Seseorang akan menyertakan dirinya
dengan kumpulan manusia yang mempunyai kecenderungan dan minat yang sama
dengannya. Sebagai contoh, orang yang minat memancing akan berkawan dengan
rakan-rakan pemancing. Orang yang kaki bola akan sentiasa menghabiskan masa
dengan peminat bola yang lain. Begitu juga para doktor, jurutera, pengumpul
setem dan sebagainya, akan berada dalam kelompok manusia yang mempunyai minat
dan kecenderungan yang sama dengan mereka. Pepatah Inggeris menyebut, “Birds of
a feather flock together”.
Fenomena sosial ini telah pun disebut
dalam satu hadith. Rasulullah SAW bersabda;
الأَرْوَاحُ
جُنُوْدٌ مُجَنَّدَةٌ فَمَا تَعَارَفَ مِنْهَا ائْتَلَفَ وَمَا تَنَاكَرَا مِنْهَا
اخْتَلَفَ
“Ruh-ruh itu seperti tentara
yang berhimpun yang saling berhadapan. Apabila mereka saling mengenal maka akan
saling bersatu, dan apabila saling berbeda maka akan tercerai-berai.”[1]
Dalam Musnad Imam Ahmad diceritakan, bahwa asbabul wurud[2]
hadith ini iaitu ketika seorang wanita penduduk Makkah yang selalu membuat
orang tertawa hijrah ke Madinah, ternyata dia tinggal dan bergaul dengan wanita
yang sifatnya sama sepertinya. Iaitu senang membuat orang tertawa. Karena
itulah Nabi SAW mengucapkan hadits ini.
Al-Imam An-Nawawi mengatakan dalam Syarah Muslim:
“Para ulama mengatakan, maknanya mereka adalah sekelompok
manusia yang berkumpul atau manusia yang bermacam-macam lagi berbeda-beda. Ruh-ruh
itu saling mengenal karena suatu perkara yang Allah SWT menciptakan ruh-ruh itu
di atasnya..”
Secara lumrah, apabila manusia telah berkumpul dalam
kumpulan-kumpulan ini, yang menjadi keprihatinan mereka ialah apa-apa isu
berkaitan minat dan kecenderungan mereka itu. Mereka akan jadikan minat dan
kecenderungan sebagai topik perbualan mereka, tujuan untuk mereka berkumpul,
mereka bersatu dan bekerja atas dasar itu.
Misalannya kumpulan manusia yang meminati kereta, akan
berkumpul dan sentiasa ambil tahu tentang perkembangan terkini kereta keluaran
terbaru sama ada di pasaran tempatan atau antarabangsa. Orang yang cenderung
kepada gajet elektronik sentiasa mencari-cari maklumat tentang industri ini.
Mereka tidak akan ketinggalan berkenaan maklumat berkaitan gajet elektronik.
Detail gajet elektronik baharu yang dilancarkan dari segi kapasiti, aspek-aspek
yang ditawarkan, aplikasi-aplikasi dan segala butiran terperinci berada dalam
kepala mereka. Ia menjadi topic perbualan mereka sama ada di alam maya atau
ketika bersosial secara bersemuka. Perkara sama berlaku kepada minat-minat dan
kecenderungan-kecenderungan lain yang tidak mampu penulis senaraikan di sini.
‘Pattern’ ini sudah wujud sejak kewujudan manusia lagi
kerana ia sebahagian daripada sunah alam ini. Yang berubah hanyalah bentuk
minat dan kecenderungan mengikut zaman. Perkara yang sama telah berlaku dalam kehidupan
para sahabat r.anhum sebelum kedatangan Islam dan juga penduduk kota Mekah yang
lainnya. Sebahagian mereka mempunyai kecenderungan yang tinggi dalam bidang
kesusateraan. Mereka menghabiskan masa mereka mencipta syair Arab yang
berkualiti tinggi dan saling mendeklamasikannya di pasar-pasar mereka untuk
beradu, siapa yang lebih handal.
Ada yang suka berperang bersama kelompok masing-masing.
Para pedagang dalam kelompok mereka, yang sukakan kuda-kuda peliharaan dalam
kelompok mereka, pemabuk-pemabuk dalam kelompok mereka, tukang besi dalam kelompok
mereka, pengukir berhala, ahli dukun, tukang tilik dan seterusnya,
masing-masing dalam kelompok tersendiri.
Sebelum wahyu diturunkan kepada baginda Rasulullah SAW,
mungkin beratus malah ribuan manusia pernah hidup di Kota Mekah dalam kitaran
ini, dan mati tanpa kita tahu pun butiran tentang mereka, riwayat hidup mereka,
jasa dan sumbangan mereka. Dalam kalangan mereka mungkin ada para lelaki yang
lebih perkasa daripada Umar al-Khattab. Lebih pintar berbanding Ali b Abu
Thalib. Lebih gagah di medan perang berbanding Khalid al-Walid. Lebih tepat
panahannya berbanding Saad b Abi Waqqas. Lebih handal bersyair berbanding
Khansa’, lebih lincah menunggang kuda berbanding Miqdad, lebih geliga berniaga
berbanding Abd Rahman Auf dan kelebihan-kelebihan yang lain.
Ini kerana kepakaran, kemahiran dan bakat yang hebat ini
ada pada manusia di zaman mana pun. Namun, dunia tidak mengenali mereka. Siapakah
mereka? Di manakah mereka? Dan butiran yang lain tidak kita ketahui. Riwayat
hidup mereka tidak menjadi rujukan sesiapa pun. Mereka hidup dengan minat dan
kecenderungan beserta kelebihan, bakat, potensi dan kemahiran yang Allah
berikan kemudian mereka mati begitu sahaja. Kehidupan dan kematian merupakan
fenomena yang berlaku saban hari bahkan mungkin setiap minit di Kota Mekah.
Tetapi, keseluruhan fenomena ini berubah selepas satu
peristiwa yang paling bersejarah pernah berlaku dalam riwayat hidup umat
manusia. Peristiwa ini telah mengangkat nama-nama sahabat yang kemungkinan
tenggelam ditelan zaman seperti nenek moyang mereka. Dunia mula memberi
perhatian khusus kepada mereka. Kisah-kisah tentang mereka diriwayatkan dari
generasi ke generasi dan menjadi hiburan sebelum tidur anak-anak Islam. Peristiwa
tersebut tidak lain tidak bukan merupakan peristiwa turunnya wahyu berupa Al-Qur’an.
Berkenaan hal ini, Allah SWT mengingatkan kembali dalam firman-Nya;
هَلْ
أَتَىٰ عَلَى الْإِنْسَانِ حِينٌ مِنَ الدَّهْرِ لَمْ يَكُنْ شَيْئًا مَذْكُورًا
Bukankah
telah datang atas manusia satu waktu dari masa, sedang dia ketika itu belum
merupakan sesuatu yang dapat disebut?
[Al-Insan
:1]
Kehidupan para sahabat r.anhum setelah Al-Qur’an
diturunkan dan mereka beriman serta berinteraksi dengannya berpaling arah. ‘Pattern’
telah berubah. Minat dan kecenderungan mereka masih ada, tidak terhakis.
Kemahiran, bakat, kelebihan dan potensi mereka masih ada. Tetapi isu yang
menjadi keprihatinan mereka telah berubah. Cara pandang mereka kepada dunia
telah bertukar. Kini mereka bersatu, prihatin, berkumpul dan bekerja mengerahkan
segenap upaya, minat, bakat, kecenderungan, potensi dan kemahiran mereka untuk
satu misi baharu iaitu misi, “We must change the world”.
Mereka disatukan dengan satu tujuan yang sama. Kefahaman
mereka dan cara pandang mereka kepada dunia telah berubah bentuk, hasil
interaksi dengan Al-Qur’an. Kemudian, Al-Qur’an terus turun, sedikit demi
sedikit mengiringi dan menuntun misi baharu mereka.
Sekarang telah terbina kelompok baharu, iaitu kelompok orang-orang
Islam!
No comments:
Post a Comment