Friday, April 1, 2016

ECOLOGICAL SUCCESSION

Memulakan sebuah kehidupan di tempat yang tidak pernah ada kehidupan sebelumnya bukanlah sesuatu yang mudah. Dari sudut sainsnya, proses ini kita namakan ecological succession.




“Ecological succession is the observed process of change in the species structure of an ecological community over time. The time scale can be decades (for example, after a wildfire), or even millions of years after a mass extinction” (Wikipedia)


Kita berterima kasih kepada saudara Adolphe Dureau de la Malle, seorang naturalist yang berasal dari Perancis kerana telah memulakan, atau pertama-tamanya memperkenalkan konsep succession atau dalam bahasa tarbiyahnya lebih dekat kita istilahkan sebagi sistem gantian atau pewarisan. Beliau telah banyak membantu kita dalam memahami rahsia-rahsia alam ini.


Ecological succession, lalu bagaimana ia bermula?

Ini adalah sebuah soalan yang wajar.

Mari kita teruskan mentaddabur masukan daripada Wikipedia berikut;


“The community begins with relatively few pioneering plants and animals and develops through increasing complexity until it becomes stable or self-perpetuating as a climax community. The ʺengineʺ of succession, the cause of ecosystem change, is the impact of established species upon their own environments. A consequence of living is the sometimes subtle and sometimes overt alteration of one's own environment”


Secara mudahnya, proses ini bermula dengan wujudnya komuniti pengasas atau pioneering species yang terdiri daripada haiwan dan tumbuhan. Perlu diingat, bagi ahli sains, yang dimaksudkan dengan haiwan juga adalah manusia, hidupan yang bernyawa dan boleh mobilisasi. Jadi, adalah satu tindakan yang tidak berasas untuk mengetepikan fungsi dan peranan manusia dalam hal ini.


Bahkan, manusia dengan tumbuhan pun mempunyai kaitan yang rapat. Al Quran menyebut;


“Dan Allah menumbuhkan kamu dari tanah dengan sebaik-baiknya” (Nuh:18)


Sayyid Quttb memberikan komentar yang begitu menarik akan penggunaan perkataan ‘menumbuhkan’ dalam ayat ini. Perkataan menumbuhkan lebih dekat dan sinonim dengan kejadian atau penciptaan tumbuhan yang tumbuh dari tanah, berasal dari benih-benih atau spora yang ditiup angin. Tetapi di sana, ada satu hikmah yang boleh kita sama-sama pelajari yakni adanya kesatuan dalam Allah menciptakan alam ini. Di sana adanya hubungan yang rapat dan erat antara manusia dengan tumbuhan, apatah lagi manusia dengan alam seluruhnya.


Sungguh menginsafkan.

Baiklah, mari kita tekuni prosess ecological succession ini. Menurut text di atas, katanya engine kepada proses ini ialah bagaimana hidupan yang sedia ada ataupun the pioneering species memberikan impak dan kesan kepada alam sekitar. Perubahan yang berlaku kepada alam sekitar yang dibuat oleh generasi pengasas ini menentukan halatuju hidupan yang datang kemudian.

Jika berkesempatan merujuk mana-mana buku yang berkaitan berkenaan ciri-ciri pioneering species ini, kita akan dapati mereka adalah hidupan yang sangat banyak berkorban, sanggup menggadaikan kepentingan peribadi, resilient, tahan lasak dan boleh dicampak di mana-mana.


Mana tidaknya, tanah yang berbatu-batu dilembutkan oleh species ini. Tanah yang tidak subur, sanggup disuburkan oleh species ini. Species ini ratanya-ratanya bersaiz kecil, tidak cukup zat kerana gigih bekerja dan beramal untuk kemaslahatan species yang akan datang kemudian. Selain itu, yang paling menarik, setelah keadaan muka bumi berubah, menjadi lebih subur dan kondusif untuk sebuah kehidupan, species ini akan mati dan lenyap begitu sahaja, dilupakan oleh alam.


Sebaliknya mereka akan digantikan dengan succession species, atau generasi pewaris yang kadang-kadang tidak sempat berterima kasih pun kepada generasi pengasas. Ternyata sekali, succession species tidak sama kualitinya dan nilai-nilai yang dimiliki mereka berbanding pioneering species. Al-Quran juga sudah menjelaskan akan hal ini;

“…tidak sama di antara kamu orang yang menginfaqkan dan berperang sebelum penaklukan. Mereka lebih tinggi darjatnya daripada orang yang menginfaqkan dan berperang sesudah itu…”
(Al-Hadid: 10)

Saudara kami yang kami cintai;

Dalam suasana Islam yang dagang hari ini, dalam fasa kita seakan-akan memulakan kembali kehidupan beragama di muka bumi ini, kami membayangkan para murabbi yang bekerja dan beramal di fasa ini persis the pioneering species. Mereka adalah jil ta’sis, generasi pengasas yang memberikan yang terbaik dari mereka, untuk masa depan generasi akan datang, dan untuk masa depan islam.

Dalam bayangan kami, mereka adalah orang-orang yang tidaklah ramai jumlahnya, tidak ada kepentingan peribadi, semangat dan gigih membina manusia sehingga waktu tidur, makan dan rehatnya diabaikan, tidak mengharapkan sebarang kata-kata penghargaan malah lebih suka dilupakan begitu sahaja setelah jasad berpisah daripada roh atas jalan yang mulia ini. Mereka adalah singa-singa yang ganas, pantas dan lincah beramal di siang hari kemudian menjadi rahib yang khusyuk dan tawadhuk di malamnya, di mihrab masing-masing.


Kemudian kami bertanya kepada diri sendiri,

“Di manakah kami dalam bayangan ini??”

---
Masjid Jamek, KL

No comments: