Saturday, December 14, 2019
GF : KEBENDAAN MELUNTURKAN JIHAD
Dalam sejarah Islam, Allah SWT telah mempertontonkan bahayanya cinta kebendaan yang melampau melalui peristiwa-peristiwa besar yang berlaku terutamanya dalam siri peperangan umat islam sebagai simbol jihad tertinggi. Antara yang masih segar dalam lipatan sejarah kita semua ialah bagaimana peristiwa berdarah dalam Peperangan Uhud berlaku dengan tragis, sedikit sebanyak kerana faktor cinta akan dunia yang menebal dalam jiwa sebahagian kaum muslimin ketika itu.
Setelah kaum muslimin tewas dalam pusingan kedua peperangan Uhud sehingga mengorbankan puluhan nyawa termasuk beberapa sahabat utama, ayat al-Qur’an turun untuk memberi komentar yang bukan sahaja sebagai panduan dan tarbiyah kepada mereka, tetapi menjadi pedoman abadi buat kita semua.
Firman Allah SWT;
وَلَقَدۡ صَدَقَكُمُ ٱللَّهُ وَعۡدَهُۥٓ إِذۡ تَحُسُّونَهُم بِإِذۡنِهِۦۖ حَتَّىٰٓ إِذَا فَشِلۡتُمۡ وَتَنَٰزَعۡتُمۡ فِي ٱلۡأَمۡرِ وَعَصَيۡتُم مِّنۢ بَعۡدِ مَآ أَرَىٰكُم مَّا تُحِبُّونَۚ
Dan demi sesungguhnya, Allah telah menepati janjiNya kepada kamu ketika kamu (berjaya) membunuh mereka dengan izinNya, sehingga ke masa kamu lemah dan kamu berbalah dalam urusan (perang) itu, serta kamu pula menderhaka (melanggar perintah Rasulullah) sesudah Allah perlihatkan kepada kamu akan apa yang kamu sukai (kemenangan dan harta rampasan perang).
Dalam ayat di atas, al-Qur’an membongkar isi hati kaum muslimin yang terlibat dalam pertelingkahan berkenaan dan apakah sebabnya ia berlaku. Sebahagian daripada mereka ingkar kepada perintah Rasulullah SAW sesudah Allah memperlihatkan kepada mereka apa yang mereka sukai berupa harta rampasan perang. Pada detik dan saat itu, mata-mata mereka tidak keruan.
Perasaan cinta akan kebendaan dan kekayaaan telah masuk ke dalam jiwa mereka sehingga mereka tidak sedar akan perintah sang Nabi. Bukankah ini menunjukkan kesan pemikiran materialisme yang menebal dan menghakis semangat jihad ?
Berapa ramai pula dalam kalangan umat hari ini telah meninggalkan pelbagai tingkatan jihad kerana tidak sanggup kehilangan kesenangan, kemewahan dan kebendaan yang telah diujikan oleh Allah SWT ke atas mereka?
Sambungan daripada Firman Allah SWT di atas;
مِنكُم مَّن يُرِيدُ ٱلدُّنۡيَا وَمِنكُم مَّن يُرِيدُ ٱلۡأٓخِرَةَۚ ثُمَّ صَرَفَكُمۡ عَنۡهُمۡ لِيَبۡتَلِيَكُمۡۖ وَلَقَدۡ عَفَا عَنكُمۡۗ وَٱللَّهُ ذُو فَضۡلٍ عَلَى ٱلۡمُؤۡمِنِينَ
Di antara kamu ada yang menghendaki keuntungan dunia semata-mata, dan di antara kamu ada yang menghendaki akhirat, kemudian Allah memalingkan kamu daripada menewaskan mereka untuk menguji (iman dan kesabaran) kamu; dan sesungguhnya Allah telah memaafkan kamu. Dan (ingatlah), Allah sentiasa melimpahkan kurniaNya kepada orang-orang yang beriman.
-Surah Ali-E-Imran, Ayat 152
Jelaslah bahawa materialisme adalah ujian buat umat. Ujian ini telah digunakan oleh musuh-musuh islam untuk mengaburi mata kita semua supaya terpana dan terpaku kepada alat sehingga melupakan matlamat dan tujuan hidup yang sebenar. Rumah, kereta mewah, karier, pelajaran, anak-pinak, jawatan, wang ringgit, pangkat dan nama hanyalah alat untuk menjayakan misi dan agenda islam.
Namun alangkah ramainya dalam kalangan kita berlumba dan bersaing sengit untuk mendapatkan alat-alat ini dan menjadikan alat-alat ini sebagai matlamat yang dikejar di dunia. Siapakah yang memulakan trend ini? Tidak lain, ini adalah pemikiran asing yang diimport dari luar masuk ke dalam negeri umat islam sehingga mendiami pemikiran umat. Sedangkan Rasulullah SAW dan para sahabat tidak mengejar dan mewariskan dinar dan dirham.
Yang diawariskan ialah fikrah, jihad dan perjuangan misi islam.
Namun misi ini telah digantikan dengan material yang boleh dicapai dan diukur pencapaiannya di dunia.
***
Instisari dari Buku Ghazwu Fikri ; Racun Minda Umat
Muassis Pub - Bakal terbit insya Allah
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment