Sunday, September 22, 2019

SUDIKAH ENGKAU TERIMA ?


Sesungguhnya Allah itu baik dan tidak menerima melainkan yang baik-baik sahaja. Ini adalah pelajaran penting yang kita petik tatkala meneliti kalam Nubuwwah yang dihimpun oleh al-Imam An-Nawawi dalam himpunan hadis Arbainnya. Sabda Rasulullah SAW;

إِنَّ اللهَ طَيِّبٌ لاَ يَقْبَلُ إِلاَّ طَيِّباً
“Sesungguhnya Allah Ta’ala itu baik (thayyib), tidak menerima kecuali yang baik (thayyib)..”



Hadis ini masih panjang namun kita memetik sekadar melengkapkan pelajaran di pusingan ini. Para hamba-Nya yang memahami dengan mendalam ungkapan hadis di atas pasti tidak senang duduk memikirkan amal-amal yang telah kita lakukan di hari-hari semalam. Adakah yang terbaik dan diterima oleh Allah SWT? Satu muhasabah yang menginsafkan. Sudikah Allah SWT menerima amal-amal kita yang penuh sambil lewa, acuh tak acuh dan penuh ketidaksempurnaan itu?
Tambahan pula, ada ayat Qur’an yang menggerunkan berkenaan hal ini;


وَقَدِمۡنَآ إِلَىٰ مَا عَمِلُواْ مِنۡ عَمَلٖ فَجَعَلۡنَٰهُ هَبَآءٗ مَّنثُورًا
Dan Kami tujukan perbicaraan kepada apa yang mereka telah kerjakan dari jenis amal (yang mereka pandang baik), lalu Kami jadikan dia terbuang sebagai debu yang berterbangan.
Surah Al-Furqan, Ayat 23

Subhanallah, di hari kiamat nanti ada jenis amal yang dipertontonkan oleh Allah SWT, yang dianggap baik oleh si pelaku di dunia. Malangnya, amal-amal itu tidak diterima oleh Allah. Sebaliknya, amal-amal itu menjadi debu berterbangan, lenyap begitu sahaja. Kita berlindung dengan Allah SWT agar tidak termasuk dalam golongan tersebut dan bermunajat semoga amal-amal kita baik yang lepas mahupun yang akan datang diterima oleh Allah SWT.

Namun hati mana yang tidak gusar setiap kali memikirkan penerimaan Allah SWT ini? Nah, di sini kita belajar sesuatu. Sekali lagi dari kisah Isteri Imran. Amalan dan pemberian Isteri Imran telah diisytiharkan oleh al-Qur’an bahawa ia diterima oleh Allah SWT. Bukan sahaja diterima, tetapi Allah menerima dengan penerimaan yang baik, Qobul Hasan! Masha Allah, luar biasa!


Firman Allah SWT;

فَتَقَبَّلَهَا رَبُّهَا بِقَبُولٍ حَسَنٖ وَأَنۢبَتَهَا نَبَاتًا حَسَنٗا وَكَفَّلَهَا زَكَرِيَّاۖ
Maka ia (Maryam yang dinazarkan oleh ibunya) diterima oleh Tuhannya dengan penerimaan yang baik, dan dibesarkannya dengan didikan yang baik, serta diserahkannya untuk dipelihara oleh Nabi Zakaria...”
Surah Ali Imran, Ayat 37

Alangkah cemburunya kita kepada Isteri Imran tatkala pemberian, nazar dan amalnya itu telah mendapat ruang khusus dalam ayat Qur’an dan diumumkan dengan terang-terangan bahawa Allah telah menerimanya. Memang wajar! Sungguh berbaloi nazar dan pemberian sedemikian sekiranya mendapat jaminan penerimaan daripada Rabbul Izzati, pemilik Alam ini.

Namun adakah Isteri Maryam tahu berkenaan hal ini, penerimaan dan jaminan ini? Pada amatan kita, tidak. Dia tidak tahu. Allah SWT menceritakan hal ini di kemudian hari, dalam ayat-ayat-Nya supaya kita yang membaca ini tahu dan mengambil teladan. Baik kita mahupun sesiapun tidak tahu, adakah amal-amal kita diterima oleh Allah SWT. Sama ada Allah terima atau tidak, hal ini kekal rahsia dengan hikmah tersendiri. Antaranya, supaya jiwa para hamba sentiasa cemas dan mencuba untuk memberikan yang terbaik dalam setiap amalnya.

Namun sekurang-kurangnya di hadapan kita, ada kisah dan cerita peribadi-peribadi yang telah berbuat dan amalan mereka mendaki ke langit dengan penuh bergaya lalu diterima oleh Allah SWT. Inilah dia wanita dambaan al-Qur’an yang mengajarkan kita bagaimana mempersembahkan amal yang terbaik sehingga diterima oleh Allah SWT.

Ada lagi pelajaran lain yang boleh kita cerna dari saki-baki ayat di atas. Mari kita perhatikan sekali lagi;

فَتَقَبَّلَهَا رَبُّهَا بِقَبُولٍ حَسَنٖ وَأَنۢبَتَهَا نَبَاتًا حَسَنٗا وَكَفَّلَهَا زَكَرِيَّاۖ
Maka ia (Maryam yang dinazarkan oleh ibunya) diterima oleh Tuhannya dengan penerimaan yang baik, dan dibesarkannya dengan didikan yang baik, serta diserahkannya untuk dipelihara oleh Nabi Zakaria...”
Surah Ali Imran, Ayat 37

Setelah al-Qur’an mengumumkan bahawa nazar itu diterima dengan penerimaan yang baik, di sana ada implikasi atau kesan yang boleh kita amati apabila amal, hasrat atau nazar itu diterima. Iaitu bagaimana Allah telah menyiapkan asbab-asbab supaya impian dan nazar Isteri Imran untuk menjadi realiti. Sekurang-kurangnya, dua asbab dapat kita keluarkan;

1) Allah menyiapkan bayi Maryam untuk tumbuh besar dalam suasana  dan perwatakan yang baik.
2) Allah menyerahkan penjagaan Maryam ini dibawah jagaan dan peliharaan Nabi Zakariya

Kita akan lihat satu persatu bagaimana asbab-asbab ini menatijahkan nazar dengan takdir dan izin Allah SWT.

Pertama, Maryam telah tumbuh dan membesar dengan baik. Ini dapat kita simpulkan melalui frasa وَأَنۢبَتَهَا نَبَاتًا حَسَنٗا. Daripada ungkapan ini juga, ada 2 pelajaran lain yang kami ingin kongsi.

1) Perkataan وَأَنۢبَتَهَا lebih tepat diterjemahkan “..dan ditumbuhkan dia..” kerana perkataan nabat sering dikaitkan dengan pertumbuhan tanaman seperti yang digunakan dalam banyak tempat dalam al-Qur’an. antaranya,

وَٱللَّهُ أَنۢبَتَكُم مِّنَ ٱلۡأَرۡضِ نَبَاتٗا
"Dan Allah telah menumbuhkan kamu (hidup dari benda-benda yang berasal) dari bumi, dengan pertumbuhan yang sungguh-sungguh sempurna,
Surah Nuh, Ayat 17

Penggunaan perkataan ini memberi gambaran bahawa Bayi Maryam ini telah dipastikan untuk tumbuh dengan baik sejak kecil, seperti tanaman-tanaman yang tumbuh segar dan luar biasa khasiatnya. Nah, untuk satu tumbuhan itu tumbuh dengan baik, ada dua faktor utama yang menentukan, iaitu kondisi luaran yang dia dterima seperti keadaan tanah, air, cahaya matahari etc, dan juga kondisi benih itu sendiri. Jika benih itu bukan dari baka yang baik dan tidak terkumpul padanya genetik-genetik yang membawa khasiat, tidak ada gunanya suasana pertanian yang hebat.

Jadi sebenarnya, tumbesaran Maryam yang baik itu telah dipastikan daripada kedua-dua aspek ini. Dia tumbuh dalam suasana penuh solehah dan Maryam sendiri telah mewarisi perwatakan-perwatakan yang luar biasa dari Sang Ibu dan Ayah. Jadi para ibu dan ayah, kemunculan anak yang luar biasa manfaatnya bermula di peringkat Ibu Bapa lagi!

2) Seterusnya, perhatikan lagi pada ungkapan وَأَنۢبَتَهَا نَبَاتًا حَسَنٗا yang bermaksud dan dibesarkannya dengan pembesaran/pertumbuhan yang baik. Frasa ini sangat unik kerana menghimpunkan kata kerja dan kata nama. Dalam bahasa Arab, teknik ungkapan ini disebut sebagia maf’ul mutlaq, iaitu secara mudahnya, apabila dalam satu ayat, perbuatan atau kata kerja kemudian disusuli dengan kata nama.

Ungkapan ini dalam bahasa Arab digunakan antaranya bertujuan untuk memberi penekanan dan pendetailan kepada kata kerja atau perbuatan tadi. Dalam ayat di atas, sudah memadai Allah menyebut “dibesarkannya”. Tetapi tidak cukup, ditegaskan bahawa Maryam telah dibesarkan dengan pembesaran/pertumbuhan yang hasanan. Masha Allah, besarnya perhatian Allah SWT dalam memastikan nazar Isteri Imran ini menjadi kenyataan!

Asbab kedua yang dipersiapkan oleh Allah SWT untuk takdir yang ditentukan buat Bayi Perempuan ini ialah, beliau telah dijaga dan dipelihara oleh Nabi Zakariya yang mempunyai hubungan kekeluargaan dengan ibu dan ayahnya. Sebenarnya pada penggunaan perkataan kafalah itu sendiri mempunyai maksud yang tersendiri dan lebih memukau, namun cukuplah kita bawa kesimpulan bahawa Allah SWT telah menerima nazar Isteri Imran ini dan mengadakan baginya asbab-asbab supaya nazar dan hasrat yang baik itu menjadi realiti.

Saudaraku,

Tidak keterlaluan jika di penghujung pelajaran dari Isteri Imran ini, kita temukan satu kaedah dalam memahami al-Qur’an. Iaitu, petanda apabila Allah telah menerima amal, nazar dan hasrat murni kita itu, Allah akan mudahkan dan persiapkan jalan-jalannya!

Maka marilah kita memasang impian yang tinggi mengunung untuk islam ini, berusahan dan beramal ke arah itu. Mudah-mudahan tumuhat itu diterima oleh Allah SWT dan dipersiapkan jalan-jalannya, amin.


Tamatlah pusingan pelajaran dari Wanita al-Qur’an yang bernama Hannah ini.



Petikan dari buku : Wanita yang diabadikan Dalam Qur'an
Bakal terbit

No comments: