Serangan Psikologi Firaun
Dari segi kekuatan fizikal, kekuatan
Firaun hanyalah kekuatan sebatang kara seperti manusia lain. Tidak lebih dari
itu. tanpa penyokong-penyokong, pembantu-pembantu dalam kalangan tukang sihir
dan pembesar-pembesar yang menjadi penasihat Firaun yang dimaksudkan dalam
al-Qur’an, dia hanyalah seorang lelaki biasa, an ordinary man!
Namun Firaun telah menggunakan
teknik serangan pemikiran ke atas kaumnya sehingga mereka tunduk, takut dan
patuh kepadanya.
Firman Allah SWT;
وَنَادَىٰ فِرۡعَوۡنُ فِي قَوۡمِهِۦ قَالَ يَٰقَوۡمِ أَلَيۡسَ لِي مُلۡكُ
مِصۡرَ وَهَٰذِهِ ٱلۡأَنۡهَٰرُ تَجۡرِي مِن تَحۡتِيٓۚ أَفَلَا تُبۡصِرُونَ
Dan Firaun pula
menyeru (dengan mengisytiharkan) kepada kaumnya, katanya: "Wahai kaumku!
Bukankah kerajaan negeri Mesir ini - akulah yang menguasainya, dan
sungai-sungai ini mengalir di bawah (istana) ku? Tidakkah kamu melihatnya?
-Surah Az-Zukhruf,
Ayat 51
Firaun Menggunakan Pengaruh Politik
Firaun cuba menagih sokongan dan
‘undi percaya’ kaumnya dengan menyebut dan menyenaraikan pencapaian
kepemimpinanya dari sudut pembangunan material; ekonomi dan infrastruktur.
Natijahnya, menjadi kelabu lah mata pengikutnya.
Mereka buta dari hidAyat. Mereka
melihat kecanggihan teknologi zaman firaun. Mereka melihat kecekapan firaun
mentadbir urus ekonomi, membangunkan negeri Mesir dan mereka melihat kesemua
itu datangnya dari ‘keberkatan’ yang ada pada Firaun.
Bayangkan seorang pemimpin telah
merasuk jiwa dan pemikiran pengikutnya sehingga ia dijuluk sebagai tuhan. Beliau
menggunakan kecanggihan ilmu kejuruteraan mencipta sungai-sungai yang mengalir
di bawahnya dan memakmurkan Mesir untuk menjauhkan rakyat dari pentujuk yang
sebenar. Bukankah perkara yang sama menjadi taruhan parti-parti jahiliyah hari
ini?
Character Assasination
Tidak cukup sekadar mengelabui
mata pengikutnya dengan kecanggihan teknologi dan kemakmuran ekonomi yang
ditadbirnya, Firaun kemudian beralih menjatuhkan lawannya yakni Nabi Musa yang
berdiri di hadapannya membawa wahyu dan peringatan untuk kembali ke jalan yang
benar.
Lihatlah bagaimana dia memperkecilkan
Nabi Musa, menghinanya di khalayak ramai;
أَمۡ أَنَا۠ خَيۡرٞ مِّنۡ هَٰذَا ٱلَّذِي هُوَ مَهِينٞ وَلَا يَكَادُ
يُبِينُ
"Bahkan bukankah
aku lebih baik daripada orang yang hina keadaannya ini, dan yang hampir-hampir
tidak dapat menjelaskan perkataannya?
-Surah Az-Zukhruf, Ayat
52
فَلَوۡلَآ أُلۡقِيَ عَلَيۡهِ أَسۡوِرَةٞ مِّن ذَهَبٍ أَوۡ جَآءَ مَعَهُ
ٱلۡمَلَٰئِكَةُ مُقۡتَرِنِينَ
"(Kalau betul ia
seorang Rasul) maka sepatutnya ia dipakaikan (oleh Tuhannya) gelang-gelang emas
(yang menandakan ia seorang pemimpin), atau datang malaikat bersama-sama
dengannya (sebagai saksi tentang kebenarannya)?"
-Surah Az-Zukhruf, Ayat
53
Sesungguhnya pembunuhan karakter
ini merupakan taktik murahan untuk menjatuhkan pihak lawan dan telah diwarisi
oleh politikus tidak bermoral hari ini. Tidak perlu kita berikan contoh kerana
ia cukup makruf dalam suasana politik negara kita.
Begitulah Firaun menjatuhkan
maruah Nabi Musa dan menyebabkan kaumnya buta mata hati sehingga terhindar dari
hidayah. Kata-kata kesat dan kejian yang dilemparkannya itu menyebabkan
pengikut-pengikut Firaun termakan umpan sehingga tidak terlihat pada mesej
hidayah yang hendak di bawa.
Kefasikan Tunduk Pada Serangan Pemikiran
Nampaknya petunjuk al-Qur’an
seterusnya memberi isyarat bahawa serangan pemikiran yang dimainkan oleh Firaun
telah berkesan. Hidup-hidup kaumnya terus ditipu dan diperbodohkan olehnya.
Allah SWT mengecam mereka yang tunduk dan patuh kepada Firaun dan menyifatkan
mereka sebagai orang-orang yang fasik.
Firman Allah SWT;
فَٱسۡتَخَفَّ قَوۡمَهُۥ فَأَطَاعُوهُۚ إِنَّهُمۡ كَانُواْ قَوۡمٗا فَٰسِقِينَ
(Dengan yang
demikian), maka Firaun memperbodohkan kaumnya, lalu mereka mematuhinya;
sesungguhnya mereka itu adalah kaum yang fasik - derhaka.
-Surah Az-Zukhruf, Ayat
54
Memang benar, banyaknya melakukan
dosa akan menyebabkan seseorang itu menjadi fasik. Kefasikan akan menyebabkan
jantung hati menjadi gelap dan tidak dapat menerima cahaya hidayah. Kita lihat
pendokong kebathilan terdiri daripada mereka yang fasik, banyak bermaksiat dan
membelakangkan syariat Allah SWT.
Kunci keberhasilan serangan
pemikiran ini juga dengan melazimkan umat islam dengan dosa-dosa kecil sehingga
mereka terbiasa. Dosa-dosa kecil ini lama-kelamaan menjadi dosa besar. Zina,
judi, minum arak, mengumpat, membuka aurat dan sebagainya telah menjadi
kebiasaan.
***
Petikan dari buku : Serangan Pemikiran,
Bakal terbit oleh Muassis Publication
No comments:
Post a Comment