Thursday, January 26, 2017

BAGAIMANA SELEPAS MENINGGALKAN TARBIYAH?






Terdapat beberapa riwayat tentang berlakunya peristiwa terputusnya wahyu sepanjang usia kerasulan Rasulullah. Riwayat ini pula merujuk kepada tempoh dan selang waktu yang tertentu. Tidak dapat dipastikan yang mana lebih tepat dan bukanlah di sini tempatnya untuk berbicara mengenai perkara itu.


Menurut Sayyid Qutb, cukuplah kita simpulkan bahawa peristiwa terputusnya wahyu itu benar benar ada, sehinggakan perasaan Rasulullah terusik.


Sebagai respon kepada peristiwa ini, maka Allah swt menurunkan surah ad-Dhuha untuk menyanggah perasaan perasaan Rasulullah, untuk menenangkan beliau dan menjawab persoalan persoalan yang bermain di fikiran beliau.

مَا وَدَّعَكَ رَبُّكَ وَمَا قَلَىٰ

Tuhanmu tiada meninggalkan kamu dan tiada (pula) benci kepadamu.

Respon pertama ialah pada frasa,

مَا وَدَّعَكَ

Tidaklah Tuhanmu meninggalkanmu.


Kerana barangkali inilah perkara pertama yang muncul dalam benak fikiran Rasulullah. Setelah beberapa ketika tidak mendapat sentuhan wahyu, beliau merasakan Allah swt telah meninggalkan beliau. Subhanallah. Betapa halusnya jiwa seorang hamba yang cepat haus, merindukan wahyu yang dapat menghilangkan dahaga setelah penat berjalan di padang pasir yang jauh.

Perasaan dan sensitiviti inilah yang kita ingin hidupkan.


Ketika mentafsirkan surah ini, Sayyid Qutb menyifatkan wahyu yang turun bukan sekadar petunjuk, tetapi juga disikapi oleh para Rasul seperti air yang menghilangkan haus dan seperti angin sepoi sepoi bahasa yang menghilangkan penat. Wahyu juga adalah hiburan setelah letih dan lesu ditentang.
Begitulah para Rasul berinteraksi dengan wahyu. Dengan kalam Allah berupa al-Quran.

Bagaimana pula kerinduan kita untuk disapa dengan sentuhan tarbiah bernuansakan al-Quran dan sunnah? Setelah beberapa detik, hari dan minggu berlalu tanpa dapat menikmati kelazatan Al-Quran, adakah kita juga merasakan Allah swt telah pun melupakan kita dan meninggalkan kita? Adakah jiwa dan perasaan kita sampai ke tingkatan itu?


Jika kita jujur dan telus merindui didikan daripada al-Quran, mana mungkin satu hari berlalu tanpa kita berinteraksi dan melazimi al-Quran. Mana mungkin.

Jadi adakah salah pula untuk kita merindukan tarbiah ini sebagaimana Rasulullah merindukan taa'dib rabbani? Salahkan untuk kita merindui detak detik ditarbiah dengan ayat-ayat AlQuran yang mulia dan sunah Rasulullah yang suci lagi terpelihara?

Ternyata sekali ia tidak salah.

Marilah merindui untuk bersama kembali dalam suasana semalam yang pernah kita hidupkan, dengan zikir ma'thur setiap pagi dan petang, dengan tilawah dan tadabur yang menyegarkan, dengan pelajaran pelajaran mengkaji keluasan ilmu deeniyah yang mempesonakan, dengan kehangatan ukhuwah dan keluhuran ithar sesama mereka yang faham, dengan kesungguhan berkorban di jalan yang tidak kelihatan di manakah garis penamat dan sebagainya.

Marilah bersama, menghidupkan suasana semalam. Suasana ditarbiyah dan mentarbiyah.
Telah berlalu waktu yang panjang usai peristiwa semalam yang menyebabkan pandangan kita mulai kabur dari kebenaran, bau wang tunai lebih harum dari wangian syurga sehingga kita merasakan kita sentiasa betul dan sudah memiliki segalanya. Sehinggakan kenikmatan dunia lebih cukup berbanding dua rakaat sebelum subuh. Sehinggakan membaca hadis unta merah tidak melonjakkan semangat dakwah kita.


Ini semua menunjukkan hari semalam telah berlalu begitu lama. Jadilah inilah masanya, ruang dan peluang untuk kembali. Merindui tarbiyah

No comments: