Tuesday, October 24, 2017

INTERAKSI DENGAN QURAN





Tanah yang kering dan tandus ekoran tiada air sebagai sumber hidupan, setelah menjadi tadahan hujan akan menumbuhkan pokok-pokok dan akhirnya berubah menjadi semak dan hutan dengan izin Allah SWT. Proses terbentuknya hutan ini telah dikaji dan diperjelas dengan terperinci oleh pakar yang berkaitan, dalam konsep yang dinamakan ‘succession’[1].

Mana-mana tanah sekalipun, secara umum akan menjadi subur dan tempat tumbuhnya tumbuhan yang beraneka jenis apabila disirami air hujan. Ini merupakan satu fenomena yang kita sering lihat dekat dengan kita. Sebagai tamsilan, apabila kawasan yang lapang di rumah kita mengalami kekeringan kerana musim kemarau, akhirnya rerumput atau tumbuhan di situ akan mati. Namun, apabila hujan mulai turun, rerumput mulai kembali tumbuh.


Tanah yang dibiarkan subur dengan air hujan, yang menumbuhkan hutan mempunyai manfaat yang banyak buat manusia secara khususnya dan kepada ekosistem alam secara umumnya. Namun, perhutanan tidak sama dengan pertanian. Apabila tanah dibiarkan ‘interaksi’ alamnya dengan air hujan tanpa campur tangan petani atau orang yang menguruskan tanah itu, yang terbentuk adalah hutan.

Tetapi apabila kejadian ini diurus dengan betul, dikawal-selia oleh seseorang yang kita sebut sebagai petani, tanah itu akan menjadi ladang pertanian yang sudah pasti manfaatnya jauh lebih besar buat manusia. Petani akan menyediakan benih yang sesuai, mengawal sukatan air, dan menyelia tanah supaya dapat mengeluarkan hasil yang diperlukan oleh manusia. Kadangkala, para petani terpaksa mencabut tumbuhan yang tidak diingini supaya tidak menganggu aktiviti pertanian yang dihajati.


Nah, inilah yang berlaku, antara interaksi manusia dengan al-Qur’an.


Seseoang yang ingin berinteraksi dengan al-Qur’an boleh mendapatkan sumber pelajaran dari pelbagai sudut dan bentuk serta dengan siapa-pun. Insya Allah, interaksinya itu akan memanfaatkan dirinya secara umum, akan menghidupkan hatinya dan menjadikan dia seorang muslim yang lebih komited dengan suruhan-suruhan Allah SWT. Namun begitu, ia akan tumbuh dengan pelajaran-pelajaran al-Qur’an bak hutan, memberi manfaat secara umum. Ia tidak mampu menghasilkan ‘pertanian’. Untuk menjadikan diri kita dibentuk dengan sempurna melalui al-Qur’an, kita perlukan methodolgy atau manhaj yang betul. Termasuklah dalam methodolgy ini ialah ;


1)      Interaksi yang bertahapan mengikut kesesuaian. 
2)      Interaksi yang mempunyai tujuan-tujuan yang terancang. 
3)      Interaksi yang diselia oleh seseorang yang berkelayakan. 
4)      Interaksi melalui sarana yang pelbagai dan bersesuaian. 
5)      Ada suasana yang membantu interaksinya 
6)      Ada seseorang yang mengenali dirinya dengan dekat untuk membantu interaksinya dengan al-Qur’an.


Kesemua ini tidak akan dapat dilakukan sekiranya kita mendapatkan pelajaran al-Qur’an dari sekelian cara sama ada melalui kuliah di masjid, Ceramah di YouTube dan lain-lain sumber yang kita sendiri tidak jelas tahapan kita, tujuan-tujuan kita, tidak ada penyeliaan dan paling penting tidak ada suasana yang membantu untuk kita beramal setelah interaksi kita.

Namun, penulis tidak menafikan adanya kebaikan-kebaikan melalui pelbagai cara kita mendapatkan pelajaran al-Qur’an seperti tersenarai di atas terutamanya untuk peringkat individu. Cumanya, ia tidak mampu memberikan lebih daripada itu.

Apabila para sahabat belajar interaksi al-Qur’an dengan Rasulullah SAW, Rasulullah SAW bertindak seolah-olah sebagai seorang ‘petani’. Setiap sahabat itu merupakan hasil tani, menjadi ‘pokok-pokok’ tertentu yang bermanfaat untuk masyarakat muslim secara keseluruhan, bukan hanya manfaat peribadi masing-masing. Tidak hairanlah, al-Qur’an menyifatkan mereka seperti tanam-tanaman;


مُحَمَّدٌ رَسُولُ اللَّهِ ۚ وَالَّذِينَ مَعَهُ أَشِدَّاءُ عَلَى الْكُفَّارِ رُحَمَاءُ بَيْنَهُمْ ۖ تَرَاهُمْ رُكَّعًا سُجَّدًا يَبْتَغُونَ فَضْلًا مِنَ اللَّهِ وَرِضْوَانًا ۖ سِيمَاهُمْ فِي وُجُوهِهِمْ مِنْ أَثَرِ السُّجُودِ ۚ ذَٰلِكَ مَثَلُهُمْ فِي التَّوْرَاةِ ۚ وَمَثَلُهُمْ فِي الْإِنْجِيلِ كَزَرْعٍ أَخْرَجَ شَطْأَهُ فَآزَرَهُ فَاسْتَغْلَظَ فَاسْتَوَىٰ عَلَىٰ سُوقِهِ يُعْجِبُ الزُّرَّاعَ لِيَغِيظَ بِهِمُ الْكُفَّارَ ۗ وَعَدَ اللَّهُ الَّذِينَ آمَنُوا وَعَمِلُوا الصَّالِحَاتِ مِنْهُمْ مَغْفِرَةً وَأَجْرًا عَظِيمًا


Muhammad itu adalah utusan Allah dan orang-orang yang bersama dengan dia adalah keras terhadap orang-orang kafir, tetapi berkasih sayang sesama mereka. Kamu lihat mereka ruku' dan sujud mencari karunia Allah dan keridhaan-Nya, tanda-tanda mereka tampak pada muka mereka dari bekas sujud.
Demikianlah sifat-sifat mereka dalam Taurat dan sifat-sifat mereka dalam Injil, yaitu seperti tanaman yang mengeluarkan tunasnya maka tunas itu menjadikan tanaman itu kuat lalu menjadi besarlah dia dan tegak lurus di atas pokoknya; tanaman itu menyenangkan hati penanam-penanamnya karena Allah hendak menjengkelkan hati orang-orang kafir (dengan kekuatan orang-orang mukmin).
Allah menjanjikan kepada orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal yang saleh di antara mereka ampunan dan pahala yang besar
(Al-Fath :29)


Inilah methodolgy ataupun manhaj interaksi yang hilang dalam kalangan umat kita hari ini.


*Petikan buku Berinteraksi Dengan Quran [BDQ]


[1] Succession-Wikipedia

No comments: