Thursday, January 26, 2017

MAAL QURAN






Sesetengah rakan mungkin sudah menulis wasiat untuk anak-anak mereka, tidak mengapalah. Kami masih di sini, di kerusi yang sama, yang spannya sudah makin menipis, menulis seputar isu-isu halaqah, kemurabbian, tadabur, tafsir, beramal dan berjihad dan sebagainya. Monolog dalaman.


***


Rupa-rupanya, penafsiran terbaik bagi satu-satu ayat Quran adalah ayat itu sendiri. Tidak hairanlah Rasulullah saw hanya membacakan ayat-ayat berkenaan kepada para sahabat, mereka yang ummiy langsung faham. Meskipun sahabat itu sudah berumur mencecah 80 lebih seperti Abu Quhafah yang memeluk islam setelah Fathul Mekah (Pembukaan Kota Mekah). Jika kita cuba menawarkan fikrah yang indah ini kepada seorang Pakcik yang sudah menuju usia emasnya, kita katakan itu tidak muntji. Pakcik sudah ‘immersed’ dengan fikrah islam yang difahaminya.


Sedangkan al-Quran berbicara dengan potongan-potongan ayatnya itu kepada semua jenis manusia, pelbagai latar usia, pekerjaan, budaya dan keimanan.


“Sesungguhnya Kami menurunkan kepadamu al-Kitab untuk manusia dengan al-haq..”
Az-Zumar:41


Maka sedarlah kita yang kononnya bercita-cita menjadi pembawa al-Quran, hamiilatul-Quran bahawa audience kita ada seluruh bangsa manusia, linnas. Ketinggian bahasa al-Quran itu sebenarnya mampu digarap oleh manusia, tidak kira siapapun mereka. Mungkin itulah pelajaran baharu untuk kami. Kerana akhirnya, kita hanyalah mubaligh, yang menyampaikan, tetapi yang mengajar dan memberi kefahaman adalah al-‘Alim Allah swt.


Tidaklah mengejut barangkali ketika membuat bacaan kembali, atau revisit Memoar Hasan al-Banna, kita dapati madrasah tarbiyah Hasan al-Banna pada awalnya berjaya menjinakkan hati pemuda-pemuda di Ismailia yang mungkin tidak berpelajaran tinggi. Ada yang kerjanya sebagai tukang kayu, pembaiki kasut, buruh-buruh kasar dan sebagainya. Setelah beberapa tempoh, mereka ini yang pernah hidup dalam kehinaan, menjadi semulia-mulia umat. Pelajaran mengkaji al-Quran, teks hadis dan sirah salafu-soleh akhirnya merubah mereka menjadi ‘alim, pandai berpidato dan mempunyai maruah diri yang tinggi sehingga mampu menggertak monsiur-monsiur dari Perancis yang waktu itu menduduki sebahagian bumi Mesir.


Ya, kerana Quran berbicara dengan mereka semua.

Bayangkan, seorang petani, pekebun kurma seperti Abu Thalhah r.a pun mampu memahami firman Allah swt yang berikut;


“Kamu tidak akan sampai kepada kebaikan sebelum kamu menginfaqkan sebahagian harta yang kamu cintai…”
(Ali-Imran :92)


Ketika kedengaran firman ini bergema, Abu Talhah sang pemilik kebun kurma di Madinah itu lantas menginfaqkan kebun kecintaannya. Sesungguhnya firman Allah swt telah berinteraksi dengan Abu Talhah, seorang pekebun. Jadi mengapa tidak ia mampu menawan hati penoreh-penoreh getah di tanah air ? Ataupun apa masalahnya jika Quran telah mengangkat binaan al-Banna sedemikian rupa?

Bukankah Allah swt sudah berfirman;


“Sesungguhnya al-Quran ini memberikan petunjuk kepada yang lebih lurus, (aqwam) …”
(Isra’ :9)


Jika berkelapangan, semaklah tafsiran Sayyid Qutb berkenaan ayat ini, berkenaan frasa ‘yang lebih lurus’, berkenaan perkataan aqwam. Ia mencakupi segala juzuk kehidupan. Tidak setakat hal-hal spiritual.


Lalu bagaimana halaqah-halaqah kita?


Kami tidak maksudkan kita perlu terjun ke ladang-ladang getah mahupun membuka lahan dakwah di rumah orang-orang tua. Di tangan kita adanya sebaik-baik generasi, iaitu pemuda. Cuma mungkin yang perlu diteliti dan diperhalusi adalah, bagaimana projek membangunkan al-Quran kita itu dalam halaqah-halaqah kita?

Semoga dakwah kembali subur.
Ku rasakan pensel sudah tidak berbekas.
Mungkin karbonnya sudah habis
Atau mata pensel sudah tumpul

BAGAIMANA SELEPAS MENINGGALKAN TARBIYAH?






Terdapat beberapa riwayat tentang berlakunya peristiwa terputusnya wahyu sepanjang usia kerasulan Rasulullah. Riwayat ini pula merujuk kepada tempoh dan selang waktu yang tertentu. Tidak dapat dipastikan yang mana lebih tepat dan bukanlah di sini tempatnya untuk berbicara mengenai perkara itu.


Menurut Sayyid Qutb, cukuplah kita simpulkan bahawa peristiwa terputusnya wahyu itu benar benar ada, sehinggakan perasaan Rasulullah terusik.


Sebagai respon kepada peristiwa ini, maka Allah swt menurunkan surah ad-Dhuha untuk menyanggah perasaan perasaan Rasulullah, untuk menenangkan beliau dan menjawab persoalan persoalan yang bermain di fikiran beliau.

مَا وَدَّعَكَ رَبُّكَ وَمَا قَلَىٰ

Tuhanmu tiada meninggalkan kamu dan tiada (pula) benci kepadamu.

Respon pertama ialah pada frasa,

مَا وَدَّعَكَ

Tidaklah Tuhanmu meninggalkanmu.


Kerana barangkali inilah perkara pertama yang muncul dalam benak fikiran Rasulullah. Setelah beberapa ketika tidak mendapat sentuhan wahyu, beliau merasakan Allah swt telah meninggalkan beliau. Subhanallah. Betapa halusnya jiwa seorang hamba yang cepat haus, merindukan wahyu yang dapat menghilangkan dahaga setelah penat berjalan di padang pasir yang jauh.

Perasaan dan sensitiviti inilah yang kita ingin hidupkan.


Ketika mentafsirkan surah ini, Sayyid Qutb menyifatkan wahyu yang turun bukan sekadar petunjuk, tetapi juga disikapi oleh para Rasul seperti air yang menghilangkan haus dan seperti angin sepoi sepoi bahasa yang menghilangkan penat. Wahyu juga adalah hiburan setelah letih dan lesu ditentang.
Begitulah para Rasul berinteraksi dengan wahyu. Dengan kalam Allah berupa al-Quran.

Bagaimana pula kerinduan kita untuk disapa dengan sentuhan tarbiah bernuansakan al-Quran dan sunnah? Setelah beberapa detik, hari dan minggu berlalu tanpa dapat menikmati kelazatan Al-Quran, adakah kita juga merasakan Allah swt telah pun melupakan kita dan meninggalkan kita? Adakah jiwa dan perasaan kita sampai ke tingkatan itu?


Jika kita jujur dan telus merindui didikan daripada al-Quran, mana mungkin satu hari berlalu tanpa kita berinteraksi dan melazimi al-Quran. Mana mungkin.

Jadi adakah salah pula untuk kita merindukan tarbiah ini sebagaimana Rasulullah merindukan taa'dib rabbani? Salahkan untuk kita merindui detak detik ditarbiah dengan ayat-ayat AlQuran yang mulia dan sunah Rasulullah yang suci lagi terpelihara?

Ternyata sekali ia tidak salah.

Marilah merindui untuk bersama kembali dalam suasana semalam yang pernah kita hidupkan, dengan zikir ma'thur setiap pagi dan petang, dengan tilawah dan tadabur yang menyegarkan, dengan pelajaran pelajaran mengkaji keluasan ilmu deeniyah yang mempesonakan, dengan kehangatan ukhuwah dan keluhuran ithar sesama mereka yang faham, dengan kesungguhan berkorban di jalan yang tidak kelihatan di manakah garis penamat dan sebagainya.

Marilah bersama, menghidupkan suasana semalam. Suasana ditarbiyah dan mentarbiyah.
Telah berlalu waktu yang panjang usai peristiwa semalam yang menyebabkan pandangan kita mulai kabur dari kebenaran, bau wang tunai lebih harum dari wangian syurga sehingga kita merasakan kita sentiasa betul dan sudah memiliki segalanya. Sehinggakan kenikmatan dunia lebih cukup berbanding dua rakaat sebelum subuh. Sehinggakan membaca hadis unta merah tidak melonjakkan semangat dakwah kita.


Ini semua menunjukkan hari semalam telah berlalu begitu lama. Jadilah inilah masanya, ruang dan peluang untuk kembali. Merindui tarbiyah