Friday, February 27, 2015

USRAH KERING


Photo By AZ

Dan bacakanlah kepada mereka (wahai Muhammad), khabar berita orang yang kami beri kepadanya (pengetahuan mengenai) ayat-ayat Kami lalu ia melepaskan dirinya dari nya (ayat-ayat), lalu ia diikuti oleh Syaitan lalu termasuklah dalam kalangan orang-orang yang sesat.
(Al ‘Araf :175)


Dalam ayat di atas, Allah sedang menceritakan tentang segolongan hamba yang sangat berilmu, sebab apa? Sebab telah didatangkan kepada mereka ini ayat-ayat Allah.

‘Ayatina’ atau ayat-ayat Kami, merupakan perkataan Bahasa Arab yang membawa maksud tanda-tanda Kami, tanda-tanda Allah swt. Tanda-tanda Allah swt boleh dibahagikan kepada dua, iaitu tanda-tanda daripada Al Quran dan tanda-tanda kebesaran Allah pada cipataanNya yang lain, sama ada pada alam buana, matahari, bulan, pergantian siang dan malam, kosmos dan segala macam lagi.


Kemudian lebih daripada itu, seolah olah Allah sendiri yang mengajar dan menjadi murabbi kepada mereka ini, kerana menggunakan perkataan ‘ataina’ yakni ‘Kami berikan’. Begitulah, betapa maha dahsyat nya dapat kita jangkakan proses tarbiyah yang diterima oleh golongan yang dimaksudkan ini sehingga tidak dapat disangkal lagi ilmu, dan taujih tarbawi yang diterimanya.

Lantas apa pula yang dia lakukan?

Fansalakho!


Golongan tersebut melepaskan diri daripada ayat-ayat tersebut. Perkataan ‘fansalakho’ mengikut Bahasa Arabnya ialah seperti ular yang bersalin kulit, yang melepaskan kulit lamanya perlahan-lahan lantas terus mendapat kulit baharu. Malang sekali mereka yang diberikan segala aneka ilmu ini, memilih untuk detach daripada ayat-ayat Allah, daripada kebenaran yang sampai kepada mereka.


Kemudian apa yang berlaku?

Syaitan mengikuti mereka, terus. Tanpa lengah tatkala Allah menghubungkan perkataan-perkataan ini dengan huruf penyambung ‘fa’. Seolah-olah sebaik-baik sahaja mereka meninggalkan atau detach daripada ayat ayat Allah, terus sahaja mereka diikuti Syaitan dan termasuk dalam kalangan orang-orang yang sesat. Bagaimana mungkin orang yang begitu rupa tahap keilmuannya boleh sesat?


Kerana melepaskan diri daripada ayat ayat Allah. Ketahuilah bahawa ayat ayat Allah merupakan pelindung kepada kita semua. Tatkala kita meninggalkannya, terus kita ini termasuk golongan yang sesat. Tanpa kita sedari. Ya tanpa kita sedari!

Untuk siapakah ayat ini?


Ya. Untuk mereka yang bersama usaha dakwah dan tarbiyah. Untuk mereka yang membaca dan mempelajari al Quran. Untuk mereka yang telah terlebih dahulu attached dengan ayat-ayat Allah. Untuk mereka yang sudah bersama gerabak dakwah dan tarbiyah, yang kemudiannya berkira-kira untuk detach, melepaskan diri daripada semua ini.

Ikhwati fillah,

Begitulah kadang-kadang sampai satu peringkat, kita berasa halaqah kita tidak lagi basah seperti waktu kita awal awal beriman dengannya. Kadang-kadang kita merungut murabbi kita tidak pandai menyampaikan bahan. Kita rasa bosan dengan teman teman sehalaqah yang tidak habis habis dengan masalah peribadi mereka.

Sehingga kita merunggut dan berkira-kira untuk meninggalkan sahaja semua benda ini;


“Akhi, usrah ana bosan la...”

“Murabbi ana ni kering la..tak masuk la ana”

“Ana rasa dah tak releven usrah ni..”

“Tak nak la ana bersama usrah yang baru ni, murabbi pun tergagap-gagap. Tak pandai membina la ana nampak..’

“Dua jam ana tengok video Ust Azhar lebih terisi la daripada buang masa dalam halaqah...”

“Ana rasa cukup nak tambah thaqafah dengan kuliah Doc Maza ke, Ust Nouman Ali Khan ke, dalam halaqah tak dapat pun semua itu..”


Dan banyak lagi la rungutan rungutan yang lain.


Bertenanglah sebentar duhai duat, dan perhatikan balik ayat yang kita renungkan tadi. Betulkah halaqah yang patut disalahkan? Betulkah kegagalan murabbi itu yang menjadi asbab perasaan perasaan gelisah dan tidak aman itu hadir? Sedangkan Allah swt telah datangkan kepada kita berita, orang yang telah didatangkan kepada mereka segala jenis pengisian, bahkan didatangkan secara terus daripada Allah swt, tetapi tetap memilih untuk fansalakho.


Jadi mungkin kita sebenarnya yang bermasalah. Jika kita memilih untuk ‘detach’, maka kita akan ‘detach’. Ketahuilah, memilih untuk ‘detach’ bermakan kita lantas akan diikuti syaitan dan termasuk orang-orang yang sesat. Perkara ini bahkan benar benar berlaku.

Betapa ramai alumni halaqah yang kecewa dan meninggalkan gerabak tarbiyah dan dakwah ini hidup mereka sedikit demi sedikit kembali seperti tidak pernah mendapat sentuhan tarbiyah. Qiyamulailnya entah ke mana. Quranya makin berkurang saban hari. Pergaulan lelaki dan perempuannya makin kencang, makin galak. Tanpa dia sedari. Sedikit demi sedikit, perlahan-lahan proses penyesatan itu berlaku. Sebagaimana perlahannya ular bersalin kulit.


Begitulah juga sebenarnya pengalaman kami berkenalan dengan al akh yang telah pun memilih untuk fansalakho daripada usrah. Tanpa dia sedari dia mula-mula berubah. Rumahnya mula didendangkan dengan lagu lagu berat berunsur hiburan melampau. MP3 nya dipenuhi dengan lagu lagu cinta versi Korea mahupun Barat. Dia mula melazimi movies yang jauh menyimpang dari syariah. Dengan Xbox nya. Dengan auratnya yang mula terbuka di sini dan di sana.

Allahu.

Benar sekali. Langsung tidak kita nafikan, ada juga kegagalan itu datang dari sisi sisi murabbi, mahupun rakan halaqah yang tidak membantu kita. Ada juga yang harus mereka renungkan bersama di mana silapnya. Namun, jika benar kita ikhlas, cukuplah merunggut. Bantulah untuk basahkan kembali halaqah itu. Hidupkan ia!

Sekali lagi benar sekali. Langsung tidak dapat dinafikan boleh jadi dua jam menonton Ust Nouman Ali Khan, Doc Maza, Ust Azhar Idrus mahupun apa jenis alternatif ceramah ilmiah yang lain jauh dapat mengisi kekurangan ilmu kita berbanding dua jam bersama halaqah. Tetapi jika kita faham akan tujuan halaqah, pasti kita tidak membuat perbandingan yang tidak wajar itu. Misi halaqah jauh lebih besar. Dan ada banyak lagi sisi lain yang halaqah tawarkan tetapi tidak mampu ditawarkan oleh kuliah kuliah agama itu.


Mari fikirkan kembali. Renungkan sejenak, bagaimana kita bermula. Bagaimana tarbiyah telah mengubah kita sehingga ke tahap ini. Daripada jahil, kita mula tahu tentang agama. Interaksi kita dengan al Quran mula hidup. Kita mula rasa lazatnya beribadah. Tiba-tiba sahaja, setelah habis madu itu kita nikmati, dibuang sepahnya!


Tanyalah diri kita berkali-kali akhi,

Benarkah usrah kering?
Atau hati kita yang kering?

Thursday, February 26, 2015

DUA DARJAT




Tadabbur lagi.




Insya Allah kali ini penulis ingin mengajak pembaca menelusuri beberapa frasa ayat Quran yang insya Allah dapat membantu kita semua, memaknai dan menghargai mukjizat yang paling agung di tangan kita itu.


Allah swt dalam al Quran menyeru golongan hambanya dalam dua bentuk atau redaksi, yakni dengan ayat fiiliyah (atau ayat kata kerja/ tense) dan kadangkala dengan ayat ismiyyah (atau ayat kata nama/ nouns). Apakah signifikannya?

Sebagai contoh,


Kadang-kadang ada ayat yang berbunyi “Ya ayyuhaladzi na aamanu..” dalam bentuk kata kerja, dan di waktu lain seruannya berbunyi “..Innamal mu’minun…” yang menggunakan kata nama al Mu’minun. Kedua-duanya menyeru hamba Allah dan dikaitkan dengan Iman. Tetapi adakah target dan fungsinya sama?


Ringkasnya, kita boleh katakan seruan ini datang dalam bentuk kata kerja dan kata nama. Apakah yang menarik tentang perbezaan ini?

Kata kerja, atau tense adalah time-dependent. Ia bergantung kepada latar masa. Apabila kita menyeru sesuatu dengan redaksi kata kerja, ia sama ada sekarang, yang lepas atau akan datang. Sebagaimana dalam bahasa Inggeris kita belajar present, past and future tense.


Bermaknanya orang yang diseru itu tidaklah konsisten dengan ciri yang dinisbahkan kepadanya. Sebagai contoh, seruan “aladzi na aamanu” yang datang dalam bentu kata kerja sedang merujuk kepada orang yang sedang beriman, atau yang sedang mengusahakan iman mereka. Mereka ini belum lagi konsisten imannya. Mungkin sekarang sedang beriman, tetapi belum tentu masa depan mereka dalam iman.


Sebab itu kadang-kala kita dapati seruan seruan ini diikuti pula dengan pengajaran dan teguran teguran ikhlas daripada ayat Quran. Seolah-olah orang yang sedang beriman yang diseru itu memang benar benar masih dalam struggle mengusahakan iman masing-masing. Err faham ke?


Bagaimana pula dengan kata nama?

Memanggil satu entity dengan seruan kata nama sebenarnya satu labelan. Biasanya kita akan melabel atau memberi gelaran kepada seseorang sesuai dengan ciri ciri yang signifikan dan menonjol padanya. Sebagai contoh, orang yang gila bola, hari hari bangun malam tengok match bola, hari hari pakai baju jersey team bola yang diminatinya, kita panggil mereka kaki bola. Kalau setakat tengok bola setahun sekali, tidak releven la panggilan atau gelaran kaki bola ini.


Begitulah dalam Quran, apabila Allah menisbahkan hamba-hambanya dengan panggilan kata nama seperti mu’minun, atau muttaqin, atau munafiquun, atau kafiruun, Allah swt sedang melabel mereka ini, sesuai dengan ciri-ciri yang ada pada mereka. Maknanya, orang yang diseru Allah swt dengan gelaran ini, ciri tersebut konsisten dan menonjol pada mereka.


Sebagai contoh,

Firman Allah swt dalam ayat satu surah Mu’minun;

“Qod aflahal mu’minun…”

(Sesungguhnya telah berjaya golongan mu’min)


Allah tidak menghadirkan ayat ini dalam bentuk kata kerja seperti “qod aflahal ladzi na amanu”. Apa yang dapat kita pelajari?

Yang benar benar berjaya bukan sekadar orang yang sedang berusaha untuk beriman atau yang sedang membina iman mereka, tetapi telah berjaya orang yang konsisten dengan iman mereka, orang yang tertonjol jelas iman mereka, orang yang signifikan keimanan pada diri mereka, tiada ada campur tangan ciri ciri yang boleh menindakkan keimanan pada mereka.

Begitulah signifikannya kedua kedua seruan ini.

Lagi menarik, apabila Allah swt sendiri yang memberi labelan ini, pastilah ia satu labelan yang valid. Bukan seperti manusia yang melabel yang kadang-kadang mengikut nafsu dan emosi.

Sebagai contoh labelan labelan seperti “pendatang!”, “rasis!”, “munafik!” dan banyak lagi label lain yang diberikan oleh manusia kepada manusia yang lain merupakan labelan yang mungkin tidak valid. Itu semua assumsi yang terbatas, sekadar apa yang terhidang di hadapan kedua tangan kita. Oleh itu, janganlah kita melibatkan diri dengan aktiviti melabel yang tidak sihat ini. Eh.


Begitulah contoh dan asas kepada tadabur kita hari ini. Maka, mari kita melihat beberapa ayat Quran dan applikasikan keterangan ini untuk lebih menjiwai maksud maksud al Quran insya Allah.


Cuba sama-sama kita lihat pada ayat berikut, dapatkan mushaf Quran atau Quran android beserta terjemahan di tangan anda dan hayati kisah dalam ayat ini;

As Saffaat 40-61

Sudahkah anda membacanya ?


Secara khulasahnya dapat kita simpulkan bahawa diceritakan scene dalam syurga yang mana seorang hamba Allah yang telah menjadi ahli Syurga sedang ‘lepak-lepak’dengan kawan se Syurganya yang lain sambil mengenangkan kawan rapatnya di dunia dahulu.

Kawan rapatnya itu malangnya tidak bersama dia, kerana tidak beriman dengan apa yang dia dakwahkan, apa yang dia imani. Mungkin kawan rapatnya ini pernah diajak berhalaqah tetapi menolak, mungkin juga pernah diajak untuk turun solat berjemaah tetapi enggan. Kawan baiknya di dunia itu hampir sahaja mencelakan dirinya. Alhamdulillha dengan rahmat Allah dia selamat daripada kecelakaan itu.


Di akhir cerita Allah menyimpulkan bahawa kenikmatan kenikmatan berupa ganjaran yang tidak terperi itu hanya diganjarai oleh mereka yang all out dalam amalnya.

Lihat pada ayat 61, frasanya berbunyi;

“…Falya’mal ‘amiliin…”

Yang menariknya, ‘amiliin merupakan kata nama atau labelan bagi orang yang sudah konsisten beramal. Orang yang sudah tertonjol dengan beraneka jenis amalnya. Tetapi kelihatannya konsisten sahaja tidak cukup. Bahkan Allah swt menyuruh amiliin ini beramal lagi, untuk all out beramal.

Inilah yang kita dapati apabila sedikit sebanyak melihat kaedah kaedah bahasa Arab digunakan untuk mempersembahkan ayat ayat Quran ini!

Saudaraku, apakah yang penting sangat untuk kita mengetahui semua ini? Tidak lain untuk kita menilai dan memuhasabah diri dan iman kita. Lihatlah dalam Quran, bagaimana Allah sifati orang mu’minin yang hadir dalam betuk kata nama, al mu’miinin. Siapakah mereka yang sebenarnya?

Lihatlah pada ayat ayat ini antaranya;


Al Anfal :2
Al Hujurat : 10
Al Hujurat :15

Kita akan terduduk dan bermuhasabah. Mungkin kita bukan lagi yang layak dilabel denagn gelaran itu.

Wallahu’alam.

Kering lagi?
Huhu

Photo By AZ 
Official Photographer for Inspector Saahab

Tuesday, February 17, 2015

TADABBUR #10




Sudah lama penulis tidak mengajak pembaca untuk sama-sama duduk beriman dan merenung penghayatan ataupun taddabur al Quran. Maka, marilah duduk bersama kami, kita beriman sejenak!




Tidak dapat dinafikan dalam kehidupan kita seharian ini tidak dapat lari daripada usaha usaha untuk mencari rezeki. Kebanyakan daripada kita meskipun bergelar duat bahkan memberikan resources (sumber) terbaik yang dia ada untuk mencari rezeki. Umpamanya, masa dan tenaga yang paling baik dalam seharian.

Mereka yang bekerja, mengorbankan hampir separuh waktu sehariannya yang terbaik, bersama energy yang cergas untuk dihabiskan di pejabat seputar usaha mencari rezeki. Mereka yang bergelar pelajar pula melakukan perkara yang sama. Berpagian pagian meninggalkan rumah masing-masing, membelah kesibukan kota menuju ke tempat belajar, dari pagi sampai petang. Apakah motivasi untuk belajar? Masa depan, kerjaya-rezeki lagi.


Sejauh manapun kita cuba mengatakan semua itu juga untuk dakwah, namun entah. Seakan ia satu kata-kata yang keluar untuk menghiburkan hati kita sendiri.

Buktinya  kadang-kadang tuntutan di medan belajar dan tempat kerja yang begitu mendambakan masa, tenaga dan buah fikir kita membuatkan kita berkira kira untuk memberikan sumber lebihan yang kita ada untuk dakwah. Kita berkira-kira untuk hadir ke halaqah, meluangkan masa untuk perbincangan perkembangan tarbiyah di malam hari, mengeluarkan sedikit infaq bulanan dan sebagainya. Terbukti kan?


Saudaraku,

Allah swt tidak pernah melarang kita untuk berusaha mencari rezeki. Mencari rezeki untuk meneruskan kelangsungan hidup bahkan satu ibadah yang insya Allah ada ganjaran nya di sisi Allah swt.

Namun mari kita renungkan sejenak, bagaimana Allah swt mempersembahkan seruan mencari rezeki dan seruan-seruan yang lain.


“Dialah yang menjadikan bumi itu mudah bagi kamu, maka berjalanlah di segala penjurunya dan makanlah sebahagian dari rezeki-Nya dan kepada-Nya lah kamu dibangkitkan”
(Al Mulk:15)


Dalam ayat di atas, kita dapati Allah swt menggunakan seruan berbunyi ‘famsyu’ dalam bahasa Arabnya, sebagai suruhan untuk para hambaNya menjelajahi bumi ini dan mencari rezeki. Famsyu bermaksud, ‘maka berjalanlah!’ Berjalan, masyi.


Ajakan kepada urusan dunia hanya sekadar arahan ‘berjalan’. Berjalan biasanya phase dan mode nya lebih perlahan dan tenang. Tidak perlu rushing. Tidak seperti berlari. Kita akan menghargai sifat perkataan ini jika kita lihat pula bagaimana seruan seruan yang berbentuk ukhrawi menggunakan perkataan yang lebih bertenaga, pantas, cepat dan bersegera.

Umpamanya, mari kita lihat ayat ayat berikut;

“Dan bersegeralah kamu kepada ampunan dari Tuhanmu dan kepada syurga yang luasnya seluas langit dan bumi yang disediakan untuk orang-orang yang bertaqwa”
(Ali Imran :133)


Atau mari kita lihat lagi;


“Berlomba-lombalah kamu kepada keampunan dari Tuhanmu dan syurga yang luasnya seluas langit dan bumi…”
(Al Hadid :21)


Dan banyak lagi ayat yang menggesa kita semua bersegera, berlumba-lumba dan berlari-lari kepada Allah. Perhatikan sahaja redaksi ayat ayat ini.

Apakah yang dapat kita simpulkan dengan pemerhatian yang marhaen dan terbatas ini?


Kita dapati betapa Allah swt sedang memberi hint kepada kita supaya bersegera melakukan kewajipan yang jauh lebih besar daripada mencari rezeki ini. Segera kembali mendapatkan keampunan dan tempat di syurgaNya. Bersegera juga mengajak orang lain kembali kepada Allah. Bersegera dalam mendatangi mad’u yang sangat ramai.


Bersegera bahkan berlumba lumba dalam  menjalankan amanah dakwah dan tarbiah kita. Begitulah terbezanya kedua dua jenis amalan yang baik ini. Antara usaha mencari rezeki dan melakukan kebaikan kebaikan lain.

Begitulah.


Janganlah kita yang membaca al Quran ini tertipu dengan dunia ini. Jangan kita terpedaya dengan bisikan bisikan syaitan yang sentiasa membuatkan kita rasa tidak cukup. Sehingga kita beraksi begitu perlahan di medan dakwah. Makin tinggi usia menginjak, makin kedepan pengalaman pergi, makin melekat pula kita pada dunia.

Selamat menjadikan renungan yang tidak seberapa ini sebagai titik permulaan untuk kita mentajarudkan diri kita kepada Islam. Mudah mudahan kita diberi kekuatan untuk mencelupkan keseluhuran diri dan hidup kita ini dengan sibghah Allah swt.

Saturday, February 7, 2015

SENTUHAN AL AKH #34




Jauh lah. Pada waktu yang tersisa di satu hujung minggu, kami mengadakan jaulah. Sebagaimana yang dirancang sejak sekian lama. Sekian lama sehingga banyak kali perancangan asalnya tertunda, kerana ada hal hal lain yang harus diawlakan. Namun, akhirnya kami berjaulah.

Sebagaimana kata seorang akh,

“Kita nak berjaulah ke mana?”

Dengan yakin akh yang lain menjawab,

“Kita ke Terengganu insya Allah!”

Lalu yang lain merespon.

“Serius la ke Terengganu?”

“Ya kami serius!. Ini adalah serius”

“Bila?”

“Esok insya Allah”

“Esok?!”


Begitulah ia bermula. Faiza azamta, fatawakal’alaLlah!



Jaulah adalah perkataan Arab yang bermaksud merantau atau lebih tepat diterjemah ke perkataan Inggeris yang bermaksud tour. Merantau dalam definisi tarbiyah nya bukan sekadar makan angin, cuci mata, habiskan wang membayar tol dan sebagainya. Bukan sekadar aktiviti berjemur di tepi pantai sambil memerhati makhluk Allah memberanakkan dosa, atau selfie beramai-ramai lalu terupdate di media media social. Mungkin selfie itu sebahagian daripada hiburannya.

Tetapi jaulah yang kami cuba sampaikan maksudnya antara lain merupakan aktiviti ukhuwah antara seorang akh dengan akh yang lain yang menjadi teman jaulahnya. Tanpa meninggalkan aktiviti utama iaitu sebagaimana maksud jaulah secara literal, berjalan-jalan.

Kali ini jaulah bukan sekedar berjalan-jalan, ada destinasi yang dituju dan ditarget sambil menziarahi ikhwah yang lain, yang sedang cuti dan ditakdirkan pula kami berjaulah tatkala musim tengkujuh di negeri Pantai Timur, maka Alhamdulillah sempat juga menjenguk al akh sekeluarga yang turut menjadi mangsa banjir.

Mujur sahaja kami turut tidak menjadi mangsa. Bahkan hampir! 


Beginilah jalan dakwah dan tarbiah, jika kita benar benar melaksanakannya. Tidak terikat dengan perbincangan teori dalam halaqah. Bukan juga sekadar mengendalikan pertemuan mingguan. Bahkan lebih daripada itu jika diterokai wasailnya. Lalu di mana harus kita kembali bermula?


Jaulah kali itu, kami benar benar ke Terengganu. Dari metropolitan Kuala Lumpur, signboard pertama yang menjadi petunjuk selepas Al Quran, ya, arahnya ke Kuantan! Lalu pada pagi yang bersahaja, usai sekeping dua biskut Hup Seng kegemaran ramai menjadi pembuka selera, kuda dakwah diperiksa sebaik baiknya, lantas bismillah dan jalan!


Destinasi pertama ke Jerantut. Kami mendatangi seorang mutarabi yang tatkala itu sedang liburan semester. Di sini, kita harus panjangkan ceritanya. Kerana ada kalam berharga daripada beliau buat kami dan kita semua.

Usai makan tengah hari, lauk ketam masak gulai kuning (kuahnya warna kuning, kami pun tidak tahu apakah nama lauknya itu, jadi kita anggap sahajalah masakannya ketam gulai kuning)  kami meluangkan sekelumit masa, duduk beriman sejenak di ruang tamu rumah. Rumahnya Alhamdulillah, nikmat kehidupan dunia.


Allah swt telah menghiburkan kami yang bertandan dari jauh ini, di satu hujung minggu yang bersahaja dengan mengurniakan kami mutarabbi yang basah hatinya, sehingga kebasahannya mengesani kami semasa duduk duduk beriman pada petang yang redup itu. Perkongsiannya ringkas, tetapi cukup untuk mengisi relung relung yang masih kosong dalam jiwa kami ini.

Tidak tergambar perasaan kami.


Beginilah di jalan dakwah, kita dapati tidak ada senioriti dalam iman, kerana Allah swt melalui kitab al Quran mengajarkan kita semua bahawa yang paling mulia di sisiNya adalah yang paling bertakwa. Bukan yang paling lama bersama tarbiyah. Atau bukan yang lebih dahulu lahir ke dunia. Bukan yang lebih dahulu memeluk Islam. Bukan yang paling banyak solatnya atau yang paling banyak hafalannya. Bukan. Bukan quantity amal. Sungguh praktikal dan adil pelajaran ini.


“So nak share apa kat kitorang ni? Huhu”

“Laa, tetamu la datang bawak pengisian”

“Give and take la. Tetamu datang bawak barokah insya Allah, kena la host pula bagi something. Supaya kami datang jauh bawak something ke rumah nanti insya Allah hehe”

“Ermmm… tak ada apa sangat pun. Mungkin sepotong ayat Quran je kot”

“Ok. Ayat mana?”

“An Nisa’, ayat 18. Kot. Cuba tengok”

Lalu salah seorang daripada kami membacanya dengan hati yang tertunduk insya Allah;


“Dan tidak taubat itu diterima Allah dari orang-orang yang mengerjakan kejahatan apabila datang ajal kepada seseorang di antara mereka, (barulah) ia mengatakan, ‘sesungguhnya saya bertaubat sekarang’. Dan tidak pula bagi orang-orang yang mati sedang mereka dalam kekafiran. Bagi orang-orang itu telah Kami sediakan siksa yang pedih”
(An Nisa:18)


Bertaubat segera mungkin. Sekarang. Jangan dilengahkan. Jangan ditunggu, selepas ini, selepas ini. Jangan ditunggu sehingga kalian sampai ke perengan perenggan terakhir, mari kita bertaubat sekarang. Ia pesanan yang kena untuk semua orang. Cukup kena, kepada sesiapa pun, pada bila mana pun.


Suasana senyap. Masing-masing cuba memahami ayat ini, dengan pemahaman yang baharu, lebih hidup segar dan bermaya. Memberi kehidupan. Reviving! Seolah-olah baru kali pertama menekuninya.

Entah mengapa ayat ini. Kami tidak melanjutkan pertanyaan. Kami membisikkan ke telinga sesama kami,

“Ada sesuatu yang Allah swt takdirkan untuk kita akhi!”

Alhamdulillah.


Hanya di jalan dakwah, kita temui pelajaran sebegini. Cereka jaulah kami tidak akan dilanjutkan untuk siri kali ini. Mungkin esok, atau lusa, atau pada hari hari lain yang mendatang. Mungkin sahaja ia berakhir di sini.

Apa apa pun, pelajaran kedua daripada jaulah kali ini, mari kita menjadi seorang yang bermanfaat kepada orang lain, hatta dalam diam kita. Meski dengan diam pun, mereka di sekeliling kita terkesan, terbangkit imannya.

Kerana dinukilkan oleh Sheikh kita Abu Ammar;

“Dikatakan, sesiapa yang tidak memberi apa apa pengajaran pada kamu bila engkau melihatnya ketahuilah bahawa dia sendiri tidak terdidik”

Pedih!

Lalu disambungnya,

“Siapa yang kamu tidak dapat hidu keharumannya dari jauh, ketahuilah bahawa dia tidak ada wangian dan tidak perlulah kamu bersusah payah cuba menghidu-hidunya!”


Bermakna sungguh pengalaman ini.
Disapa sentuhan al akh, meskipun di kala jaulah!