Pada malam itu kami menyimak surah Yusuf dalam perjumpaan
mingguan kami. Perjumpaan menyimak iman dan amal. Sebahagian komentar berkenaan
sesi refleksi itu dicatat di sini. Untuk ingatan kami kalau-kalau terlupa dan
untuk manfaat kita semua insya Allah.
قَالَ قَائِلٌ
مِنْهُمْ لَا تَقْتُلُوا يُوسُفَ وَأَلْقُوهُ فِي غَيَابَتِ الْجُبِّ يَلْتَقِطْهُ
بَعْضُ السَّيَّارَةِ إِنْ كُنْتُمْ فَاعِلِينَ
Seorang
diantara mereka berkata: "Janganlah kamu bunuh Yusuf, tetapi masukkanlah
dia ke dasar sumur supaya dia dipungut oleh beberapa orang musafir, jika kamu
hendak berbuat".
[Yusuf:9]
Ayat di atas bercerita tentang kata-kata yang terpacul
keluar dari lisan salah seorang daripada saudara Nabi Yusuf yang berniat jahat
ke atas Beliau.
Kita tidak tahu siapakah gerangannya. Al-Quran hanya
menyebut,
قَائِلٌ
Iaitu yang berkata.
Tetapi daripada perkataan ini kita tahu, yang berkata
adalah seorang. Walaupun seorang daripada 9 atau 10 saudara Nabi Yusuf yang
lain, walaupun kata-katanya terpencil, tetapi kesannya begitu besar dan
mendasar.
Bayangkan jika قَائِلٌ iaitu yang berkata di sini tidak menyampaikan kata-katanya.
Nayangkan jika dia hanya menyimpan pandangan, kegusaran dan mungkin sekelumit
keprihatinan dia akan nasib Nabi Yusuf itu untuk dirinya semata-mata dan
didiamkan, barangkali perjalanan hidup Nabi Yusuf bakal berubah 180 darjah.
Bahkan tidak mustahil 'diamnya’ قَائِلٌ bakal membunuh riwayat Nabi Yusuf. Begitulah diam boleh
membunuh apabila tidak bertempat. Apabila diam kerana takut dan gusar. Atau
diam kerana kecewa sebelum ia berhasil.
Daripada sisi ini, kita belajar betapa pentingnya peranan
menjadi قَائِلٌ, yang berkata
menyampaikan kata-kata yang benar ataupun sekurang-kurangnya nasihat yang boleh
mengurangkan mudarat keadaan semasa.
Tidak kisah lah mungkin kita hanya seorang dan bersendirian, tetapi kata-kata
yang baik mesti didahulukan ketimbang berdiam diri.
Seperti mana sabda Rasulullah SAW, barang siapa yang
beriman kepada Allah dan hari akhirat,
فليقل خيراً أو ليصمت
(hendaklah ia berkata baik atau diam) [1]
Meskipun diri kita tidak cukup baik seperti قَائِلٌ di sini yang termasuk
dalam senarai saudara Nabi Yusuf yang berniat tidak baik, namun kata-kata
dakwah insya Allah mempunyai barakah tersendiri, tanpa mengenal siapa yang
berkata.
Daie sangat tidak wajar mendiamkan diri ketika melihat
segala bentuk kemungkaran sama ada kecil atau besar. Ia tidak wajar memilih
untuk diam kerana beranggapan dirinya yang satu tidak mempunyai sebarang
pengaruh dan kekuatan. Dia tidak patut kecewa dengan pelbagai tanggapan sebelum
beramal. Bahkan amat tidak patut jika meletakkan harapan pada usahanya
semata-mata tanpa mengambil kira kuasa dan kehendak Allah yang menatijahkan
hasil.
Rugilah kefahaman dan fikrah islam yang bersih dan indah,
yang dipelajari jika sekadar disimpan rapi tanpa disuarakan. Siapalah pula yang
boleh memanfaatkan sekalian banyak hafalan Quran dan hadis kita sekiranya kita
diam seribu bahasa.
Maka, apabila tiba masanya, bersuaralah. Barangkali suara
kita yang halus, perlahan dan seakan terpencil seolah-olah tidak mampu didengari
itu bakal mengubah banyak perkara di sekeliling kita.
Sebagaimana kata-kata قَائِلٌ telah menjadi asbab berubahnya perjalanan hidup Nabi Yusuf as.
Oleh itu kepada saudara-saudara kami, di jalan tarbiyah
beginilah kami memetik nasihat yang baik. Ia bersumber wahyu yang terpelihara
dan kefahaman yang bersih. Jangan kau gusar akhi untuk berkata-kata, meskipun
kau keseorangan, sebatang kara.
No comments:
Post a Comment