Ketika islam telah tersebar dengan penuh gah, ekspansinya melata di sekeliling Tanah Arab, sebahagian besar masyarakat pinggiran dan pedalaman Arab juga telah memeluk islam. Orang Arab pedalaman ini dikenali dalam Qur'an dengan gelaran al-a'rab atau Arab Badwi, "Arab Kampung". Namun begitu, dalam Qur'an tatkala ayat-ayat yang diturunkan secara khusus berbicara tentang kumpulan "new comers' ini, kebanyakannya menegur sikap mereka dalam beragama.
Antaranya, Allah swt menegur mereka dalam surah al-Hujurat berkenaan beberapa perilaku mereka yang tidak matang, menggambarkan iman yang masih belum meresap dan mekar dalam jiwa mereka meskipun lisan mereka telah melafazkan kalimah syahadah. Mengapakah sikap mereka begini? Pada amatan kita yang cetek dan terbatas ini, ada beberapa kemungkinan.
Pertamanya kerana usia mereka dalam islam yang masih baharu sehinggakan kefahaman islam belum menyerap dengan mantap dalam jiwa mereka. Sudah tentu mereka yang memeluk islam ketika islam sudah mula menempa nama di Tanah Arab ini tidak melalui siri-siri perjuangan yang panjang, keras dan menggugah jiwa sebagaimana yang telah dirintih oleh assabiqun al-awwalun, menyebabkan asbab mereka memeluk islam itu besar kemungkinan tidak didasari oleh pegangan yang kuat, sebaliknya bercampur dengan kepentingan-kepentingan tertentu.
Hal ini memberi gambaran kepada kita bahawa elemen masa dalam "tarbiyah" memberi natijah yang berbeza kepada sikap seorang akh yang berada dalam tarbiyah. Walaupun kita tidak boleh menilai ketaqwaan seseorang, namun pengalaman menunjukkan kematangan dalam tarbiyah hanya dicapai setelah seorang akh melalui satu tempoh tarbiyah yang lama, panjang dan mendalam. Maka saudaraku, ketika engkau merasa kering, bertahanlah! Atau buat murabbi yang sedang mentakwin, ketika engkau dapati beberapa prilaku yang memeningkan dan kadang-kadang menjengkelkan dirimu, ketahuilah masa merupakan elemen yang sangat penting dalam pentarbiyahan.
Keduanya, kemungkinan besar juga fenomena ini berlaku kerana kelompok Arab Badwi ini terpinggir dan berjauhan dari sumber tarbiyah. Kedudukan mereka yang secara geografis di pinggir kota menyebabkan bekalan islam itu tidak sampai dengan sempurna ataupun tidak seasolah yang diterima oleh mereka yang berada di 'central' terutamanya berbanding sahabat yang berada di kota Madinah, di sisi Rasulullah saw. Kurangnya pendedahan kepada bahan tarbiyah dan kurangnya mulazamah serta mendampingi abang-abang yang lebih senior menyebabkan pembentukan iman dan perilaku golongan ini dilihat sedikit terbantut dan ke belakang.
Amatan ini memberi kita;-para murabbi satu ibrah yang sangat penting. Ia mengulangi siri nasihat yang kita dengar akan betapa pentingnya sumber tarbiyah itu dibekalkan secara berterusan dan berdampingan langsung dari mereka yang terlebih dahulu menapaki jalan ini. Kekerapan ponteng wasilah tarbiyah, dan mengasingkan diri dari 'camp' ikhwah menyebabkan berlakunya perkara ini. Jika yang membaca tulisan yang marhaen ini adalah dalam kalangan adik-adik, tidak ada yang ingin kami sembunyikan melainkan ingin memberitahu kalian untuk terus komited dengan wasilah yang disediakan dan teruslah berdampingan dengan para murabbi yang qudwah.
Apakah sikap dan perilaku Arab Badwi yang ditegur oleh al-Qur'an ? Apakah bentuk sikap tidak matang yang mungkin sedang berulang dalam kalangan 'kita' ?
Insya Allah bersambung....
No comments:
Post a Comment