Sunday, December 20, 2015

"AKHI, BERBALOIKAH?"


Ikhwah kita ada yang merunggut dan bertanya. Mari kita kongsikan sedikit sketsa ataupun boleh kita katakan skrip-skrip yang kadang-kadang mencuit hati ini.



“Akh ana rasa tak berbaloi la, ana travel sejam untuk pergi kolej diorang, bayar minyak bayar tol, tetapi tunggu 40 minit sorang pun tak turun…”

“Akh, tak berbaloi la ana rasa, dah setahun ikut tarbiyah tapi dorang bukan setakat tak komited dengan daurah semua tu, halaqah pun masih liat nak turun..”

“Akhi, ana rasa nak tukar medan la, tak muntij kat itu, semua sibuk study sahaja..”

“Akh, ana penat la layan diorang, sanggup bagun pukul 4,5 pagi untuk latihan PALAPAS tapi nak turun halaqah sekejap pun tak dapat..”

“Akhi, yang ana bina asyik lari meninggalkan medan….relevan ke kita ni?”



Cukuplah sampai di situ sahaja kita kongsikan sketsa ataupun skrip-skrip spontan ini. Agaknya sudah menjadi sunahtullah, ia keluar melalui lisan ikhwah kita saban tahun, lebih-lebih lagi buat mereka seperti kami yang baru cuba untuk mengenal dan menghafal papan-papan tanda di lorong-lorong dakwah yang jalannya jauh, terpencil dan berliku ini. Maafkan kami.

Sekali lagi, menghirup keenakan tulisan sifu kita Sayyid Quttb dalam Fi Zilalnya dan sekali lagi sekitar surah Nuh menjawab persoalan-soalan ini. Mudah-mudahan yang bakal kami kongsikan ini bermuarakan wahyu yang harum dan bakal mensejahterakan kita semua akh, bukan datang daripada paya al hawa yang busuk dan jijik, yang mempunyai kepentingan-kepentingan peribadi sama ada untuk berlagak dan menunjuk-nunjuk siapakah yang lebih hebat.



Maka kami nukilkan kembali betapa mahalnya nilai dakwah ini sehingga soalan-soalan dan rungutan-rungutan di atas harus dinilai semula!

Sebelum sempat kita semua sendiri mengalami pengalaman-pengalaman dakwah yang tidak enak dan indah itu, Sayyid Quttb terlebih dahulu telah memahami hakikatnya sehingga beliau melontarkan persoalan yang sama, secara bertubi-tubi dan penuh retorik. Berbaloikah dakwah ini?!



“Mungkin ada yang bertanya, padankan hasil pencapaian dakwah itu dibandingkan dengan perjuangan gigih yang begitu panjang dengan pengorbanan-pengorbanan yang luhur sejak Nabi Nuh a.s sehingga Nabi Muhammad saw? Di antara kedua rasul dan selepasnya diikuti pula oleh perjuangan dan perngorbanan-pengorbanan yang besar dari para mu’min, untuk menegakkan dakwah itu, padankah?



Padankah hasil dakwah itu dibandingkan dengan usaha-usaha yang begitu berat dan penat yang diceritakan oleh Nabi Nuh a.s dalam surah Nuh ini dan dalam surah surah yang lain? Beliau telah menghabiskan umurnya yang amat panjang menyeru kaumnya, tetapi mereka bukan sahaja berpaling bahkan beliau dihina dengan pelbagai ejekan dan tuduhan. Semuanya diterima oleh beliau dengan sabar dan baik, dengan adab sopan yang halus dan dengan memberi pandangan yang jelas, padankah?



Padankah hasil kejayaan dakwah itu dibandingkan dengan usaha perjuangan yang terus bersambung sejak zaman Nabi Nuh itu dengan pengorbanan yang tidak putus di sepanjang sejarah manusia, iaitu perjuangan dan pengorbanan para rasul? Di antara mereka ada yang dihina dan diejek, ada yang dibakar dengan api dan ada yang dibunuh dengan gergaji dan ada yang terpaksa hijrah keluar dari kampung halaman meninggalkan anak isteri sehingga kepada Rasul terakhir Muhammad saw menyambung perjuangan itu bersama para mu’minin yang menjadi pengikutnya, kemudian diikuti pula oleh perjuangan dan pengorbanan yang gigih dan mengkagumkan dari para pendakwah di setiap negeri dan setiap generasi.



Padankah hasil kejayaan dakwah itu dibandingkan dengan segala perjuangan, pengorbanan dan jihad yang pahit itu?

Setelah difikir dan direnung, maka jawapannya;

Memang padan tanpa sebarang keraguan lagi!”

---



Akhi!

Begitulah dengan padat, Sayyid Quttb melontarkan soalan, dan menjawab persoalan yang diajukan itu sendiri dengan fikiran yang tajam dan mendalam, tanpa keraguan. Memang berbaloi!

Apakah hujahnya?

Ujar beliau lagi;



“Angkatan para rasul yang bersambung dari zaman Nuh as hingga ke zaman Muhammad saw itu membuktikan betapa teguhnya iradat Allah agar dakwah kepada hakikat keimanan yang agung itu berjalan terus dan menunjukkan betapa tingginya nilai dakwah itu dan nilai kejayaannya.

Sekurang-kurangnya, kejayaanya ialah kejayaan hakikat keimanan dapat bertapak kukuh dalam hati para pendakwah yang sanggup menempuh maut atau lebih dasyat daripada maut untuk menegakkan dakwah kerana dengan sikap ini mereka menunjukkan bahawa mereka tidak terpengaruh kepada kenikmatan-kenikmatan dunia yang menarik dan mereka bebas dari belenggu belenggunya.

In sahaja sudah merupakan suatu kejayaan besar kepada para pendakawah, juga kepada umat manusia kerana mereka telah mendapat kehormatan denga wujudnya golongan ini yang merupakan sebahagian dari mereka. Kehormatan inilah yang mewajarkan malaikat diperintah Allah supaya sujud kepada makhluk manusia.

Di samping itu manusia mempunai kebebasan jiwa yang begitu tinggi hingga mereka sanggup mengorbankan jiwa mereka dan menanggung penderitaan yang lebih besar dari maut untuk menyelamatkan aqidahnya dan untuk melaksanakan kewajipannya dan menegakkan aqidah dalam kehidupan orang lain supaya mereka berbahagia dan bebas. Apabila jiwa manusia telah sampai ke tahap kebebasan itu, maka segala kesusahan menjadi ringan dan segala pengorbanan menjadi kecil. Segalanya lenyap dan hilang dan yang timbul ialah kejayaan dakwah, iaitu satu kejayaan yang amat besar, yang lebih besar dari bumi dan langit dalam pertimbangan neraca Allah!”



---



Ikhwah Fillah,

Dakwah ini terlalu tinggi nilainya di sisi Allah swt, sehinggakan Allah swt secara konsisten, tidak putus putus mengutuskan utusanNya yang datang silih berganti untuk memastikan risalah dakwah ini terus dipikul dan dihidupkan di alam buana ini. Kita tidak dapat mengerti apakah alasan yang sebenar tetapi dengan buah fikiran Sayyid Quttb ini kita tahu bahawa dakwah itu begitu berharga.

Ia sentiasa padan dan berbaloi. Tidak patut lagi ia dipersoalkan! Meskipun hasilnya sekelumit cuma. Meskipun ada dalam kalangan kita terpaksa mengorbankan sebahagian besar waktu peribadinya. Walaupun ada dalam kalangan kita terpkasa mengikat perut kerana kesuntukan wang untuk diinfaqkan kepada perjalanan dakwah, tetapi ia tetap berbaloi.

Bahkan sudah berbaloi andai hakikat keimanan itu sendiri sudah bertapak dalam jiwa kita, yang menyebabkan kita terus tegar, istiqomah hingga menemukan salah satu daripada dua titik, hidup mulia meraih kemenangan ataupun mati syahid menuju cita-cita tertinggi!



Kami nukilkan sekali lagi kerana seakan-akan tidak puas menikmati buah fikiran ini;



“Sekurang-kurangnya, kejayaannya ialah kejayaan hakikat keimanan dapat bertapak kukuh dalam hati para pendakwah yang sanggup menempuh maut atau lebih dasyat daripada maut untuk menegakkan dakwah kerana dengan sikap ini mereka menunjukkan bahawa mereka tidak terpengaruh kepada kenikmatan-kenikmatan dunia yang menarik dan mereka bebas dari belenggu-belenggunya.”



Maka akhi Fillah,

Teruskan langkah mu itu dengan padu dan maju ke depan!

2 comments:

Anonymous said...

balagh 👍🏼

Anonymous said...

I've been reading your blog since 2013.
Seriously, teruskan menulis!
Paling suka part tadabbur.
Somehow, sgt membantu penggerak dakwah yang kekeringan yg tak berapa disantuni keperluannya tapi punya semangat yang tinggi membina manusia.
Yeah, zaman skrg, zaman bertahan seboleh mungkin. Zaman dulu, zaman dnt yang ideal.

Ok, the bottomline is teruskan mengasah logam anda.
Go for what u used to write. Yang benar, yang tinggi kualitinya, yang tak cair, yang padat. Manusiawi, manusiawi jugak. Tapi kalau salah kena betulkan.
Tarbiyah yang mengubah.

Will buy your penulisan jika anda terus menulis begini.
Hope to see more writing like this biiznillah. Jazakallah.