Wednesday, April 4, 2018

DARI MANA KITA HARUS BERMULA?




من أين نبدأ؟
 
Persoalan “bagaimana” untuk melakukan sesuatu tidak akan pernah penting dan mendapat perhatian kita sekiranya kita tidak terlebih dahulu mengetahui kepentingan dan urgensi untuk melakukan sesuatu perkara yang dimaksudkan. Orang yang tidak merasai kewajipan solat, tidak akan berminat untuk mengetahui cara solat yang betul dan menepati sunnah. Orang yang tidak mempunyai keinginan untuk menunaikan haji atau umrah dalam masa terdekat sudah tentu akan sambil lewa melihat iklan-iklan kursus haji dan umrah yang membicarakan persoalan bagaimana pelaksanaannya.


Oleh itu, eloklah juga sebelum kita membincangkan dengan lanjut persoalan “bagaimana”, kita tumpukan perhatian kepada persoalan “kenapa”, the question of why?. 

Mungkin, sekali lagi saya katakan, mungkin hikmah disebalik persoalan “kenapa” telah hilang dalam jiwa umat Islam. Ini kerana kita dapati secara umum mereka tidak berminat untuk mendalami lebih detail pelaksanaan-pelaksanaan urusan hidup mengikut Islam, tidak tergerak untuk membongkar rahsia al-Qur’an, tidak mahu menambah baik urusan ibadah dari masa ke masa dan sebagainya.

Sebaliknya, masyarakat Islam secara umum lebih berminat menumpukan perhatian dan memerah keringat mencari rezeki, berbisnes siang dan malam dan berhibur. Ini kerana, aktiviti-aktiviti ini tampak mempunyai matlamat yang jelas pada pandangan dan tanggapan mereka yang sejengkal jauhnya itu.


Sekiranya ada dalam kalangan mereka memberi tumpuan kepada persoalan “bagaimana”, ia bersifat partial atau juz’i yakni pada bahagian-bahagian tertentu dan mengabaikan bahagian yang lain. Ini menunjukkan persoalan “kenapa” tidak menyeluruh dan mempunyai kepincangan dari sudut kefahamannya.


Misalannya, orang yang tahu akan kepentingan merevolusikan sistem kewangan dari sistem kewangan konvensional kepada sistem kewangan Islam akan bejuang bermatian-matian dalam aspek ini. Mereka tahu akan kepentingan dan kewajipannya. Tetapi kita perhatikan pada aspek lain pula mereka berlonggar dengan prinsip Islam, seolah-olah tidak tahu pelaksanaannya, atau tidak jelas persoalan “bagaimana”.


Yang lebih menarik perhatian, persoalan “bagaimana” sering dibincangkan manakala persoalan “kenapa” sering diabaikan. Oleh sebab itu, pasca perbincangan tentang persoalan “bagaimana” ia tidak berakhir dengan pengamalan. Ia tinggal teori. Sedangkan setelah tahu bagaimana untuk melaksanakan sesuatu, langkah seterusnya ialah execution! Pada sisi pandang yang lain, persoalan "kenapa" sering kali berlegar sekitar batas halal dan haram, atau wajib, sunat, makruh dan harus. Buktinya apabila ditanya, "Kenapa buat begini?", selalunya jawapan yang kita dapati, "Sebab ia wajib".

Nampaknya, kondisi umat berada di satu titik kejahilan, namun ubat yang diberikan adalah untuk merawat penyakit lain.  Lebih parah jika tidak ada usaha merawat langsung dan tidak sedar pun akan barah yang sedah membiak aktif.

Jadi sebenarnya, dari mana kita harus bermula? 

-Mungkin buku berikutnya?
Min Aina Nabda' ?

Persoalan buat para pendakwah,

Yang berdiri di pentas nasyid, di meja ceramah, di mimbar khutbah, di masjid-masjid, sekolah-sekolah, di depan laptop, menerusi media sosial, di lingkara iman, halaqah mahupun usrah, di radio, di kaca TV dan di mana sahaja....

Ke mana kita menyeru manusia sebenarnya ?

No comments: