Saturday, October 5, 2019

GF - MEROSAK AKHLAK


Merosak akhlak

Akhlak merupakan keunikan ajaran islam dan menjadi senjata ampuh untuk menarik orang mengenal islam. Akhlak atau tingkah laku ini merupakan gambaran pertama yang kita lihat pada seseorang sebelum kita berkenalan dengan lebih dekat tentang fikrah dan pemikiran yang dibawa. First impression kepada islam ialah akhlak penganut-penganutnya. Jadi, alangkah pentingnya pada pandangan musuh-musuh islam untuk merosakkan dahulu akhlak anak-anak muda islam supaya tarikan pertama ini lebur. Apabila akhlak dicemari dengan pandangan buruk, kemungkinan besar mesej yang hendak dibawa itu tidak akan dipertimbangkan oleh si pendengar kerana bahasa badan lebih melekat berbanding bahasa lisan.

Akhlak Nabi Muhammad

Dakwah Rasulullah telah mendapat perhatian orang-orang Quraysh kerana akhlak baginda yang unggul sehingga tiada sebab untuk mereka menolak islam melainkan mereka sendiri membutakan mata hati mereka dan menolak kebenaran. Mereka sebenarnya mengenali baginda ar-Rasul seperti mana mereka mengenali anak-anak mereka sendiri seperti firman Allah;


ٱلَّذِينَ ءَاتَيۡنَٰهُمُ ٱلۡكِتَٰبَ يَعۡرِفُونَهُۥ كَمَا يَعۡرِفُونَ أَبۡنَآءَهُمۡۖ وَإِنَّ فَرِيقٗا مِّنۡهُمۡ لَيَكۡتُمُونَ ٱلۡحَقَّ وَهُمۡ يَعۡلَمُونَ



Orang-orang yang Kami berikan Kitab itu mengetahui serta mengenalinya (Nabi Muhammad dan kebenarannya) sebagaimana mereka mengenal anak-anak mereka sendiri. Dan sesungguhnya sebahagian dari mereka berusaha menyembunyikan kebenaran itu, sedang mereka mengetahui.
-Surah Al-Baqarah, Ayah 146
Dalam perkenalan mereka dengan baginda ar-Rasul, tidak ada seorang pun dari kalangan mereka mempunyai pengalaman buruk berinteraksi dengan Rasulullah. Kedudukan baginda pada aspek akhlak terpuji ini bahkan telah mendapat pujian langsung dari Allah swt;

وَإِنَّكَ لَعَلَىٰ خُلُقٍ عَظِيمٖ
Dan bahawa sesungguhnya engkau mempunyai akhlak yang amat mulia.
-Surah Al-Qalam, Ayah 4


Thursday, October 3, 2019

SUARA MANJA ASIAH




Allah SWT telah memberi ilham kepada ibu Musa untuk menghanyutkan Musa yang masih bayi ke dalam  sungai. Dari kemurahan Allah SWT, dilimpahkan mahabbah kepada Musa as. Tidak ada mata yang memandang Musa melainkan akan terpegun, jatuh cinta yang mendalam sekali untuk mengasihi dan menyayanginya di usia bayi itu. Ini adalah tarikan mahabbah yang dikurniakan oleh Allah SWT sebagaimana firman-Nya;


أَنِ ٱقۡذِفِيهِ فِي ٱلتَّابُوتِ فَٱقۡذِفِيهِ فِي ٱلۡيَمِّ فَلۡيُلۡقِهِ ٱلۡيَمُّ بِٱلسَّاحِلِ يَأۡخُذۡهُ عَدُوّٞ لِّي وَعَدُوّٞ لَّهُۥۚ وَأَلۡقَيۡتُ عَلَيۡكَ مَحَبَّةٗ مِّنِّي وَلِتُصۡنَعَ عَلَىٰ عَيۡنِيٓ

"Letakkanlah anakmu di dalam peti, kemudian lepaskanlah peti itu ke laut, maka biarlah laut itu membawanya terdampar ke pantai, supaya dipungut oleh musuhKu dan musuhnya; dan Aku telah tanamkan dari kemurahanKu perasaan kasih sayang orang terhadapmu; dan supaya engkau dibela dan dipelihara dengan pengawasanKu.
Surah Ta-Ha, Ayat 39


Rasa cinta yang mendalam terhadap bayi yang ditemuinya iaitu Musa a.s dan iltizam yang kuat untuk mengambil dan memeliharanya telah membuatkan Isteri Firaun yang dikenali Asiah ini mengumpul segala kekuatan dan kelembutan untuk membujuk firaun supaya bersetuju dengan keinginannya. Dengan takdir Allah, aura kelembutan seorang isteri dan iltizam seorang perempuan bernama Asiah telah menundukkan Firaun yang bengis itu.

Mari kita perhatikan laras bahasa yang tersusun rapi dan penuh berani oleh Imraah Firaun ini dalam ayat berikut;


وَقَالَتِ ٱمۡرَأَتُ فِرۡعَوۡنَ قُرَّتُ عَيۡنٖ لِّي وَلَكَۖ لَا تَقۡتُلُوهُ عَسَىٰٓ أَن يَنفَعَنَآ أَوۡ نَتَّخِذَهُۥ وَلَدٗا وَهُمۡ لَا يَشۡعُرُونَ
Dan (ketika melihat kanak-kanak itu) berkatalah isteri Firaun: "(Semoga ia menjadi) cahaya mata bagiku dan bagimu; janganlah kamu membunuhnya; mudah-mudahan ia berguna kepada kita, atau kita jadikan dia anak". Padahal mereka tidak menyedari (kesudahannya).
-Sura Al-Qasas, Ayah 9

Sungguh pandai sang perempuan bermain dengan kata-kata sehingga memukau si suami. Kata Asiah;
"(Semoga ia menjadi) cahaya mata bagiku dan bagimu..”

Dalam ayat ini Asiah bukan sahaja meluahkan keinginan dan perasaannya, tetapi telah membawa bersama keinginannya itu perasaan yang tersembunyi dalam jiwa Firaun. Frasa “bagimu..” merupakan hujah manja yang tidak mampu ditolak oleh Firaun. Akhirnya firaun bersetuju. Permainan kata-kata atau semantic game ini membuahkan hasil. Hebatnya wanita al-Qur’an ini.


Wanita, jika keazaman dan keinginannya telah kuat dan memuncak, dia akan menggunakan segenap upaya untuk mendapatkan apa yang diingini dan dihajati. Memang tepat Allah SWT telah memilih Asiah sebagai asbab terselamatnya Nabi Musa.

Keinginan yang kuat ini dalam bahasa Arab disebut sebagai irodah qowiyah. Inilah yang kaum wanita patut pelajari dari Asiah as. Asiah bukan pesis permaisuri biasa yang duduk bertenggek di singgahsana dan menghabiskan wang Negara, tetapi telah menggunakan keinginan dan kemahuan yang kuatnya itu untuk mengubah perjalanan sejarah manusia.

Sudah pasti sebelum itu semua, dia telah didasari oleh keimanan yang kokoh. Jiwa yang sering bertawajjuh kepada Allah akan memiliki hati yang lapang dan kental berjuang meskipun berhadapan dengan makhluk sezalim firaun. Di istana firaun itu rupanya telah menjadi sarang terbinanya iman yang mendalam kepada Allah SWT.

Pembaca budiman terutamanya buat wanita muslimah yang ingin mengambil langsung teladan dari al-Qur’an, sesungguhnya ada dua hal yang boleh dibawa pulang dari babak ini untuk kita terapkan.

Bahawa wanita itu mempunyai aura tersendiri dan mampu mencenderungkan orang-orang di sekelilingnya selari dengan kemahuannya. Jika si isteri solehah, nescaya mampu mendidik pasangan dengan manja tetapi penuh adab untuk berubah menjadi soleh. Ibu yang penuh keimanan mampu membisikkan pesanan-pesanan keimanan dan mendidik iman dalam peribadi anak-anak. Sekiranya watak sedegil firaun pun mampu ditundukkan oleh suara wanita, apalah sangat lelaki-lelaki yang hadir dalam hidup kalian, bukankah jauh lebih mudah?

Meskipun wanita terutamanya setelah berumah tangga sering kali dikaitkan dengan dapur, namun ia bukan tanggapan yang tepat dan patut merendahkan peranan kalian. Di mana sahaja posisi seorang wanita itu, ada peranan yang boleh dimainkan. Jika wanita seagung Asiah yang terpenjara di istana mewah mampu berbuat sesuatu untuk agama ini, apatah lagi untuk kalian akhowat muslimah di zaman serba moden ini. Ruang lingkup untuk menyumbang terlalu luas sehingga tidak mampu diduga. Maka, bertebarlah menyampaikan risalah cinta ini.


Buku : Wanita yang diabadikan dalam al-Qur'an

* Gambar yang tiada kaitan

Wednesday, October 2, 2019

TARBIYAH PRA MATANG


Ketika islam telah tersebar dengan penuh gah, ekspansinya melata di sekeliling Tanah Arab,  sebahagian besar masyarakat pinggiran dan pedalaman Arab juga telah memeluk islam. Orang Arab pedalaman ini dikenali dalam Qur'an dengan gelaran al-a'rab atau Arab Badwi, "Arab Kampung". Namun begitu, dalam Qur'an tatkala ayat-ayat yang diturunkan secara khusus berbicara tentang kumpulan "new comers' ini, kebanyakannya menegur sikap mereka dalam beragama.

Antaranya, Allah swt menegur mereka dalam surah al-Hujurat berkenaan beberapa perilaku mereka yang tidak matang, menggambarkan iman yang masih belum meresap dan mekar dalam jiwa mereka meskipun lisan mereka telah melafazkan kalimah syahadah. Mengapakah sikap mereka begini? Pada amatan kita yang cetek dan terbatas ini, ada beberapa kemungkinan.

Pertamanya kerana usia mereka dalam islam yang masih baharu sehinggakan kefahaman islam belum menyerap dengan mantap dalam jiwa mereka. Sudah tentu mereka yang memeluk islam ketika islam sudah mula menempa nama di Tanah Arab ini tidak melalui siri-siri perjuangan yang panjang, keras dan menggugah jiwa sebagaimana yang telah dirintih oleh assabiqun al-awwalun, menyebabkan asbab mereka memeluk islam itu besar kemungkinan tidak didasari oleh pegangan yang kuat, sebaliknya bercampur dengan kepentingan-kepentingan tertentu.

Hal ini memberi gambaran kepada kita bahawa elemen masa dalam "tarbiyah" memberi natijah yang berbeza kepada sikap seorang akh yang berada dalam tarbiyah. Walaupun kita tidak boleh menilai ketaqwaan seseorang, namun pengalaman menunjukkan kematangan dalam tarbiyah hanya dicapai setelah seorang akh melalui satu tempoh tarbiyah yang lama, panjang dan mendalam. Maka saudaraku, ketika engkau merasa kering, bertahanlah! Atau buat murabbi yang sedang mentakwin, ketika engkau dapati beberapa prilaku yang memeningkan dan kadang-kadang menjengkelkan dirimu, ketahuilah masa merupakan elemen yang sangat penting dalam pentarbiyahan.

Keduanya, kemungkinan besar juga fenomena ini berlaku kerana kelompok Arab Badwi ini terpinggir dan berjauhan dari sumber tarbiyah. Kedudukan mereka yang secara geografis di pinggir kota menyebabkan bekalan islam itu tidak sampai dengan sempurna ataupun tidak seasolah yang diterima oleh mereka yang berada di 'central' terutamanya berbanding sahabat yang berada di kota Madinah, di sisi Rasulullah saw. Kurangnya pendedahan kepada bahan tarbiyah dan kurangnya mulazamah serta mendampingi abang-abang yang lebih senior menyebabkan pembentukan iman dan perilaku golongan ini dilihat sedikit terbantut dan ke belakang.

Amatan ini memberi kita;-para murabbi satu ibrah yang sangat penting. Ia mengulangi siri nasihat yang kita dengar akan betapa pentingnya sumber tarbiyah itu dibekalkan secara berterusan dan berdampingan langsung dari mereka yang terlebih dahulu menapaki jalan ini. Kekerapan ponteng wasilah tarbiyah, dan mengasingkan diri dari 'camp' ikhwah menyebabkan berlakunya perkara ini. Jika yang membaca tulisan yang marhaen ini adalah dalam kalangan adik-adik, tidak ada yang ingin kami sembunyikan melainkan ingin memberitahu kalian untuk terus komited dengan wasilah yang disediakan dan teruslah berdampingan dengan para murabbi yang qudwah.


Apakah sikap dan perilaku Arab Badwi yang ditegur oleh al-Qur'an ? Apakah bentuk sikap tidak matang yang mungkin sedang berulang dalam kalangan 'kita' ?

Insya Allah bersambung....