Ada satu doa yang diajarkan kita oleh mashaikh dakwah untuk diulang baca iaitu,
اللهم استخدمنا ولا تستبدلنا
"Ya Allah jadikan kami orang berkhidmat & janganlah kau gantikan kami (dengan yang lain)"
Ini kerana peluang dan kesempatan berkhidmat untuk Islam merupakan satu bentuk kemuliaan dan penghargaan dari sisi Allah swt.
Kadang-kadang lafaz استخدمنا digantikan dengan lafaz استعملنا yang bawa makna yang hampir sama iaitu jadikan kami beramal.
Kesempatan beramal adalah tanda Allah inginkan kebaikan bagi kita. Ini seperti sabda ar-Rasul yang diriwayatkan oleh Anas bin Malik ra;
عَنْ أَنَسٍ، قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم " إِذَا أَرَادَ اللَّهُ بِعَبْدٍ خَيْرًا اسْتَعْمَلَهُ " . فَقِيلَ كَيْفَ يَسْتَعْمِلُهُ يَا رَسُولَ اللَّهِ قَالَ " يُوَفِّقُهُ لِعَمَلٍ صَالِحٍ قَبْلَ الْمَوْتِ " . قَالَ أَبُو عِيسَى هَذَا حَدِيثٌ حَسَنٌ صَحِيحٌ .
"Apabila Allah menginginkan bagi seorang hamba kebaikan, Allah jadikan dia beramal"
Kemudian baginda ditanya, bagaimana dia dijadikan beramal?
Sahut Rasulullah, "Diberikan taufiq baginya untuk melakukan amal salih sebelum kematian (semasa dia hidup)"
Doa & hadis di atas sewajarnya menimbulkan rasa cinta untuk beramal dalam diri kita. Hilanglah kemalasan & alasan tatkala mendengar hadis ini. Siapakah yang tidak mahu termasuk dalam kalangan hamba yang Allah ingin kebaikan bagi dirinya? Jika tidak dengan hadis dan rangsangan seumpama ini, maka dengan peringatan mana lagikah yang akan menggerakkan kita?
Menyangkut lafaz لا تستبدلنا iaitu janganlah Engkau gantikan kami (dengan orang lain) pula selari dengan sunnahtullah alam ini.
Apabila satu kaum tidak mahu lagi beramal dan memberi Khidmat untuk islam, maka ia akan diganti dengan kaum yang lain.
Firman-Nya ;
وَإِن تَتَوَلَّوۡاْ يَسۡتَبۡدِلۡ قَوۡمًا غَيۡرَكُمۡ ثُمَّ لَا يَكُونُوٓاْ أَمۡثَٰلَكُم
.. Dan jika kamu berpaling Ia akan menggantikan kamu dengan kaum yang lain; setelah itu mereka tidak akan berkeadaan seperti kamu.
-Sura Muhammad, Ayah 38
Semoga Allah terus memilih kita untuk beramal soleh dan memberi khidmat untuk agama ini.
No comments:
Post a Comment