Monday, May 4, 2015

OF MATAHARI & BULAN




Matahari dan bulan. Apa yang kalian fikirkan?

Alif lam syamsiah dan alif lam qomariah? Harap maaf. Jika itu yang anda sangkakan, sangkaan anda meleset. Maaf, kali ini satu lagi post yang akan membebankan jiwa anda. Sudi sudilah untuk menelaahnya. Jika tidak menghiburkan, tidak mengapa kerana ia tidak pernah ditulis untuk hiburan sesiapapun. Eh.


Entah mengapa masih terngiang ngiang di telinga sepotong ayat ini;


“Dan di antara tanda-tanda kekuasaan-Nya ialah malam, siang, matahari dan bulan. Janganlah sembah matahari, mahupun bulan, tetapi sembahlah Allah Yang menciptakannya, jika ia yang  kamu hendak sembah”

(Fussilat :37)


Ayat ini dibawakan oleh imam dalam khutbah gerhana bulan tempoh hari.

Sangat menarik. Allah kata, malam, siang, bulan dan matahari ialah antara tanda tanda kebesaran-Nya. Ok. Tetapi yang menariknya, amaran Allah yakni “Janganlah kamu sembah matahari dan bulan”. Kenapa hanya dua makhluk ini yang disebut, tidak disertakan entity malam dan siang?

Inilah yang kami renungkan sama-sama di sesi borak borak berisi pasca solat ishak malam itu, di sebuah kedai makanan panas, di tepi jalan, antara jalan jalan yang sekelian banyaknya. Cuaca malam itu redup, udara segar membugar meskipun sudah ke penghujung hari yang panjang, nafas dapat ditarik dengan sedalam dalamnya sehingga otak mampu berfikir ligat!

Selain itu, kenapa apabila berlaku gerhana matahari mahupun bulan kita diajarkan untuk solat sunat gerhana dan diiisi dengan khutbah ringkas?

Antara persoalan yang diajukan dan dibiarkan tidak terjawab pada malam itu.

Pada taddabur kami yang marhaen dan bersahaja ini,


Sebenarnya pada pencipataan makhluk Allah yang banyaknya itu, ada sebahagian ciptaan yang menarik hati kita. Yang membuatkan kita berasa takjub dengan kehebatan sesetengah ciptaan, berbanding ciptaan-ciptaan yang lain. Umpamanya matahari dan bulan seakan lebih signifikan bagi kita berbanding dengan kejadian siang dan malam yang mana kita telah pun immune dengan fenomena ini.

Walhal, Allah cuba sampaikan bahawa kesemua ini sama sahaja, semuanya merupakan tanda- tanda kebesaran Allah. Ketakjuban, rasa ajaaib, kagum dan seumpamanya itu sepatutnya dikembalikan kepada Allah. Maka wajarlah, kita diajari untuk bersolat sunat, sebagai symbol kegesaan merendahkan diri lagi di hadapan Allah swt.

Benarlah,

Kejadian gerhana bulan ataupun matahari yang jarang jarang berlaku itu antara kejadian kejadian alam yang sungguh ajaib. Sebenarnya, sudah banyak keajaiban yang berlaku di sekelilng kita. kita sakit, kemudian kita makan ubat dan sembuh, itu satu keajaiban. Kita melihat burung burung yang terbang di udara dengan cara cara tersendiri, itu satu keajaiban.

Tetapi, malangnya keajaiban keajaiban ini tidaklah lagi mendekatkan diri kita dengan Allah swt. Kerana sains dan penerangannya hadir mengisi ruang kosong antara keajaiban dan kesedaran tauhid kita itu. Ilmu sains yang cuba menerangkan setiap sesuatu fenomena alam ini membuatkan kita tidak lagi tehubung dengan tanda kebesaran Allah swt. Sebab itu, keajaiban yang macam mana pun dipertontonkan kepada kita, kita buat slamber sahaja.

Adakah ini semua salah sains, atau salah Anwar Ibrahim? Eh.

Tidak.

Sains tidak pernah bersalah. Bahkan sains adalah cabang ilmu kurniaan Allah untuk kita sama sama fikirkan dan renungkan yang sepatutnya penguasaan ilmu sains menatijahkan keteguhan yang lebih mantap akan kekuasaan Allah swt. Jadi siapa yang bersalah?
Mungkin pada cara. Pada cara ilmu sains itu disampaikan.

Saudaraku,

Memberi amaran akan larangan menyembah matahari mahupun bulan dalam ayat ini seakan tidak releven pada zaman yang serba canggih dan moden ini. Di zaman orang bermain facebook, lalai dengan twitter, menghabiskan masa dengan membaca telegram mahupun whatsApp, mana ada lagi yang menyembah mataharui dan bulan. Itu syirik yang jail, terlalu jelas, yang sepatutnya dapat diotakkan oleh masyarakat ‘maju’ hari ini yang membaca Quran.

Akan tetapi, matahari dan bulan hanyalah symbol kepada perhiasan perhiasan dunia yang menarik hati kita. Di sana masih banyak lagi entity lain yang menarik hati kita, yang mungkin kita sembah tanpa sedar, yang menjadi obsesi kita, yang kita usahakan siang dan malam, yang membuatkan kita tidak tidur lena memikirkannya. Nah! Inilah mungkin matahari dan bulan bagi masyarakat moden ini!

Perempuan ataupun pasangan masing-masing, perhiasan berupa emas dan perak, pekerjaan masing-masing, kerjaya, kereta besar, moto besar berkelas tinggi, rumah mewah, kondominium bertingkat tingkat, perniagaan yang menjanjikan pulangan yang lumayan, pelajaran serta CGPA nya, anak anak dan sebagainya, ini semua barangkali merupakan obsesi kita semua pada peringkat umur tertentu.

Kesemua perhiasan dunia ini menarik hati kita, yang kita kadang kadang terkejar kejarkan mereka. Kadang-kadang kita pening kepala memikirkan sebahagiannya, kita obsessed, sanggup berpenat lelah kerana mereka. Sehinggakan kita diperguna, menghambakan diri kerana mengejar perhiasan perhiasan ini, menyembah dalam bentuk yang sangat halus!

Sebab itu diingatkan,

“..Janganlah sembah matahari, mahupun bulan, tetapi sembahlah Allah Yang menciptakannya, jika ia yang  kamu hendak sembah..”

Peringatan yang mahal, sentiasa hijau dan menyengat.

Tidak perlulah kiranya kita perpanjangkan lagi entry ini. Renung-renungkan. Lihatlah dengan pandangan yang jujur, telus dan tajam. Perhatikan ke sekeliling kita, siapapun kita, apa sekalipun status kita, jerat jerat dunia ini tidak pernah pilih kasih, walaupun kita berstatus daie millennium, daie metropolitan ke pebenda sume tu.

Kenal pasti ‘bulan’ dan ‘matahari’, berhati-hati;

Dan teruslah bertasbih menyucikan Allah swt.

No comments: