Membaca kupasan As syahid Sayyid Quttb tatkala beliau
berkongi perasaannya dalam memahami Surah Nuh sungguh membuatkan diri penulis
terpaku, terpesona dan takjub dengan perjuangan Nabi Nuh as. Komentar As Syahid
pula begitu balagh, masuk menerobos jauh ke dalam jiwa. Ia memberi motivasi,
harapan dan khabar gembira buat mereka yang sarat dengan bebanan perjuangan
tetapi hasilnya sekelumit cuma. Meskipun penulis sendiri tidak ada pengalaman
sejarah dakwah yang sedemikian, tetapi kisah Nabi Nuh terasa sangat dekat,
mengusik-usik bahagian yang paling lembut.
Ia kisah untuk kita juga akh, supaya tidak kecewa tatkala
yang engkau cita-citakan, yang engkau usahakan, yang engkau harapkan tidak
langsung menjadi. Kerana sebelum engkau merasai kekecewaan itu, Nabi Nuh as
telah terlebih dahulu merasainya, di jalan yang sama, dengan panorama dan
pengalaman yang sama. Yang berbeda hanya watak-watak yang dia dan kita temui di
jalan ini.
Begitulah kurang lebih yang dapat kita khulasahkan
(simpulkan) sekitar pembacaan dan renungan yang sepintas lalu itu. Mari kami
nukilkan kembali bagaimana begitu indah kupasan As Syahid, mudah-mudahan ia
mebuatkan semangat dakwah dan tarbiyah kembali mekar dalam jiwa kita yang kian
lesu ini;
“Pengalaman yang pahit ini dikemukan kepada Rasulullah
saw selaku pemegang amanah dakwah di akhir zaman yang memikul tugas yang paling
besar yang pernah diserahkan kepada seorang Rasul supaya beliau dapat melihat
gambaran perjuangan saudaranya yang terdahulu yang begitu panjang untuk
menegakkan hakikat keimanan di bumi juga melihat kedegilan manusia di hadapan
dakwah yang benar dan kerosakan kepimpinan yang sesat yang mengalahkan
kepimpinan yang lurus, juga untuk melihat bagaimana iradat Allah telah
mengutuskan para rasul silih berganti selepas menghadapi kedegilan dan
kesesatan sejak angkatan umat manusia yang awal di tangan moyang mereka Nabi
Nuh a.s.”
Benarlah as Syahid!
Pertamanya beliau menyifatkan kisah dan laporan Nabi Nuh
yang penuh tragis ini merupakan mind-setting kepada Rasulullah saw sebelum,
sebagai hint bahawa yang menanti di hadapan baginda adalah segala bentuk penentangan,
kedegilan dan kesesatan.
Beliau tidak berhenti di situ. Sesungguhnya Quran ini
walaupun pada pertama sekali diturunkan di muka bumi ini ke dalam jiwa
Rasulullah saw, tetapi ibrahnya juga untuk para sahabat, kaum muslimin generasi
yang awal dan yang terkemudian, sehingga sampai kepada kita hari ini. Quran
yang isi kandungannya yang tidak pernah berubah ini sampai kepada kita hari ini,
sedang bercakap-cakap dengan kita, memberi gambaran dan amaran kepada kita!
Lalu beliau meneruskan kupasannya;
“Pengalaman ini juga dikemukakan kepada kelompok muslimin
di Mekah dan umat muslimin umumnya sebagai pewaris dakwah Allah di muka bumi
dan sebagai pewaris sistem hidup Ilahi yang lahir dari dakwah itu, iaitu satu
sistem yang tegak di tengah-tengah masyarakat jahiliyyah di zaman itu dan di
tengah seluruh masyarakat jahiliyyah yang datang kemudiannya, supaya mereka
dapat melihat gambaran perjuangan yang gigih dan panjang dari Nabi Nuh as,
moyang yang kedua manusia, juga melihat keperihatinan Allah swt terhadap golongan
orang-orang mu’min yang kecil bagaimana Dia menyelamatkan mereka dari
malapetaka bajir yang besar di zaman itu!”
Subhanallah!
Lencun! Tidak terasa sangat dekat kah kisah ini? Ia dituju
khas kepada kita! Tepat pada muka kita, kata-katanya menusuk ke dalam qalbu
kita, datang dari jauh dengan pantas tanpa ragu!
Cukuplah sekadar itu kita bercermin pada pandangan Sayyid
Quttb dalam meneliti Surah Nuh ini. Marilah pula akh kita menilai kembali usaha
dakwah kita yang tidak seberapa ini, mengalir lesu seperti sungai yang
kekontangan, tetapi ironinya sering ditemani keluh-kesah, rungutan dan beraneka
macam bunyi-bunyian kekecewaan. Alangkah!
Lantas apakah yang sepantasnya kita lakukan?
Tidak lain tidak bukan, untuk terus bangkit, Qum Fa anzdir! Tanpa
jeda, tanpa ragu, tanpa berfikir panjang dan membayangkan asumsi-asumsi itu dan
ini. Yang kita perlukan adalah tindakan pantas, segera, berterusan, terancang,
penuh bertenaga dan hikmah!
Marilah akhi kembali bersama kami.
Terjun ke medan. Medan kita bukan di sini, bukan di papan
kekunci, bukan di alam maya, di channel-chanel telegram, di kumpulan-kumpulan
WhatsApp dan sebagainya. Tetapi medan kita di hadapan manusia yang sebenar, di
alam realiti. Di lorong-lorong di sepanjang jalan, di kantin-kantin sekolah, di
rumah-rumah Allah, di bilik-bilik penunggu seruan risalah, di segenap tempat di
mana telah Allah tempatkan bekalan bekalan amal untuk kita.
Begitu banyak jiwa-jiwa yang tidak terisi menantikan
sentuhan sentuhan ikhlas dari kita di luar sana, yang sudah tidak keruan hidup
mereka sehingga mereka terpaksa menerima jalan alternatif yang telah ditawarkan
oleh syaitan dan konco-konconya.
Kekecewaan yang pernah bertapak dalam jiwamu yang bergelojak
itu, lupakan sahajalah! Jika mahu berbicara soal kekecewaan, maka Nabi Nuh as
lebih layak untuk menyuarakannya. Tetapi tidak, tidak setelah ratusan tahun
memerah keringat dengan pelbagai sarana, kaedah dan pendekatan.
Satu gugur, sesungguhnya seribu menanti untuk di sapa!
Semoga Nabi Nuh a.s terus menjadi motivasi kita,
Dan semoga asyahid, kau damai di sana.
No comments:
Post a Comment