya tidak lagi mencari kemuliaan lain dari kerja menyampaikan al-Quran.

Kelab-kelab yang tiada hala tuju, masa yang lama terbuang di gelanggang sukan, perbincangan-perbincangan dan perdebatan-perdebatan yang tidak membuahkan amal serta memburu jawatan yang sementara kerana ganjaran kredit & mata ko-Q merupakan musuh dalam selimut yang patut dibuang terus. Ini semua adalah fatamorgana yang menipu.

Adakah mustahil sejarah berulang? Sedangkan ia bermula dengan sekeping hati..


Semoga kita dijadikan sebagaimana golongan yang pertama. Yang bersungguh-sungguh nak masuk syurga. Yang cukuplah syurga menjadi motivasi, bukan ganjaran dunia yang bersifat sementara dan murah ini. Amin ya Rabb


https://telegram.me/muassis

Friday, March 9, 2018

YANG SENTIASA SETIA



Antara yang kita pelajari dari kisah kisah Al-Qur’an adalah bagaimana ikon ikon Qur'an apabila ditimpa musibah atau tragedy, mereka mengadu & merintih kepada Allah swt. Semata-mata kepada Allah.

Sebagaimana berikut :

قَالَ إِنَّمَا أَشْكُو بَثِّي وَحُزْنِي إِلَى اللَّهِ وَأَعْلَمُ مِنَ اللَّهِ مَا لَا تَعْلَمُونَ

Ya'qub menjawab:

"Sesungguhnya hanyalah kepada Allah aku mengadukan kesusahan dan kesedihanku, dan aku mengetahui dari Allah apa yang kamu tiada mengetahuinya".

12 :86

Nabi Yaakob telah mengadukan kesedihan yang menimpa dirinya dan jiwanya bertalu-talu. Setelah kehilangan Yusuf puluhan tahun lamanya, kini dia diuji dengan kehilangan anaknya yang lain pula (Bunyamin). Dua putera yang terbaik dalam kalangan Putera-putera yang ramai di kelilingnya menjadi ujian kehidupan buat dirinya, satu persatu.

Kepada siapa lagi yang patut diadukan dukacita ini melainkan Allah swt? Bukankah Allah itu mengatur kehidupan para hamba-Nya? Tatkala seluruh umat berkumpul untuk mendatangkan kemudaratan kepada seorang hamba-Nya namun jika ia tidak mengizinkan hal yang demikian berlaku, nescaya ia tidak akan berlaku.

Perkara yang sama berlaku kepada Khawlah bt Tsalabah.

Disebutkan dalam firman Allah SWT :


قَدْ سَمِعَ اللَّهُ قَوْلَ الَّتِي تُجَادِلُكَ فِي زَوْجِهَا وَتَشْتَكِي إِلَى اللَّهِ وَاللَّهُ يَسْمَعُ تَحَاوُرَكُمَا ۚ إِنَّ اللَّهَ سَمِيعٌ بَصِيرٌ

Sesungguhnya Allah telah mendengar perkataan wanita yang mengajukan gugatan kepada kamu tentang suaminya, dan mengadukan (halnya) kepada Allah. Dan Allah mendengar soal jawab antara kamu berdua. Sesungguhnya Allah Maha Mendengar lagi Maha Melihat.

58:1

وَتَشْتَكِي إِلَى اللَّه

Dan dia mengadu kepada Allah

Khawlah telah mengajarkan pelajaran yang sama seperti mana Nabi Allah Yaakob. Alangkah bijaksananya tokoh sahabiah bernama Khawlah ini, ia menggambarkan pribadi muslimah yang mahal harga dirinya, mempu mengawal emosi dengan telunjuk wahyu dan akal yang sihat sehingga di sebalik ujian rumah tangga yang meninpa dirinya itu, dia nampak Allah SWT tempat dia meluahkan perasaaan yang tidak nyaman itu.

Lebih hebat dari itu, lihatlah bagaimana peristiwa sulit dan kecil ini diangkat menjadi topik utama surah ini ! Tidak ada isu lain kah untuk mengisi lembaran-lembaran al-Qur'an ? Tidak.! Bukan begitu kita menggali hikmah ayat dan surah ini.

Ini ternyata, sikap yang diambil oleh Khawlah walaupun dilihat kecil dan terpencil dalam begitu banyak peristiwa yang berlaku saban hari dalam kalangan manusia yang ribuan itu, al-Qur'an telah merakam sikap ini dan memberikan perhatian yang khusus. Kerana alangkah hebatnya orang yang beriman apabila mengadu kepada Allah swt. Takala diuji, dia yakin bahawa tempat pergantungan selain Allah swt adalah lemah, selemah sarang-sarang labah-labah!





Para Anbiya & mereka yang soleh dari generasi awal islam telah meninggalkan kita semua kunci kehidupan iaitu ;

وَتَشْتَكِي إِلَى اللَّه.


Ayuh para duat!

Merintih lah kepada Allah swt 😊


Bilakah kali terakhir kita merintih kepada Allah swt ? Bukankah kita dituntut berbuat demikian hari demi hari ? Bukankah ujian kita banyak dan berat? Bukankah kita makhluk yang kerdil dan halus? Bukankah saban hari kebenaran ditekan sehingga hampir padam cahaya yang menunjukkan bezanya hitam dan putih ? Bukankah jiwa kita rapuh dan emosi kita tidak stabil tatkala dakwah ditolak dan niat baik kita disalah tafsir? Bukankah kita terlalu penat dengan hari yang panjang serta urusan yang sulit?

Lalu apabila keadaan-keadaan ini sudah muncul, dari mana  lagi sumber kekuatan yang dapat kita perolehi melainkan dari Allah swt ?

Ayuh mengadulah.

***


Pre-Order Buku Tarbiyah Sampai Mati

http://bit.ly/2FLiGOA

MATA YANG KHIANAT



يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لَا تَخُونُوا اللَّهَ وَالرَّسُولَ وَتَخُونُوا أَمَانَاتِكُمْ وَأَنْتُمْ تَعْلَمُونَ

Hai orang-orang yang beriman, janganlah kamu mengkhianati Allah dan Rasul (Muhammad) dan (juga) janganlah kamu mengkhianati amanat-amanat yang dipercayakan kepadamu, sedang kamu mengetahui.  
Al-Anfal


Sedangkan mata yang khianat pun tidak terlepas dari pengetahuan al-Hakeem yang Maha Melihat lagi penuh bijaksana, inikan pula segala bentuk khianat terhadap amanah-Nya yang diberikan kepada orang-orang beriman. Orang yang menjual amanah yang dipercayakan kepada mereka dengan harga yang murah telah mati separuh hatinya, tinggal abu. Separuh lagi sedang membara. Mereka telah menconteng arang pada iman mereka dan menganggap iman adalah barang daganga untuk mendapatkan kepentingan dunia. Padahal dengan iman mereka dapat membeli sesuatu yang lebih mahal dari itu semua.

Semoga orang-orang yang berkhianat, sama ada dia pemikul amanah dakwah, amanah umat Islam, amanah negara apatah lagi amanah Islam diberi jalan keluar dari kekeliruan ini. Sesungguhnya syaitan itu bersarang dalam jiwa mereka, jiwa yang kosong dari mengingati Allah. Apabila musuh yang paling nyata ini sudah selesa mendiami jiwa-jiwa mereka, ia akan mengangkatnya menjadi tuan bagi dirinya. Dia tidak lagi mampu mengenal huruf-huruf hijaiyah untuk merenung maksud firman-firman Tuhannya. Sebaliknya yang jelas pada mata yang dipinjamkan mereka adalah arahan-arahan yang datang dari muara al-hawa. 

Bukankah al-Qur'an telah membongkarkan rahsia mereka?