Kami telah mula mengikuti perkumpulan tarbiyah sejak tahun 2011 dan tahun 2021 genap 10 tahun kami bersama kumpulan tarbiyah, yang begitu kuat mendakap bahawa tidak ada cara lain untuk mengembalikan kegemilangan islam, melainkan dengan mengumpul semula para pemuda, mentarbiyah dan menyusun amal kita bersama.
Selain daripada genap 10 tahun bersama tarbiyah, tahun 2021 sangat istimewa buat kami secara peribadi. Dalam perkhidmatan awam (penjawat awam), mereka yang berkhidmat genap 10 tahun perkhidmatan akan diberikan kelayakan cuti rehat (annual leave) tambahan. Namun meniti 10 tahun bersama tarbiyah, ternyata Allah swt telah mengurniakan kami lebih daripada apa yang kami rancang, sangka dan harapkan. Jika berkesampatan, insya Allah akan kami coretkan kisah dan ibrah, semoga dapat kita fikir dan renungkan bersama.
Memasuki tahun 2022, semoga lebih banyak yang dapat kami kongsikan. Lebih-lebih lagi sekarang peserta-peserta tarbiyah terdiri daripada generasi baharu yang tidak lagi membaca dan merujuk bahan-bahan fikrah yang berat. Saban hari, adik-adik dihidangkan dengan permainan media sosial, bacaan kupasan isu yang membentuk pemikiran mereka entah ke mana.
Mungkin, saya katakan mungkin- kita perlu kembali menyiarkan lagi artikel pilihan, buah idea dan pemikiran untuk mereka juga baca. Mudah-mudahan!
Dalam satu sesi perkongsian bersama dengan sekumpulan pemuda tempoh hari, kami diminta bercerita tentang sejarah Ikhwan al-Muslimin, satu gerakan pelopor harakah islam yang telah meletakkan batu atas dan usul kepada amal islami dalam dunia islam moden. Sudah tentu berkongsi sesuatu yang kita hanya mampu baca, tidaklah sehebat berkongsi apa yang kita lalui dan rasa.
Di hujung sesi, pihak penganjur meminta kami memberikan sedikit pesanan. Dari kupasan sejarah yang panjang, merentasi generasi itu saya menasihati diri saya dan mereka semua yang juga rakan-rakan yang tidak banyak bezanya untuk terus erat memeluk jalan dakwah. Ini kerana, semakin jauh berjalan, kita telah merungkai banyak pengalaman, pengetahuan dan keberadaan kita makin mengesankan (mu'athirah). Kita bawa bersama kita secara akumulatif aset pengalaman yang tidak ada pada generasi baru. Jadi, jalan dakwah makin berhajat kepada kita untuk memuntahkan semula apa yang telah kita ambil dari jalan ini untuk diberikan kepada mereka yang baru bertemu muntalaq.
Semoga pesanan itu juga berjaya saya kotakan hingga akhir usia.
Sehingga ketemu lagi!
No comments:
Post a Comment