Monday, October 2, 2017

SIMBOL DAKWAH YANG HILANG


Simbol Dakwah Yang Hilang


Al-Imam Tirdmizi meriwayatkan sebuah hadis ;


لا تكونوا إمعة


-Janganlah kamu menjadi ima'ah

Yang mana Sheikh Albani mengkategorikan hadis ni sebagai dhaif. Yang sahihnya, ia merupakan kalam Ibn Mas'ud ra.

Namun begitu, makna athar ni sangat benar dan sahih manfaatnya. Kalam yang ringkas mengandungi pelajaran yang mutiara wabil khusus buat para duat ilaLlah.

Ia bermaksud, janganlah kamu menjadi orang yang ikut-ikutan.

Perkataan إمعة bermaksud secara mudah pak turut atau 'yes-man'. Ia berasal dari perkataan مع iaitu bersama, dalam erti kata menurut orang, suasana atau keadaan yang bersama dengannya.

Hari ini sebahagian besar umat islam telah hilang identiti & fikrah islam mereka kerana menjadi pak turut, إمعة.

Lebih sedih, para duat ilallah juga telah larut dengan teman mereka, suasana yang membersamai mereka sehingga sudah tenggelam simbol dakwah dan islam yang kononnya dibawa dan dipelajari dalam pertemuan tarbiyah mereka.

Mereka menggelar diri daie. Dalam halaqah mereka lain. Ketika bersama ikhwah, kelihatan mereka paling syadid dan dekat sunah nabi. Dalam pertemuan tarbiyah mereka dilihat yang paling aqrab dengan kitab Allah. Dalam sesi mabit barangkali sujud mereka paling lama dan panjang.

Namun, begitu ia bersama lingkungan yang tidak solehah, langsung dia bertukar, larut persis gula dalam air yang panas. Ia tidak menampakkan lagi keterbezaannya. Ia takut dengan risiko. Bekal-bekal tarbiyah yang dicedok tidak mampu men-supply- keberanian buatnya.


Di tempat kerjanya, tidak kelihatan dia berbeza dengan orang awam lain. Di kuliah, dia sama sahaja dengan orang yang tidak pernah hadiri daurah. Di hostel pun begitu.

Alangkah menyedihkan.

Simbol dakwah dan fikrah islam yang sepatutnya menjadi aset yang diperjuangkan tidak lagi kelihatan padanya. Sehingga kewujudannya tidak mengesani teman-temannya.

Semoga para ikhwah diberi kekuatan untuk tidak tergolong dalam kalangan إمعة. Sebaliknya terus berbeza dalam kerjaya, hobi, masa lapang, masa cuti, bersama siapa & di mana jua..

Sesungguhnya penulis sedang bercermin ke diri sendiri. Kerana untuk diriku la yang pertama-tama kutujukan nasihat dan barangkali ancaman ini!