Thursday, April 16, 2015

WA UKHRA TUHIBBU NAHA





 “Nescaya Allah mengampuni dosa-dosamu dan memasukkan kamu ke dalam syurga yang mengalir di bawahnya sungai-sungai, dan ke tempat tinggal yang baik dalam syurga ‘Adn. Itulah kemenangan agung”
(As Saff :12)


Mereka yang ikhlas berjuang di jalan Allah, tidak ada yang mereka harapkan sebagai harapan yang tertinggi melainkan supaya pengorbanan dan perjuangan di dunia ini diganjari oleh Allah swt, dengan sebaik baik ganjaran. Manakah ganjaran yang lebih baik berbanding dimasukkan ke dalam syurga, yang mengalir di bawahnya sungai-sungai, tetap tinggal di situ tanpa resah dan gelisah? Sungguh syurga adalah cita-cita tertinggi seorang mujahid, mujahid fi sabilillah.

Itulah kemenangan yang agung!

Adapun begitu,


Quran tidak pernah menafikan bahkan mengiktiraf ganjaran ganjaran duniawi yang disukai oleh manusai berupa hasil perjuangan yang datang dari Allah swt, penguasaan terhadap bumi ini, kemenangan dan membebaskan diri daripada penindasan penindasan oleh mereka yang zalim. Al quran sebenarnya mengajarkan kita tentang matlamat menjayakan dakwah ini di muka bumi. Mari kita renungkan ayat seterusnya dalam surah yang sama ini;



“Dan kurnia lain yang kamu cintai, pertolongan dari Allah dan kemenangan yang dekat. Dan sampaikanlah  berita gembira kepada orang orang yang beriman”
(As Saaf:13)


Jika  ditelusuri sejenak sejarah dakwah ini, kita dapati Rasulullah saw sendiri tidak kurang kerapnya meletakkan matlamat duniawi dalam memotivasikan para sahabat baginda untuk lebih gigih bermujahadah. Contohnya peristiwa bersama Suraqah b Malik yang mana baginda menjanjikan Suraqah untuk dikurniakan gelang dari pemimpin Parsi suatu hari nanti sebagai tanda betapa yakin akan penguasaan Islam suatu hari nanti.


Selain itu, semasa peristiwa menggali parit dalam peperangan al Ahzab, Nabi saw diminta untuk memecahkan bongkah batu yang tidak mampu dileburkan oleh para sahabat. Baginda melakukannya lantas keluarlah percikan api. Pada percikan itu, baginda mendapat bayangan bahawa tentera Islam dapat menguasai beberapa kuasa besar ketika itu seperti Rome.


Jika orang yang tidak memahami konsep matlamat  dakwah di muka bumi ini, mereka barangkali sudah berkata, betapa ‘duniawi’ nya janji Nabi kita ini. Mereka mungkin juga telah  menyangka bahawa betapa ‘materialistik’ nya para Sahabat baginda saw. Padahal tanggapan dan sangkaan ini tidak benar dan meleset.


Orang yang berfikiran sedemikian sebenarnya belum memahami cita cita dan matlamat dakwah di muka bumi. Bukankah Allah swt telah berfirman;


“Dan ingatlah ketika telah berfirman Tuhanmu kepada para malaikat, sesungguhnya Aku ingin menjadikan di muka bumi khalifah...”
(Al Baqarah :30)


Dalam firman di atas, Allah swt bukan sahaja menceritakan tentang taklifan tugas khalifah, tetapi juga telah pun meletakkan sasaran dan matlamat dakwah di muka bumi ini. Yakni sehingga menjadi khalifah di muka bumi. Terlalu duniawi kah?


Tidak salah sebenarnya untuk kita berasa gembira, tertunggu tunggu dan teruja untuk melihat dakwah ini menguasai seluruh alam buana ini. Tidak salah menantikan hasil di dunia ini, melihat kita mengusai banyak tempat. Menantikan pertolongan Allah tiba dan banyak jajahan jajahan dakwah dibebaskan.


Di medan yang lebih kecil, kita bahkan perlu menyampaikan amanah dengan cita cita kita dapat menguasai hati hati mad’u kita sehingga mereka menerima dakwah ini. Perlu bercita cita menguasai medan amal masing-masing, sehingga di tempat di mana kita berada dan beraksi dakwi itu, tidak ada telinga yang tidak mendapat seruan dawah ini. Sehingga kemenangan dan pertolongan Allah itu sampai ke bumi di mana berpijaknya kaki kita. Baik di ipt kita, di kampung halaman atau di medan perusahaan masing-masing.

Kefahaman sebegini juga dapat menyedarkan al akh atau al ukt dalam kalangan kita yang sering beralasan;


“Ana dah cuba khie, hidayah itu milik Allah”

“Allah tak tengok hasil khie, usaha yang penting”

“Yang penting kita ikhlas khie..”

“Kita buat mana kita mampu jela, insya Allah diganjari juga…”


Tidak ada yang salah akan dialog dialog ini. Tetapi banyak yang diluahkan sebenarnya hanyalah ayat ayat melepaskan diri, supaya dapat kita lakukan dakwah ini sekadar melepaskan batuk di tangga. Kita tidak all out dalam dakwah, kemudian kita mencari justifikasi sendiri.

Sebab itu memahami tabiat dakwah dan matlamatnya di muka bumi ini sangat penting. Dengan matlamat yang jelas, kita tahu ke mana halatuju kita, bukan beramal sekadar untuk melepaskan diri daripada tanggungjawab. Tetapi untuk menyempurnakan cita cita dakwah yang sangat luhur ini.


Pertolongan Allah.
Kemenangan yang dekat
Dan sampaikan berita gembira kepada orang-orang beriman!


Namun begitu, perlu diperingatkan juga, setelah jajahan dakwah  kita kuasai, barisan kepimpinan masyarakat di tangan kita, setelah manusia berbondong bondong ingin bersama kita, setelah kemenangan Allah datang asbab tangan tangan kita dan pembukaan dan kemenangan itu datang, setelah dunia dibukakan seluas-luasnya untuk kita, jangan pula kita leka dengan kenikmatan kenikmatan ini.

Sebaliknya, tatkala detik detik yang menggembirakan hati kita itu datang, kita perlu bersedia menganggap kurniaan di dunia yang sementara itu ibarat sampah sebagaimana pesan Nabi saw kepada kaum Ansar yang mula terpamir pada diri mereka bibit bibit iri hati dan kecintaan berlebihan pada dunia apabila Rasulullah saw jelas melebihkan pembahagiaan harta rampasan perang kepada golongan yang baru memeluk Islam.


Sabda Nabi saw;


“Hai orang Ansar, apakah kamu rasa dirimu masih terpaut pada dunia, dunia yang aku jadikan alat untuk melembutkan hati satu kaum untuk menerima Islam sedangkan keislaman  kamu aku benar benar telah meyakininya? Tidakkah kamu rela hai sekalian orang Ansar membiarkan mereka membawa pergi kambing dan unta sedangkan kalian pula membawa Rasulullah saw ke kampungmu?...”


Begitulah patutnya kita saudaraku.

 
Ada garis pemisah yang halus antara mengharapkan keberhasilan dan keberjayaan matlamat dakwah di dunia dengan terikat dengan hasil dan kejayaan kejayaan itu. Kerana akhirnya, yang menjadi ultimate goal kita adalah Allah swt dan Rasul saw.


Wallahu’alam

1 comment:

amantu billah said...


Ada garis pemisah yang halus antara mengharapkan keberhasilan dan keberjayaan matlamat dakwah di dunia dengan terikat dengan hasil dan kejayaan kejayaan itu. Kerana akhirnya, yang menjadi ultimate goal kita adalah Allah swt dan Rasul saw.