Sesetengah rakan mungkin sudah menulis
wasiat untuk anak-anak mereka, tidak mengapalah. Kami masih di sini, di kerusi
yang sama, yang spannya sudah makin menipis, menulis seputar isu-isu halaqah,
kemurabbian, tadabur, tafsir, beramal dan berjihad dan sebagainya. Monolog dalaman.
***
Rupa-rupanya, penafsiran terbaik bagi
satu-satu ayat Quran adalah ayat itu sendiri. Tidak hairanlah Rasulullah saw
hanya membacakan ayat-ayat berkenaan kepada para sahabat, mereka yang ummiy
langsung faham. Meskipun sahabat itu sudah berumur mencecah 80 lebih seperti
Abu Quhafah yang memeluk islam setelah Fathul Mekah (Pembukaan Kota Mekah). Jika
kita cuba menawarkan fikrah yang indah ini kepada seorang Pakcik yang sudah
menuju usia emasnya, kita katakan itu tidak muntji. Pakcik sudah ‘immersed’
dengan fikrah islam yang difahaminya.
Sedangkan al-Quran berbicara dengan
potongan-potongan ayatnya itu kepada semua jenis manusia, pelbagai latar usia,
pekerjaan, budaya dan keimanan.
“Sesungguhnya Kami menurunkan kepadamu
al-Kitab untuk manusia dengan al-haq..”
Az-Zumar:41
Maka sedarlah kita yang kononnya
bercita-cita menjadi pembawa al-Quran, hamiilatul-Quran bahawa audience
kita ada seluruh bangsa manusia, linnas. Ketinggian bahasa al-Quran itu
sebenarnya mampu digarap oleh manusia, tidak kira siapapun mereka. Mungkin itulah
pelajaran baharu untuk kami. Kerana akhirnya, kita hanyalah mubaligh, yang
menyampaikan, tetapi yang mengajar dan memberi kefahaman adalah al-‘Alim Allah
swt.
Tidaklah mengejut barangkali ketika membuat
bacaan kembali, atau revisit Memoar Hasan al-Banna, kita dapati madrasah
tarbiyah Hasan al-Banna pada awalnya berjaya menjinakkan hati pemuda-pemuda di
Ismailia yang mungkin tidak berpelajaran tinggi. Ada yang kerjanya sebagai
tukang kayu, pembaiki kasut, buruh-buruh kasar dan sebagainya. Setelah beberapa
tempoh, mereka ini yang pernah hidup dalam kehinaan, menjadi semulia-mulia
umat. Pelajaran mengkaji al-Quran, teks hadis dan sirah salafu-soleh
akhirnya merubah mereka menjadi ‘alim, pandai berpidato dan mempunyai maruah
diri yang tinggi sehingga mampu menggertak monsiur-monsiur dari Perancis yang
waktu itu menduduki sebahagian bumi Mesir.
Ya, kerana Quran berbicara dengan mereka
semua.
Bayangkan, seorang petani, pekebun kurma
seperti Abu Thalhah r.a pun mampu memahami firman Allah swt yang berikut;
“Kamu tidak akan sampai kepada kebaikan sebelum
kamu menginfaqkan sebahagian harta yang kamu cintai…”
(Ali-Imran :92)
Ketika kedengaran firman ini bergema, Abu
Talhah sang pemilik kebun kurma di Madinah itu lantas menginfaqkan kebun
kecintaannya. Sesungguhnya firman Allah swt telah berinteraksi dengan Abu
Talhah, seorang pekebun. Jadi mengapa tidak ia mampu menawan hati penoreh-penoreh
getah di tanah air ? Ataupun apa masalahnya jika Quran telah mengangkat binaan
al-Banna sedemikian rupa?
Bukankah Allah swt sudah berfirman;
“Sesungguhnya al-Quran ini memberikan
petunjuk kepada yang lebih lurus, (aqwam) …”
(Isra’ :9)
Jika berkelapangan, semaklah tafsiran
Sayyid Qutb berkenaan ayat ini, berkenaan frasa ‘yang lebih lurus’, berkenaan
perkataan aqwam. Ia mencakupi segala juzuk kehidupan. Tidak setakat hal-hal
spiritual.
Lalu bagaimana halaqah-halaqah kita?
Kami tidak maksudkan kita perlu terjun ke ladang-ladang
getah mahupun membuka lahan dakwah di rumah orang-orang tua. Di tangan kita
adanya sebaik-baik generasi, iaitu pemuda. Cuma mungkin yang perlu diteliti dan
diperhalusi adalah, bagaimana projek membangunkan al-Quran kita itu dalam
halaqah-halaqah kita?
Semoga dakwah kembali subur.
Ku rasakan pensel sudah tidak berbekas.
Mungkin karbonnya sudah habis
Atau mata pensel sudah tumpul
1 comment:
terima kasih
Post a Comment