Thursday, May 7, 2015

SENTUHAN AL AKH #41


Salah satu ciri tarbiyah yang menjadi pondasi madrasah tarbiyah Imam Syahid Hassan al-Banna ialah rabbaniyyah, sebagaimana yang ditulis oleh Ustadz Yusuf al-Qaradhawiy dalam buku kecil yang bertajuk Madrasah Tarbiyah Hassan al-Banna. Kami pula katakan, asas kepada sifat Rabbani itu ialah menjaga amal-amal fardinya yang mana nucleusnya adalah solat. Bagaimana solat mu ya akhi?

Suka untuk kami selitkan dalam helaian helaian ini juga untuk tatapan kita bersama, kisah kisah dan kenang-kenangan para ikhwan dalam menjalani kehidupan dakwah mereka. Maka kali ini sekali lagi kami bawakan satu sedutan daripada kisah Imam al-Banna yang dinukil oleh Sheikh Abbas as-Sisisy, moga Allah merahmati kedua hamba-Nya ini.

Sheikh Abbas yang berjiwa halus itu memulakan kalamnya;

Syeikh Ismail Hamdi seorang pendidik kota Iskandariyyah bercerita, ia dalam perjalanan bersama Ustadz al Banna di Mesir Atas. Setelah perjalanan panjang di sebahagian desa itu, waktu menjelang malam, tibalah waktu Isyak. Ustadz al-Banna berkata kepada Syeikh Ismail Hamdi,

“Kami lelah sekali, kami ingin agar anda menjadi imam shalat”. Maka Syeikh Hamdi maju untuk mengimami solat, akan tetapi ia solat dengan surah-surah pendek. Setelah solat berakhir, Hassan al-Banna berkata kepadanya, “Bagaimana anda solat dengan surah-surah pendek”

Ia mejawab;

“Kerana anda mengatakan ‘kami lelah sekali’, oleh sebab itu saya membacakan surah-surah pendek untuk meringankan anda”. Ustadz al-Banna berkata, “Ya Akhi, junjungan kita Rasulullah saw berkata kepada Bilal r.a., ‘Hai Bilal, istirahatkanlah kami dengan solat’, Baginda tidak berkata, ‘Hai Bilal, istirahatkanlah kami dari solat’ ”

Nukil Syeikh Abbas as-Sisiy


Begitulah layaknya imam kita yang kita rindui itu.

Sudah menjadi rutin kita, menziarahi orang ramai dalam kalangan kenalan ikhwah untuk kita santuni dan dapatkan individu yang terbaik untuk kita sama-sama ajak menekuni jalan tarbiyah dan dakwah ini. Ia seakan aktiviti rutin harian. Ia merupakan tugas utama seorang dai, di samping tugas tugas sampingan seperti menguruskan perusahaan, belajar di kampus, menunaikan amanah di kantor dan seumpamanya.

Di satu hujung minggu kami mendatangi saudara kami di rumah sewa mereka. Awal tahun 2015, satu hujung minggu yang panas cuacanya. Lalu seorang akh katakan kepada teman sekuliahnya itu,

“Jom kita solat di surau bawah!”

Dengan nada beriya-riya dan penuh semangat. Namun seperti biasa, ia bukanlah ajakan yang pertama, atau kedua, atau ketiga tatkala ia mendatangi mereka. Dan seperti biasa saudara kami itu masih liat untuk turun solat berjemaah d surau.

“Kita solat kat rumah sajalah”

Lalu akh itu tampil, membentangkan sejadah. Jika ia tidak turut serta solat bersama di rumah, belum tentu saudaranya akan solat di awal waktu, dan solat berjemaah. Meskipun penghuni rumah itu bilangannya ramai, memungkinkan untuk mereka solat berjemaah dan menyerikan suasana rumah dengan wirid wirid dan bacaan Quran. Namun, itulah cita cita kita yang belum terkecap lagi.

Solat pun berakhir. Akh itu mahu pamit untuk ke tempat lain pula. Ada urusan yang harus diberesi. Meskipun kisahnya ringkas, tetapi ada pelajaran berguna yang akh itu dapatkan saat pergaulan denga saudaranya, atau lebih tepat teman sekuliahnya itu, yang belum sampai takdir mereka untuk menggabungkan diri dengan saf dakwah ini. Kita bermunajat mudah-mudahan waktu itu tiba juga!

Setelah mengusulkan untuk pulang, seorang daripada rakan itu membalas;

“Nanti datang la lagi. Boleh solat sama-sama”

Maka tersentuh la akh kita yang satu itu. Ia dapat rasakan betapa saudaranya itu sangat menghargai nikmat solat bersama, berjemaah, meskipun mereka biasa biasa sahaja exposurenya dengan fiqh ibadah ini, tidak berbincang tentang pendapat ulamak itu dan ini, tidak hafal banyak daripada ayat ayat Allah, tetapi cukup hati dibasahi dengan beberapa rakaat solat yang ringkas.

Peristiwa hujung minggu itu mengajak kami bermuhasabah panjang.


Kadang-kadang, kemanisan beribadah yang pernah dirasai waktu awal-awal menggabungkan diri dengan halaqah, dengan agenda agenda tarbiyahnya seakan akan sudah mula tawar, bahkan hilang kenikmatannya!

Lebih lebih lagi baru ini akh yang lain mengingatkan kami semua dengan satu peringatan yang berharga. Tatkala ikhwah yang lain sibuk merancang satu program tarbiyah, berbincang kencang akan persediaan tempat, menu makanannya, urusan urusan tentative dan beraneka teknikal yang lain, ia yakni akh itu mengingatkan;

“Selain daripada urusan hardware, jom kita sama-sama muhasabah persediaan software kita untuk program kali ini. Bagaimana dengan amal-amal fardi kita? Tilawah kita, qiyamulail kita, infaq kita. Sejauh mana kita berusaha untuk ajak adik-adik ni datang ke program kali ini. Dan bagaimana dengan niat kita, above all”

Huhu. Peringatan yang datang tepat pada waktunya.
Terima kasih akhi!


Sekali lagi mari kita sama-sama ingatkan diri sendiri, tarbiyah kita ini bersifat rabbaniyah. Tidak ada gunanya jika kita melaju dalam amal haraki, berdengung-dengung mengajak manusia kembali kepada Allah swt, tetapi hati kita lalai mengingatinya. Tidak guna jika perasaan kita tidak sentiasa terhubung dengan Allah dan lidah kita tidak sering basah berzikir dan berselawat. Mudah mudahan nukilan kali ini juga datang tepat pada waktunya!

Ramai boleh mengejar kuantiti ibadah. Qiyam hari hari. Infaq puluhan ringgit. Zikir mathurat bagai ribut dan sebagainya. Tetapi tidak kurang pula yang jiwanya masih kosong, kerana kualitinya makin berkurang. Inilah yang kita takuti akhi. Begitulah jiwa yang jernih dan sensitive, ia tersentuh dengan sentuhan bersahaja, tatkala ia menyantuni target dakwahnya.

Jadi bolehlah juga kita jadikan nukilan ini sebahagian daripada sentuhan al akh!

Kami akhiri dengan tazkirah yang diulang-ulang ini tetapi tetap hijau dan berguna;


“Jangan terlalu fokus dengan perancangan dan pengurusan, tapi kurang fokus dalam hak hak Allah. Perancangan dan pengurusan akan berkesan jika dilakukan oleh tangan yang berwhuduk, kening yang banyak sujud, jiwa yang khusyu’, hati yang tenang dan tunduk pada Allah. Tanpa itu semua, sehebat hebat perancangan dan pengurusan yang dilakukan takkan memberi kemenangan”

-Sheikh Jum’ah Amin


“Akhi, bagaimana solatmu?!”

No comments: