Thursday, November 16, 2017

BUKAN KITA YANG MENENTUKAN HUJUNG JALAN INI



Ketika perintah berhijrah menuju Madinah diputuskan, tidak sedikit bilangan Muslimin yang keberatan untuk meninggalkan Mekah kesayangan mereka. Mereka berasa mereka adalah golongan yang diberi keringanan dan hal ini dibolehkan.

Untuk golongan ini, maka telah turun la sekumpulan ayat ini;


إِنَّ الَّذِينَ تَوَفَّاهُمُ الْمَلَائِكَةُ ظَالِمِي أَنْفُسِهِمْ قَالُوا فِيمَ كُنْتُمْ ۖ قَالُوا كُنَّا مُسْتَضْعَفِينَ فِي الْأَرْضِ ۚ قَالُوا أَلَمْ تَكُنْ أَرْضُ اللَّهِ وَاسِعَةً فَتُهَاجِرُوا فِيهَا ۚ فَأُولَٰئِكَ مَأْوَاهُمْ جَهَنَّمُ ۖ وَسَاءَتْ مَصِيرًا

Sesungguhnya orang-orang yang diwafatkan malaikat dalam keadaan menganiaya diri sendiri, (kepada mereka) malaikat bertanya: "Dalam keadaan bagaimana kamu ini?". Mereka menjawab: "Adalah kami orang-orang yang tertindas di negeri (Mekah)". Para malaikat berkata: "Bukankah bumi Allah itu luas, sehingga kamu dapat berhijrah di bumi itu?". Orang-orang itu tempatnya neraka Jahannam, dan Jahannam itu seburuk-buruk tempat kembali,


إِلَّا الْمُسْتَضْعَفِينَ مِنَ الرِّجَالِ وَالنِّسَاءِ وَالْوِلْدَانِ لَا يَسْتَطِيعُونَ حِيلَةً وَلَا يَهْتَدُونَ سَبِيلًا

kecuali mereka yang tertindas baik laki-laki atau wanita ataupun anak-anak yang tidak mampu berdaya upaya dan tidak mengetahui jalan (untuk hijrah),

فَأُولَٰئِكَ عَسَى اللَّهُ أَنْ يَعْفُوَ عَنْهُمْ ۚ وَكَانَ اللَّهُ عَفُوًّا غَفُورًا

mereka itu, mudah-mudahan Allah memaafkannya. Dan adalah Allah Maha Pemaaf lagi Maha Pengampun.


Termasuk lah dalam senarai kaum Muslimin tersebut seorang sahabat, Dhamrah bin Jundub. Berikutan turunnya ayat di atas, Dhamrah berasa tidak senang. Jiwanya kacau, diselubungi perasaan bersalah sehingga meminta anak-anaknya menyiapkan dirinya untuk menyusul hijrah ke Madinah. Namun takdir Allah mendahului segalanya, beliau menemui kematian dalam perjalanan hijrahnya itu.


Ibnu Abi Hatim meriwayatkan dari Ibnu `Abbas, ia berkata: “Dhamrah bin Jundub keluar menuju Rasulullah saw, lalu ia mati di jalan sebelum sampai kepada Rasul, maka turunlah ayat ini;


وَمَنْ يُهَاجِرْ فِي سَبِيلِ اللَّهِ يَجِدْ فِي الْأَرْضِ مُرَاغَمًا كَثِيرًا وَسَعَةً ۚ وَمَنْ يَخْرُجْ مِنْ بَيْتِهِ مُهَاجِرًا إِلَى اللَّهِ وَرَسُولِهِ ثُمَّ يُدْرِكْهُ الْمَوْتُ فَقَدْ وَقَعَ أَجْرُهُ عَلَى اللَّهِ ۗ وَكَانَ اللَّهُ غَفُورًا رَحِيمًا

Barangsiapa berhijrah di jalan Allah, niscaya mereka mendapati di muka bumi ini tempat hijrah yang luas dan rezeki yang banyak. Barangsiapa keluar dari rumahnya dengan maksud berhijrah kepada Allah dan Rasul-Nya, kemudian kematian menimpanya (sebelum sampai ke tempat yang dituju), maka sungguh telah tetap pahalanya di sisi Allah. Dan adalah Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.

*Rujuk An-Nisa :97-100

Kisah Dhamrah ini mengajar kita bahawa, apabila sesuatu perintah diserukan, kita hanya disuruh mencuba melaksanakannya sebaik mungkin. Bagaimana ia berakhir? Bukan kita yang menentukan ujungnya.

Begitu juga ketika berdakwah. Sekali ajak ditolak. Dua kali ajak ditolak. Tiga kali. Empat kali. Lima, enam dan seterusnya, hasilnya sama sahaja. Ditolak juga. Lalu adakah kita akan berhenti?

Tidak. Ajak sajalah sambil membuat penambahan baikan. Kerana bukan kita yang menentukan perjalanan dakwah ini. Bahkan bukan kita yang menentukan siapa yang wajar diberi hidayah atau tidak. Entah dapat negara atau tidak. Entah dapat kuasai medan kita atau tidak.

Asasnya, berusahalah dengan ikhlas dan itqan. Nama Dhamrah telah harum dalam kitab kitab tafsir dan buku sejarah yang dibaca sekalian umat. Apakah kita bakal meninggalkan legasi yang sama?

Tuesday, November 14, 2017

MISI BAHARU!






Seseorang akan menyertakan dirinya dengan kumpulan manusia yang mempunyai kecenderungan dan minat yang sama dengannya. Sebagai contoh, orang yang minat memancing akan berkawan dengan rakan-rakan pemancing. Orang yang kaki bola akan sentiasa menghabiskan masa dengan peminat bola yang lain. Begitu juga para doktor, jurutera, pengumpul setem dan sebagainya, akan berada dalam kelompok manusia yang mempunyai minat dan kecenderungan yang sama dengan mereka. Pepatah Inggeris menyebut, “Birds of a feather flock together”.


Fenomena sosial ini telah pun disebut dalam satu hadith. Rasulullah SAW bersabda;


الأَرْوَاحُ جُنُوْدٌ مُجَنَّدَةٌ فَمَا تَعَارَفَ مِنْهَا ائْتَلَفَ وَمَا تَنَاكَرَا مِنْهَا اخْتَلَفَ
“Ruh-ruh itu seperti tentara yang berhimpun yang saling berhadapan. Apabila mereka saling mengenal maka akan saling bersatu, dan apabila saling berbeda maka akan tercerai-berai.”[1]


Dalam Musnad Imam Ahmad diceritakan, bahwa asbabul wurud[2] hadith ini iaitu ketika seorang wanita penduduk Makkah yang selalu membuat orang tertawa hijrah ke Madinah, ternyata dia tinggal dan bergaul dengan wanita yang sifatnya sama sepertinya. Iaitu senang membuat orang tertawa. Karena itulah Nabi SAW mengucapkan hadits ini.

Al-Imam An-Nawawi mengatakan dalam Syarah Muslim:


“Para ulama mengatakan, maknanya mereka adalah sekelompok manusia yang berkumpul atau manusia yang bermacam-macam lagi berbeda-beda. Ruh-ruh itu saling mengenal karena suatu perkara yang Allah SWT menciptakan ruh-ruh itu di atasnya..”


Secara lumrah, apabila manusia telah berkumpul dalam kumpulan-kumpulan ini, yang menjadi keprihatinan mereka ialah apa-apa isu berkaitan minat dan kecenderungan mereka itu. Mereka akan jadikan minat dan kecenderungan sebagai topik perbualan mereka, tujuan untuk mereka berkumpul, mereka bersatu dan bekerja atas dasar itu.


Misalannya kumpulan manusia yang meminati kereta, akan berkumpul dan sentiasa ambil tahu tentang perkembangan terkini kereta keluaran terbaru sama ada di pasaran tempatan atau antarabangsa. Orang yang cenderung kepada gajet elektronik sentiasa mencari-cari maklumat tentang industri ini. Mereka tidak akan ketinggalan berkenaan maklumat berkaitan gajet elektronik. Detail gajet elektronik baharu yang dilancarkan dari segi kapasiti, aspek-aspek yang ditawarkan, aplikasi-aplikasi dan segala butiran terperinci berada dalam kepala mereka. Ia menjadi topic perbualan mereka sama ada di alam maya atau ketika bersosial secara bersemuka. Perkara sama berlaku kepada minat-minat dan kecenderungan-kecenderungan lain yang tidak mampu penulis senaraikan di sini.


‘Pattern’ ini sudah wujud sejak kewujudan manusia lagi kerana ia sebahagian daripada sunah alam ini. Yang berubah hanyalah bentuk minat dan kecenderungan mengikut zaman. Perkara yang sama telah berlaku dalam kehidupan para sahabat r.anhum sebelum kedatangan Islam dan juga penduduk kota Mekah yang lainnya. Sebahagian mereka mempunyai kecenderungan yang tinggi dalam bidang kesusateraan. Mereka menghabiskan masa mereka mencipta syair Arab yang berkualiti tinggi dan saling mendeklamasikannya di pasar-pasar mereka untuk beradu, siapa yang lebih handal.


Ada yang suka berperang bersama kelompok masing-masing. Para pedagang dalam kelompok mereka, yang sukakan kuda-kuda peliharaan dalam kelompok mereka, pemabuk-pemabuk dalam kelompok mereka, tukang besi dalam kelompok mereka, pengukir berhala, ahli dukun, tukang tilik dan seterusnya, masing-masing dalam kelompok tersendiri.


Sebelum wahyu diturunkan kepada baginda Rasulullah SAW, mungkin beratus malah ribuan manusia pernah hidup di Kota Mekah dalam kitaran ini, dan mati tanpa kita tahu pun butiran tentang mereka, riwayat hidup mereka, jasa dan sumbangan mereka. Dalam kalangan mereka mungkin ada para lelaki yang lebih perkasa daripada Umar al-Khattab. Lebih pintar berbanding Ali b Abu Thalib. Lebih gagah di medan perang berbanding Khalid al-Walid. Lebih tepat panahannya berbanding Saad b Abi Waqqas. Lebih handal bersyair berbanding Khansa’, lebih lincah menunggang kuda berbanding Miqdad, lebih geliga berniaga berbanding Abd Rahman Auf dan kelebihan-kelebihan yang lain.


Ini kerana kepakaran, kemahiran dan bakat yang hebat ini ada pada manusia di zaman mana pun. Namun, dunia tidak mengenali mereka. Siapakah mereka? Di manakah mereka? Dan butiran yang lain tidak kita ketahui. Riwayat hidup mereka tidak menjadi rujukan sesiapa pun. Mereka hidup dengan minat dan kecenderungan beserta kelebihan, bakat, potensi dan kemahiran yang Allah berikan kemudian mereka mati begitu sahaja. Kehidupan dan kematian merupakan fenomena yang berlaku saban hari bahkan mungkin setiap minit di Kota Mekah.


Tetapi, keseluruhan fenomena ini berubah selepas satu peristiwa yang paling bersejarah pernah berlaku dalam riwayat hidup umat manusia. Peristiwa ini telah mengangkat nama-nama sahabat yang kemungkinan tenggelam ditelan zaman seperti nenek moyang mereka. Dunia mula memberi perhatian khusus kepada mereka. Kisah-kisah tentang mereka diriwayatkan dari generasi ke generasi dan menjadi hiburan sebelum tidur anak-anak Islam. Peristiwa tersebut tidak lain tidak bukan merupakan peristiwa turunnya wahyu berupa Al-Qur’an. Berkenaan hal ini, Allah SWT mengingatkan kembali dalam firman-Nya;


هَلْ أَتَىٰ عَلَى الْإِنْسَانِ حِينٌ مِنَ الدَّهْرِ لَمْ يَكُنْ شَيْئًا مَذْكُورًا
Bukankah telah datang atas manusia satu waktu dari masa, sedang dia ketika itu belum merupakan sesuatu yang dapat disebut?
[Al-Insan :1]


Kehidupan para sahabat r.anhum setelah Al-Qur’an diturunkan dan mereka beriman serta berinteraksi dengannya berpaling arah. ‘Pattern’ telah berubah. Minat dan kecenderungan mereka masih ada, tidak terhakis. Kemahiran, bakat, kelebihan dan potensi mereka masih ada. Tetapi isu yang menjadi keprihatinan mereka telah berubah. Cara pandang mereka kepada dunia telah bertukar. Kini mereka bersatu, prihatin, berkumpul dan bekerja mengerahkan segenap upaya, minat, bakat, kecenderungan, potensi dan kemahiran mereka untuk satu misi baharu iaitu misi, “We must change the world”.


Mereka disatukan dengan satu tujuan yang sama. Kefahaman mereka dan cara pandang mereka kepada dunia telah berubah bentuk, hasil interaksi dengan Al-Qur’an. Kemudian, Al-Qur’an terus turun, sedikit demi sedikit mengiringi dan menuntun misi baharu mereka.


Sekarang telah terbina kelompok baharu, iaitu kelompok orang-orang Islam!


[1] Hadith Riwayat Bukhari & Muslim
[2] Sebab atau peristiwa disebalik sesuatu hadith

Sunday, November 5, 2017

DIAM BOLEH MEMBUNUH!




Pada malam itu kami menyimak surah Yusuf dalam perjumpaan mingguan kami. Perjumpaan menyimak iman dan amal. Sebahagian komentar berkenaan sesi refleksi itu dicatat di sini. Untuk ingatan kami kalau-kalau terlupa dan untuk manfaat kita semua insya Allah. 


قَالَ قَائِلٌ مِنْهُمْ لَا تَقْتُلُوا يُوسُفَ وَأَلْقُوهُ فِي غَيَابَتِ الْجُبِّ يَلْتَقِطْهُ بَعْضُ السَّيَّارَةِ إِنْ كُنْتُمْ فَاعِلِينَ
Seorang diantara mereka berkata: "Janganlah kamu bunuh Yusuf, tetapi masukkanlah dia ke dasar sumur supaya dia dipungut oleh beberapa orang musafir, jika kamu hendak berbuat".
[Yusuf:9]


Ayat di atas bercerita tentang kata-kata yang terpacul keluar dari lisan salah seorang daripada saudara Nabi Yusuf yang berniat jahat ke atas Beliau.


Kita tidak tahu siapakah gerangannya. Al-Quran hanya menyebut,

قَائِلٌ

Iaitu yang berkata.


Tetapi daripada perkataan ini kita tahu, yang berkata adalah seorang. Walaupun seorang daripada 9 atau 10 saudara Nabi Yusuf yang lain, walaupun kata-katanya terpencil, tetapi kesannya begitu besar dan mendasar.


Bayangkan jika قَائِلٌ iaitu yang berkata di sini tidak menyampaikan kata-katanya. Nayangkan jika dia hanya menyimpan pandangan, kegusaran dan mungkin sekelumit keprihatinan dia akan nasib Nabi Yusuf itu untuk dirinya semata-mata dan didiamkan, barangkali perjalanan hidup Nabi Yusuf bakal berubah 180 darjah.


Bahkan tidak mustahil 'diamnya’ قَائِلٌ bakal membunuh riwayat Nabi Yusuf. Begitulah diam boleh membunuh apabila tidak bertempat. Apabila diam kerana takut dan gusar. Atau diam kerana kecewa sebelum ia berhasil.


Daripada sisi ini, kita belajar betapa pentingnya peranan menjadi قَائِلٌ, yang berkata menyampaikan kata-kata yang benar ataupun sekurang-kurangnya nasihat yang boleh mengurangkan mudarat  keadaan semasa. Tidak kisah lah mungkin kita hanya seorang dan bersendirian, tetapi kata-kata yang baik mesti didahulukan ketimbang berdiam diri.

Seperti mana sabda Rasulullah SAW, barang siapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat,

فليقل خيراً أو ليصمت

(hendaklah ia berkata baik atau diam) [1]


Meskipun diri kita tidak cukup baik seperti قَائِلٌ di sini yang termasuk dalam senarai saudara Nabi Yusuf yang berniat tidak baik, namun kata-kata dakwah insya Allah mempunyai barakah tersendiri, tanpa mengenal siapa yang berkata.


Daie sangat tidak wajar mendiamkan diri ketika melihat segala bentuk kemungkaran sama ada kecil atau besar. Ia tidak wajar memilih untuk diam kerana beranggapan dirinya yang satu tidak mempunyai sebarang pengaruh dan kekuatan. Dia tidak patut kecewa dengan pelbagai tanggapan sebelum beramal. Bahkan amat tidak patut jika meletakkan harapan pada usahanya semata-mata tanpa mengambil kira kuasa dan kehendak Allah yang menatijahkan hasil.


Rugilah kefahaman dan fikrah islam yang bersih dan indah, yang dipelajari jika sekadar disimpan rapi tanpa disuarakan. Siapalah pula yang boleh memanfaatkan sekalian banyak hafalan Quran dan hadis kita sekiranya kita diam seribu bahasa.

Maka, apabila tiba masanya, bersuaralah. Barangkali suara kita yang halus, perlahan dan seakan terpencil seolah-olah tidak mampu didengari itu bakal mengubah banyak perkara di sekeliling kita.
Sebagaimana kata-kata قَائِلٌ telah menjadi asbab berubahnya perjalanan hidup Nabi Yusuf as.
Oleh itu kepada saudara-saudara kami, di jalan tarbiyah beginilah kami memetik nasihat yang baik. Ia bersumber wahyu yang terpelihara dan kefahaman yang bersih. Jangan kau gusar akhi untuk berkata-kata, meskipun kau keseorangan, sebatang kara.


[1] Hadis 15, Arbain An-Nawawi

Thursday, November 2, 2017

HAVE YOUR READ?


Allah SWT telah menghadiahkan umat manusia dengan kitab-Nya berupa al-Qur’an dan disertakan pada kitab ini kelebihan yang banyak. Sehinggakan, membaca al-Qur’an merupakan satu ibadah yang dijanjikan ganjaran pahala sebagaimana disebut dalam satu hadith, Rasulullah SAW bersabda[1];

 “Abdullah bin Mas’ud radhiyallahu ‘anhu berkata: “Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: “Siapa yang membaca satu huruf dari Al Quran maka baginya satu kebaikan dengan bacaan tersebut, satu kebaikan dilipatkan menjadi 10 kebaikan semisalnya dan aku tidak mengatakan الم satu huruf akan tetapi Alif satu huruf, Laam satu huruf dan Miim satu huruf.”


Umat Islam terutamanya di alam Melayu ini begitu berpegang dengan kelebihan membaca al-Qur’an ini yang mendatangkan pahala sehingga mereka bersungguh-sungguh membaca al-Qur’an dan cuba mengkhatamkannya sekerap mungkin. Fenomena ini menjadi lebih menakjubkan di Bulan Ramadhan kerana pahala pada bulan ini digandakan sehingga tidak mampu lagi dihitung.


Sehingga kita dapati mungkin ada gejala orang yang hanya membaca Qur’an pada bulan Ramadhan, tetapi tidak pada bulan-bulan yang lain. Orang yang super sibuk juga turut berkesempatan melakukan tilawah dan tadarus pada bulan Ramadhan. Perlumbaan ini tidak hanya berlaku dalam kalangan muslim yang komited. Kelihatan juga orang yang tidak menutup aurat dengan baik turut tidak lepaskan peluang untuk dapatkan ganjaran tilawatul Qur’an. Orang yang tidak bersolat, yang mungkin sumber pendapatannya melalui jalan yang meragukan turut sama membaca al-Qur’an. Ini merupakan sesuatu yang baik! Sesungguhnya rahmat Allah SWT itu luas dan pintu kebaikan itu ada banyak!


Yang pasti, menyibukkan diri membaca al-Qur’an jauh lebih baik daripada kesibukan dengan bahan bacaan lain seperti material di media social dan sebagainya kerana tidak ada hadith ataupun athar menyebutkan tentang kelebihan dan fadhilat Facebook, Twitter, Instagram dan lain-lain!


Namun, adakah membaca dan mengharapkan pahala dari bacaan tersebut sudah memadai? Adakah al-Qur’an merupakan kitab untuk dijadikan bahan bacaan semata-mata? Adakah al-Qur’an diturunkan sebagai wasilah untuk memberi pahala kepada umat manusia?

Penulis ingin melontarkan persoalan kepada kita semua dengan aplikasi hadith Rasulullah SAW tadi. Bertitik-tolak dari kefahaman kita secara zahir daripada hadith berkenaan, ganjaran pahala diberikan mengikut bilangan huruf yang dibaca seperti sabda Baginda, “Bukan lah Alif Lam Mim itu satu huruf, tetapi Alif satu Lam satu dan Mim satu”. 


Jadi cuba kita bayangkan dua orang qari (pembaca al-Qur’an) membaca al-Qur’an dengan kadar kelajuan yang sama. Salah seorang membaca daripada permulaan al-Qur’an iaitu Surah al-Fatihah sehingga Surah An-Nas dan bacaan beliau memakan masa 8 jam. Qari kedua pula hanya membaca Surah al-Kuatsar berupa tiga ayat, berulang-ulang dengan kadar kelajuan yang sama, untuk tempoh 8 jam juga. Soalannya, dari segi ganjaran pahala, siapakah yang lebih banyak dalam kalangan mereka berdua berdasarkan mafhum hadith tadi?


Jawapanya adalah sama. 

Ya. Pahala kedua-keduanya sama secara zahir yang dapat kita tentukan. Ini kerana dengan kelajuan yang sama, dalam tempoh masa yang sama, bilangan huruf yang sempat dibaca oleh kedua-dua qari sepatutnya sama, sehinggakan mereka berdua selayaknya diganjari pahala bacaan yang sama. Persoalan seterusnya, jika begitu mengapa perlu bersusah payah mengkhatamkan al-Qur’an?


Jika sekadar diturunkan untuk dibaca dan dijadikan wasilah untuk memberi pahala kepada umat manusia yang membacanya, mengapa tidak al-Qur’an itu berupa satu surah yang mudah dan ringkas sahaja seperti surah al-Ikhlas atau al-Kautsar? Bukankah dengan ini bacaan lebih mudah? Pahala lebih cepat diperolehi dan lebih ramai boleh menghafal Qur’an. Madrasah tahfiz boleh dibuka dengan lebih mudah dan kita semua boleh menjadi huffaz dalam tempoh yang sekejap!

Petikan buku Berinteraksi Dengan Qur'an [BDQ]


[1] (HR. Tirmidzi dan dishahihkan di dalam kitab Shahih Al Jami’, no. 6469)