Friday, April 17, 2015

SENTUHAN AL AKH #39



Harapan Dalam Tarbiyah

 
Setiap bulan biasanya kami akan bermabit, mengambil ruh mabit di Mina bagi jemaah haji yang mengerjakan haji di Baitullah. Namun ada yang jadikan mabit ini sebagai akronim kepada malam bina iman dan takwa. Pun boleh.

Yang dijadikan fokus pada sesi mabit ialah pembinaan ruhi ikhwah. Membaiki iman dan membersihkan hati. Bagaimana ? Dengan qiyamullail, zikir zikir yang mathur dan juga sesi tazkirah yang meniupkan semangat baharu buat mujahid dakwah.


Itulah hiburan hiburan di jalan dakwah. Mewujudkan saf dakwah yang dibarisi oleh anggota saf yang hati dan perasaan yang sentiasa terhubung dengan langit. Ketenangan dan ketundukkan ini akan membuatkan derap langkah makin mantap, segar dan bertenaga. Al akh yang tidak menjaga hubungannya dengan Allah swt, lama kelamaan akan hilang ruh untuk terus berada di lapangan. Ikhwah akan menjauhinya, mutarabbi melarikan diri, dengungan dakwahnya tidak sampai ke hati pendengar, lalu ia kecewa dan gugur.


Pun begitu, bukanlah mabit yang menjadi fokus kami kali ini. Tetapi salah satu sesi daripada mabit mabit yang berlalu yang mana seorang akh telah menyentuh kesemua yang hadir. Tidak lain tidak bukan dengan sentuhan al akh.

Sebelum sesi tazkirah, kami ditanya satu soalan, seorang demi seorang:


"Apa harapan antum daripada tarbiah?"


Bukan calang calang soalan.

Mari kami kongsikan sedikit jawapan yang diberikan pada sesi itu.

Lalu ada yang menjawab,


“Mati dalam iman”

Fuh. Jawapan yang tidak dapat dicabar lagi. Yang menjadi cita cita kita semua meskipun bukan yang bersama gerabak tarbiyah. Cita-cita yang tinggi dan mulia. Lagi, yang lain pula menjawab,

“Untuk mencapai Ustaziyatul Alam”

Subhanallah! Tinggi menggunung akhi cita-citamu itu. Engkau benar. Itu bukan cita-cita mu sendirian, kami sama-sama sokong dan dokong! Selang beberapa jeda, yang lain pula menyahut soalan itu dengan jawapan yang tidak kurang menggugah;

“Harapan saya untuk melihat kita semua merasai nikmatnya hidup di bawah naungan al Quran”

Subhanallah. Sungguh basah hatimu ya Akhi! Begitulah, dalam kalangan kita yang tidak seberapa bilangannya ini, masih ada karakter karaketr pejuang Islam persis asy syahid Qutthb yang bukan sahaja ingin melihat umat Islam hidup di bawah bayangan al Quran, bahkan telah sudi berkongsi tanggapan, perasaan dan kemanisan imannya.

Aku doakan kau terus melangkah deras menjayakan cita cita tarbiyahmu itu.
Akh yang lainnya pula berkongsi cita-citanya dengan kita;

“Ana nak tengok mutarabbi binaan ana suatu hari nanti pula jadi murabbi”


Lebih manis cita cita yang murni ini dikongsi tatkala yang menjadi harapan dan watak dalam cita-cita itu turut mendengar cita cita sang Murabbi yang begitu prihatin akan binaan mutarabbinya. Lalu mutarabbi mana tidak berkesan?! Pastilah tertelan air liur akh kita yang mendengar itu tatkala tahu benar bahawa harapan murabbi yang luhur itu sama ada bakal terealisasi atau terkubur bergantung kepada dia. Tidak mengapa, bukankah kita diajar untuk bercita cita? Sungguh, harapan yang luhur ini bakal membawa kita terbang jauh meninggalkna hal hal remeh.

Begitulah, banyak ! Terlalu banyak cita cita mahupun harapan dalam tarbiyah yang kita selami daripada ikhwah pada pagi yang bersejarah itu.

Mari kita akhiri dengan satu lagi harapan tarbiyah daripada akh kita ini;

“Erm, saya nak jadi the next Sheikh Ahmad Yassin”

Lalu harapan yang dinyatakan itu diiringi dengan lafaz takbir oleh Ikhwah yang hadir. Tidak dapat, bahkan tidak perlu kita huraikan lagi. Insya Allah, tarbiyah memungkinkan segala harapan ini, dengan syarat kau yang akhi, kita semua istiqomah menjayakan misi kita ini.
Setelah beberapa jeda waktu, medan bicara dikembalikan kuasanya kepada al akh yang ditugaskan untuk memberi tazkirah.

“Alhamdulillah, ana kagum bila dengar harapan masing-masing” Begitu al akh itu memulakan kata-katanya.

“Cuma harapan yang kita kata dan kongsi ini, kita kena usahakan. Kita tak nak jadi orang yang dirujuk oleh ayat dua surah As Saff tu, kata apa yang kita tidak buat”

Aduh.

Tidak cukup sekadar itu, akh ini menyambung lagi,

“Biasanya harapan ni, kena hidup bersama dengan kita. Ana perhati ramai yang duk fikir dahulu bila ditanya apa harapan dia. Macam tadi baru terfikir ada harapan. Harap-harap harapan kita tu bukan kita pilih sebab nak nampak gempak, nak nampak lain dari yang lain atau sebab sebab manusiawi yang lain”

Dua das tembakan, tajam tepat.

Itulah antara kata-kata yang mahal dan bermakna pada pagi itu. Mengena setiap juzuk jiwa-jiwa yang hadir pada pagi yang masih merah biasan cahaya pasca subuh di kaki langit nun sana. Kata-kata al akh yang direct, mengingatkan kita semua, bahawa kita punyai harapan dalam tarbiyah. Jika tiada kita mulakan mencarinya sekarang.

Sesi tazkirah diteruskan dengan beberapa topic yang sangat dekat dengan ikhwah disentuh, di sini dan di sana.

Ya Allah nikmatnya kami hidup dalam kalangan hamba-hambaMu yang hidup hati mereka. Mendengarkan harapan sahaja sudah cukup menggugah jiwa yang lesu dan layu. Apatah lagi setelah mendengar teguran-terguran yang hidup dan segar, bergelora iman yang malap. Harapan sentiasa ada untuk kita.

Semoga kita istiqomah menjayakan harapan masing-masing

Apa pula harapan kalian tatkala bersama tarbiyah?


Harapan harus ditanam sejak dari awal, ditanam  jauh ke depan, melihat masa hadapan. Sebagaimana Rasulullah saw sentiasa meberikan harapan dan mengajar para sahabat untuk bercita-cita.

Nah rasakan, penangan sentuhan al akh!

1 comment:

enonimus said...

tacing baca post ni :(

sebab masih mencari jawapan untuk persoalan itu.

is it a never ending persoalan....?