Sunday, November 24, 2019

GHAZWU FIKRI : FIRAUNISME


Serangan Psikologi Firaun


Dari segi kekuatan fizikal, kekuatan Firaun hanyalah kekuatan sebatang kara seperti manusia lain. Tidak lebih dari itu. tanpa penyokong-penyokong, pembantu-pembantu dalam kalangan tukang sihir dan pembesar-pembesar yang menjadi penasihat Firaun yang dimaksudkan dalam al-Qur’an, dia hanyalah seorang lelaki biasa, an ordinary man!

Namun Firaun telah menggunakan teknik serangan pemikiran ke atas kaumnya sehingga mereka tunduk, takut dan patuh kepadanya.
Firman Allah SWT;


وَنَادَىٰ فِرۡعَوۡنُ فِي قَوۡمِهِۦ قَالَ يَٰقَوۡمِ أَلَيۡسَ لِي مُلۡكُ مِصۡرَ وَهَٰذِهِ ٱلۡأَنۡهَٰرُ تَجۡرِي مِن تَحۡتِيٓۚ أَفَلَا تُبۡصِرُونَ

Dan Firaun pula menyeru (dengan mengisytiharkan) kepada kaumnya, katanya: "Wahai kaumku! Bukankah kerajaan negeri Mesir ini - akulah yang menguasainya, dan sungai-sungai ini mengalir di bawah (istana) ku? Tidakkah kamu melihatnya?
-Surah Az-Zukhruf, Ayat 51

Firaun Menggunakan Pengaruh Politik


Firaun cuba menagih sokongan dan ‘undi percaya’ kaumnya dengan menyebut dan menyenaraikan pencapaian kepemimpinanya dari sudut pembangunan material; ekonomi dan infrastruktur. Natijahnya, menjadi kelabu lah mata pengikutnya.

Mereka buta dari hidAyat. Mereka melihat kecanggihan teknologi zaman firaun. Mereka melihat kecekapan firaun mentadbir urus ekonomi, membangunkan negeri Mesir dan mereka melihat kesemua itu datangnya dari ‘keberkatan’ yang ada pada Firaun.

Bayangkan seorang pemimpin telah merasuk jiwa dan pemikiran pengikutnya sehingga ia dijuluk sebagai tuhan. Beliau menggunakan kecanggihan ilmu kejuruteraan mencipta sungai-sungai yang mengalir di bawahnya dan memakmurkan Mesir untuk menjauhkan rakyat dari pentujuk yang sebenar. Bukankah perkara yang sama menjadi taruhan parti-parti jahiliyah hari ini?

Character Assasination


Tidak cukup sekadar mengelabui mata pengikutnya dengan kecanggihan teknologi dan kemakmuran ekonomi yang ditadbirnya, Firaun kemudian beralih menjatuhkan lawannya yakni Nabi Musa yang berdiri di hadapannya membawa wahyu dan peringatan untuk kembali ke jalan yang benar.
Lihatlah bagaimana dia memperkecilkan Nabi Musa, menghinanya di khalayak ramai;


أَمۡ أَنَا۠ خَيۡرٞ مِّنۡ هَٰذَا ٱلَّذِي هُوَ مَهِينٞ وَلَا يَكَادُ يُبِينُ
"Bahkan bukankah aku lebih baik daripada orang yang hina keadaannya ini, dan yang hampir-hampir tidak dapat menjelaskan perkataannya?
-Surah Az-Zukhruf, Ayat 52


فَلَوۡلَآ أُلۡقِيَ عَلَيۡهِ أَسۡوِرَةٞ مِّن ذَهَبٍ أَوۡ جَآءَ مَعَهُ ٱلۡمَلَٰئِكَةُ مُقۡتَرِنِينَ
"(Kalau betul ia seorang Rasul) maka sepatutnya ia dipakaikan (oleh Tuhannya) gelang-gelang emas (yang menandakan ia seorang pemimpin), atau datang malaikat bersama-sama dengannya (sebagai saksi tentang kebenarannya)?"
-Surah Az-Zukhruf, Ayat 53

Sesungguhnya pembunuhan karakter ini merupakan taktik murahan untuk menjatuhkan pihak lawan dan telah diwarisi oleh politikus tidak bermoral hari ini. Tidak perlu kita berikan contoh kerana ia cukup makruf dalam suasana politik negara kita.

Begitulah Firaun menjatuhkan maruah Nabi Musa dan menyebabkan kaumnya buta mata hati sehingga terhindar dari hidayah. Kata-kata kesat dan kejian yang dilemparkannya itu menyebabkan pengikut-pengikut Firaun termakan umpan sehingga tidak terlihat pada mesej hidayah yang hendak di bawa.

Kefasikan Tunduk Pada Serangan Pemikiran


Nampaknya petunjuk al-Qur’an seterusnya memberi isyarat bahawa serangan pemikiran yang dimainkan oleh Firaun telah berkesan. Hidup-hidup kaumnya terus ditipu dan diperbodohkan olehnya. Allah SWT mengecam mereka yang tunduk dan patuh kepada Firaun dan menyifatkan mereka sebagai orang-orang yang fasik.
Firman Allah SWT;

فَٱسۡتَخَفَّ قَوۡمَهُۥ فَأَطَاعُوهُۚ إِنَّهُمۡ كَانُواْ قَوۡمٗا فَٰسِقِينَ
(Dengan yang demikian), maka Firaun memperbodohkan kaumnya, lalu mereka mematuhinya; sesungguhnya mereka itu adalah kaum yang fasik - derhaka.
-Surah Az-Zukhruf, Ayat 54

Memang benar, banyaknya melakukan dosa akan menyebabkan seseorang itu menjadi fasik. Kefasikan akan menyebabkan jantung hati menjadi gelap dan tidak dapat menerima cahaya hidayah. Kita lihat pendokong kebathilan terdiri daripada mereka yang fasik, banyak bermaksiat dan membelakangkan syariat Allah SWT.

Kunci keberhasilan serangan pemikiran ini juga dengan melazimkan umat islam dengan dosa-dosa kecil sehingga mereka terbiasa. Dosa-dosa kecil ini lama-kelamaan menjadi dosa besar. Zina, judi, minum arak, mengumpat, membuka aurat dan sebagainya telah menjadi kebiasaan.


***

Petikan dari buku : Serangan Pemikiran,
Bakal terbit oleh Muassis Publication