Monday, April 18, 2016

KISAH CINTA TERHANGAT DARI LANGIT





Kali terakhir Rasulullah saw bertemu dengan Allah swt adalah sepuluh tahun yang lalu. 10 tahun jarak waktu sehingga baginda saw tiba kepada saat yang dinanti nanti oleh seorang kekasih, yakni untuk bertemu kekasih tertinggi buat selama lamanya. Sehingga terpacul keluar dari lisan baginda di detik kematiannya

"Pertemukan daku dengan rafiq al-a'la..."

Hal ini kita petik dari kalam Sheikh Sofiyurrahman al-Mubarakfuri.

 
10 tahun yang begitu lama dan melelahkan. Baginda menanggung perasan rindu yang akhirnya tidak tertahan lagi. 10 tahun yang penuh dengan suka duka. 10 tahun yang penuh dengan kisah perang, politik, fitnah sosial, kelicikan Yahudi, korupsi akhlak ahli kitab, gelagat al-'arab dan ragam manusia yang pelbagai. 10 tahun lamanya baginda harus berpegang dengan kalimah;

"Fastaqim kama umirta.... "

10 tahun lamanya.

Dan akhirnya bila ditanya sama ada untuk terus menetap di dunia atau memilih bertemu Rabbul izati maka baginda memilih untuk kembali ke pangkuan kekasih yang dirindui, memilih untuk bertemu Allah swt, bukan kerana penat dan lelahnya dunia ini, tetapi kerinduan itu tidak tertahan lagi.

 
Allah adalah khalil baginda. Teman atau kekasih yang tidak boleh dikongsi posisinya. Yang mempunyai kedudukan istimewa. Mengalahkan kedudukan Abu Bakar as-siddik r.a. Sebagaimana sabda baginda seperti yang diriwayatkan oleh ibnu Abbas:


”Andai saja aku dibolehkan mengambil Khalil (kekasih) selain Allah pasti aku akan memilih Abu bakar sebagai khalil namun dia adalah saudaraku dansahabatku.”



Maka wajarlah tidak tertahan lagi sang Nabi penutup risalah untuk kembali bertemu dengan khalilnya.

Inilah kisah cinta yang terhangat antara seorang Rasul dengan Tuhan sekalian alam, pemilik langit dan bumi dan apa yang ada antaranya. Kisah cinta yang paling hebat dalam sejarah kemanusiaan. Allah adalah kekasih tertinggi, motivasi, harapan, kecintaan dan kerinduan.

Lama sebelum kisah Rasulullah saw, al-Quran telah menghidangkan kepada kita kisah cinta yang juga hangat antara seorang hamba dengan tuannya, Allah swt.

Imratul Firaun.

Atau Asiah, siapa yang tak pernah dengar akan kisah hidup beliau. Seorang wanita muslimah yang menduduki takhta permaisuri sebuah kerajaan yang zalim. Tetapi beliau tidak mempunyai banyak pilihan dalam banyak kesempatan. Dalam suasana yang begitu menghimpit jiwa, akidahnya dipertahankan dan sosok ini mengubah sejarah hidup nabi Allah, Musa as.

Ternyata tiada siapa dalam abad ini mampu menandingi iman, perjuangan dan istiqomahnya wanita ini.

Tetapi kecintaan kepada Allah swt menjadi motivasi untuk terus hidup dalam akidah yang sejahtera. Meskipun terpaksa melihat kezaliman bermaharajalela di depan matanya. Beliau tabahkan diri memelihara iman dalam dada. Jika dunia tidak disusuli akhirat yang jauh lebih adil dan tepat perhitungannya, sudah pasti Asiah boleh membolot kesemua nikmatnya.

 
Namun alangkah indahnya hidup dipandu iman. Akhirat adalah tujuan akhir. Kehidupan yang lebih kekal. Bebas dan merdeka. Beliau korbankan kesenangan kesenangan di hadapan matanya sebaliknya mengharapkan ganjaran di syurga nanti.

Wajarlah beliau berdoa kepada Allah swt,


وَضَرَبَ اللَّهُ مَثَلًا لِلَّذِينَ آمَنُوا امْرَأَتَ فِرْعَوْنَ إِذْ قَالَتْ رَبِّ ابْنِ لِي عِنْدَكَ بَيْتًا فِي الْجَنَّةِ وَنَجِّنِي مِنْ فِرْعَوْنَ وَعَمَلِهِ وَنَجِّنِي مِنَ الْقَوْمِ الظَّالِمِينَ


Dan Allah membuat isteri Fir'aun perumpamaan bagi orang-orang yang beriman, ketika ia berkata:

 "Ya Rabbku, bangunkanlah untukku sebuah rumah di sisi-Mu dalam firdaus, dan selamatkanlah aku dari Fir'aun dan perbuatannya, dan selamatkanlah aku dari kaum yang zhalim.


Subhanallah.

Kisah cinta yang hangat.

Saudaraku,

Dua kisah cinta yang hangat ini adalah bekal untuk orang orang beriman yang datang kemudian sehingga kini, untuk menjadikan Allah sebagai tujuan akhir. Ghayatuna. Untuk sentiasa mengharapkan cinta daripada Allah swt. Sehingga kan kelelahan berdakwah, kepenatan beribadah, sakitnya difitnah kerana agama, dan pelbagai bentuk kepahitan yang dialami atas jalan agama ini tidak terasa. Sebaliknya yang mereka nampak adalah Allah, semata-mata.


Jika kita berasa kering ketahuilah hanya Allah swt yang dapat memulihhara hati yang kekontangan itu. Jika kita berasa kosong maka ketahuilah hanya Allah swt yang dapat mengisi kekosongan itu. Jika kita berasa tidak bermaya lagi dengan gerak-gerak ibadah yang dilakukan, tidak berasa hidup dengan zikir-zikir yang dihamburkan oleh lisan kita, atau sujud-sujud di sepertiga malam seakan-akan  tidak membawa sebarang makna, ketahuilah bahawa berhenti daripada sujud dan rukuk, berhenti daripada zikir mahupun berdakwah bukanlah solusinya.


Akan tetapi kembalilah kepada pemilik pusaka, segala apa yang ada di langit dan di bumi. Mari jadikan Allah sebagai kekasih, kerinduan untuk bertemu tidak lama lagi. Anggaplah kematian sebagai langkah pertama bertemu Allah swt. Persiapakan diri, perkemas amal dan maju bersama keseimbangan antara ibadah dan dakwah. Jadikanlah kisah cinta yang terhangat dari  langit ini bekal motivasi untuk terus melaju.

Kita sentiasa bersama dalam hal ini.

1 comment:

Nadiah said...

Ya terkadang terlalu jauh kita pergi mencari penawar, jauh berjalan sedang, hakikat sebenarnya yang kita perlu adalah kembali kepada Pencipta segala yang paling dekat dengan kita, yang tak pernah meninggalkan kita, tapi kita sering terlupa.

Moga Allah ampunkan kita.