Thursday, November 2, 2017

HAVE YOUR READ?


Allah SWT telah menghadiahkan umat manusia dengan kitab-Nya berupa al-Qur’an dan disertakan pada kitab ini kelebihan yang banyak. Sehinggakan, membaca al-Qur’an merupakan satu ibadah yang dijanjikan ganjaran pahala sebagaimana disebut dalam satu hadith, Rasulullah SAW bersabda[1];

 “Abdullah bin Mas’ud radhiyallahu ‘anhu berkata: “Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: “Siapa yang membaca satu huruf dari Al Quran maka baginya satu kebaikan dengan bacaan tersebut, satu kebaikan dilipatkan menjadi 10 kebaikan semisalnya dan aku tidak mengatakan الم satu huruf akan tetapi Alif satu huruf, Laam satu huruf dan Miim satu huruf.”


Umat Islam terutamanya di alam Melayu ini begitu berpegang dengan kelebihan membaca al-Qur’an ini yang mendatangkan pahala sehingga mereka bersungguh-sungguh membaca al-Qur’an dan cuba mengkhatamkannya sekerap mungkin. Fenomena ini menjadi lebih menakjubkan di Bulan Ramadhan kerana pahala pada bulan ini digandakan sehingga tidak mampu lagi dihitung.


Sehingga kita dapati mungkin ada gejala orang yang hanya membaca Qur’an pada bulan Ramadhan, tetapi tidak pada bulan-bulan yang lain. Orang yang super sibuk juga turut berkesempatan melakukan tilawah dan tadarus pada bulan Ramadhan. Perlumbaan ini tidak hanya berlaku dalam kalangan muslim yang komited. Kelihatan juga orang yang tidak menutup aurat dengan baik turut tidak lepaskan peluang untuk dapatkan ganjaran tilawatul Qur’an. Orang yang tidak bersolat, yang mungkin sumber pendapatannya melalui jalan yang meragukan turut sama membaca al-Qur’an. Ini merupakan sesuatu yang baik! Sesungguhnya rahmat Allah SWT itu luas dan pintu kebaikan itu ada banyak!


Yang pasti, menyibukkan diri membaca al-Qur’an jauh lebih baik daripada kesibukan dengan bahan bacaan lain seperti material di media social dan sebagainya kerana tidak ada hadith ataupun athar menyebutkan tentang kelebihan dan fadhilat Facebook, Twitter, Instagram dan lain-lain!


Namun, adakah membaca dan mengharapkan pahala dari bacaan tersebut sudah memadai? Adakah al-Qur’an merupakan kitab untuk dijadikan bahan bacaan semata-mata? Adakah al-Qur’an diturunkan sebagai wasilah untuk memberi pahala kepada umat manusia?

Penulis ingin melontarkan persoalan kepada kita semua dengan aplikasi hadith Rasulullah SAW tadi. Bertitik-tolak dari kefahaman kita secara zahir daripada hadith berkenaan, ganjaran pahala diberikan mengikut bilangan huruf yang dibaca seperti sabda Baginda, “Bukan lah Alif Lam Mim itu satu huruf, tetapi Alif satu Lam satu dan Mim satu”. 


Jadi cuba kita bayangkan dua orang qari (pembaca al-Qur’an) membaca al-Qur’an dengan kadar kelajuan yang sama. Salah seorang membaca daripada permulaan al-Qur’an iaitu Surah al-Fatihah sehingga Surah An-Nas dan bacaan beliau memakan masa 8 jam. Qari kedua pula hanya membaca Surah al-Kuatsar berupa tiga ayat, berulang-ulang dengan kadar kelajuan yang sama, untuk tempoh 8 jam juga. Soalannya, dari segi ganjaran pahala, siapakah yang lebih banyak dalam kalangan mereka berdua berdasarkan mafhum hadith tadi?


Jawapanya adalah sama. 

Ya. Pahala kedua-keduanya sama secara zahir yang dapat kita tentukan. Ini kerana dengan kelajuan yang sama, dalam tempoh masa yang sama, bilangan huruf yang sempat dibaca oleh kedua-dua qari sepatutnya sama, sehinggakan mereka berdua selayaknya diganjari pahala bacaan yang sama. Persoalan seterusnya, jika begitu mengapa perlu bersusah payah mengkhatamkan al-Qur’an?


Jika sekadar diturunkan untuk dibaca dan dijadikan wasilah untuk memberi pahala kepada umat manusia yang membacanya, mengapa tidak al-Qur’an itu berupa satu surah yang mudah dan ringkas sahaja seperti surah al-Ikhlas atau al-Kautsar? Bukankah dengan ini bacaan lebih mudah? Pahala lebih cepat diperolehi dan lebih ramai boleh menghafal Qur’an. Madrasah tahfiz boleh dibuka dengan lebih mudah dan kita semua boleh menjadi huffaz dalam tempoh yang sekejap!

Petikan buku Berinteraksi Dengan Qur'an [BDQ]


[1] (HR. Tirmidzi dan dishahihkan di dalam kitab Shahih Al Jami’, no. 6469)



2 comments:

Anonymous said...

Boleh tahu details tentang buku BDQ?

Inspector Saahab said...

Masih di peringkat Drafting.