Allah SWT telah memberi ilham kepada ibu
Musa untuk menghanyutkan Musa yang masih bayi ke dalam sungai. Dari kemurahan Allah SWT, dilimpahkan
mahabbah kepada Musa as. Tidak ada mata yang memandang Musa melainkan akan
terpegun, jatuh cinta yang mendalam sekali untuk mengasihi dan menyayanginya di
usia bayi itu. Ini adalah tarikan mahabbah yang dikurniakan oleh Allah SWT
sebagaimana firman-Nya;
أَنِ ٱقۡذِفِيهِ فِي ٱلتَّابُوتِ فَٱقۡذِفِيهِ فِي ٱلۡيَمِّ فَلۡيُلۡقِهِ
ٱلۡيَمُّ بِٱلسَّاحِلِ يَأۡخُذۡهُ عَدُوّٞ لِّي وَعَدُوّٞ لَّهُۥۚ وَأَلۡقَيۡتُ عَلَيۡكَ
مَحَبَّةٗ مِّنِّي وَلِتُصۡنَعَ عَلَىٰ عَيۡنِيٓ
"Letakkanlah anakmu di dalam peti,
kemudian lepaskanlah peti itu ke laut, maka biarlah laut itu membawanya
terdampar ke pantai, supaya dipungut oleh musuhKu dan musuhnya; dan Aku telah
tanamkan dari kemurahanKu perasaan kasih sayang orang terhadapmu; dan supaya
engkau dibela dan dipelihara dengan pengawasanKu.
Surah Ta-Ha, Ayat 39
Rasa cinta yang mendalam terhadap bayi yang
ditemuinya iaitu Musa a.s dan iltizam yang kuat untuk mengambil dan
memeliharanya telah membuatkan Isteri Firaun yang dikenali Asiah ini mengumpul
segala kekuatan dan kelembutan untuk membujuk firaun supaya bersetuju dengan
keinginannya. Dengan takdir Allah, aura kelembutan seorang isteri dan iltizam
seorang perempuan bernama Asiah telah menundukkan Firaun yang bengis itu.
Mari kita perhatikan laras bahasa yang
tersusun rapi dan penuh berani oleh Imraah Firaun ini dalam ayat berikut;
وَقَالَتِ ٱمۡرَأَتُ فِرۡعَوۡنَ قُرَّتُ عَيۡنٖ لِّي وَلَكَۖ لَا تَقۡتُلُوهُ
عَسَىٰٓ أَن يَنفَعَنَآ أَوۡ نَتَّخِذَهُۥ وَلَدٗا وَهُمۡ لَا يَشۡعُرُونَ
Dan (ketika melihat kanak-kanak itu)
berkatalah isteri Firaun: "(Semoga ia menjadi) cahaya mata bagiku dan
bagimu; janganlah kamu membunuhnya; mudah-mudahan ia berguna kepada kita, atau
kita jadikan dia anak". Padahal mereka tidak menyedari (kesudahannya).
-Sura Al-Qasas, Ayah 9
Sungguh pandai sang perempuan bermain
dengan kata-kata sehingga memukau si suami. Kata Asiah;
"(Semoga ia menjadi) cahaya mata
bagiku dan bagimu..”
Dalam ayat ini Asiah bukan sahaja meluahkan
keinginan dan perasaannya, tetapi telah membawa bersama keinginannya itu
perasaan yang tersembunyi dalam jiwa Firaun. Frasa “bagimu..” merupakan hujah
manja yang tidak mampu ditolak oleh Firaun. Akhirnya firaun bersetuju.
Permainan kata-kata atau semantic game ini membuahkan hasil. Hebatnya wanita
al-Qur’an ini.
Wanita, jika keazaman dan keinginannya
telah kuat dan memuncak, dia akan menggunakan segenap upaya untuk mendapatkan
apa yang diingini dan dihajati. Memang tepat Allah SWT telah memilih Asiah
sebagai asbab terselamatnya Nabi Musa.
Keinginan yang kuat ini dalam bahasa Arab
disebut sebagai irodah qowiyah. Inilah yang kaum wanita patut pelajari dari
Asiah as. Asiah bukan pesis permaisuri biasa yang duduk bertenggek di
singgahsana dan menghabiskan wang Negara, tetapi telah menggunakan keinginan
dan kemahuan yang kuatnya itu untuk mengubah perjalanan sejarah manusia.
Sudah pasti sebelum itu semua, dia telah
didasari oleh keimanan yang kokoh. Jiwa yang sering bertawajjuh kepada Allah
akan memiliki hati yang lapang dan kental berjuang meskipun berhadapan dengan
makhluk sezalim firaun. Di istana firaun itu rupanya telah menjadi sarang
terbinanya iman yang mendalam kepada Allah SWT.
Pembaca budiman terutamanya buat wanita
muslimah yang ingin mengambil langsung teladan dari al-Qur’an, sesungguhnya ada
dua hal yang boleh dibawa pulang dari babak ini untuk kita terapkan.
Bahawa wanita itu mempunyai aura tersendiri
dan mampu mencenderungkan orang-orang di sekelilingnya selari dengan
kemahuannya. Jika si isteri solehah, nescaya mampu mendidik pasangan dengan
manja tetapi penuh adab untuk berubah menjadi soleh. Ibu yang penuh keimanan
mampu membisikkan pesanan-pesanan keimanan dan mendidik iman dalam peribadi
anak-anak. Sekiranya watak sedegil firaun pun mampu ditundukkan oleh suara
wanita, apalah sangat lelaki-lelaki yang hadir dalam hidup kalian, bukankah
jauh lebih mudah?
Meskipun wanita terutamanya setelah berumah
tangga sering kali dikaitkan dengan dapur, namun ia bukan tanggapan yang tepat
dan patut merendahkan peranan kalian. Di mana sahaja posisi seorang wanita itu,
ada peranan yang boleh dimainkan. Jika wanita seagung Asiah yang terpenjara di
istana mewah mampu berbuat sesuatu untuk agama ini, apatah lagi untuk kalian
akhowat muslimah di zaman serba moden ini. Ruang lingkup untuk menyumbang
terlalu luas sehingga tidak mampu diduga. Maka, bertebarlah menyampaikan
risalah cinta ini.
Buku : Wanita yang diabadikan dalam al-Qur'an
1 comment:
Rasanya buku wanita yang diabadikan dalam alQuran ni boleh masuk list. Terima kasih kerana masih tetap menulis dan berkongsi.
Post a Comment