Friday, June 30, 2017

QH 34 : MANFAAT & MUDARAT




Prinsip ke-34


“Al-Quran telah mengisyaratkan dalam sebilangan ayat bahawa sesiapa yang meninggalkan sesuatu yang bermanfaat kepadanya dengan kesanggupannya sendiri, dia akan diuji dengan disibukkan dengan perkara-perkara yang memudaratkannya dan dia tidak lagi dapat melakukan perkara yang ditinggalkannya pada awalnya tadi..”[1]

Inilah prinisp ke-34 yang dikemukan oleh Imam Sa’di dalam karyanya, Qawaid Hisan Tafsir al-Quran. Ternyata ia prinsip yang kita semua harus setujui. Jika ia bukan datang dari himpunan maksud sebilangan ayat Quran sekalipun, ia berlaku dalam reality kehidupan kita.

Beliau melanjutkan lagi dalam buku beliau itu;

Diingatkan bahawa sesungguhnya Allah telah mengulangi dalam banyak ayat bahawa apabila orang musyrikin meninggalkan ibadah kepada ar-Rahman, mereka akan diuji dengan penyembahan berhala. Apabila mereka berlaku sombong daripada mentaati para Rasul – dengan dakwaan buruk mereka terhadap para rasul – mereka akan diuji dengan kepatuhan kepada apa sahaja yang ditawarkan akal dan agama mereka. Apabila mereka ditawarkan dengan keimanan pada pertama kalinya dan mereka mengetahuinya tetapi mengabaikannya, Allah akan membolak-balikkan hati mereka dan menguncinya, lalu mereka tidak lagi dapat beriman sehinggalah mereka ditimpa azab yang pedih.

Apabila dijelaskan pula kepada mereka jalan yang lurus lalu mereka berpaling daripada memilihnya, dan mereka lebih meredhai jalan kesesatan berbanding jalan petunjuk, maka mereka akan dihukum dengan dipalingkan hati mereka oleh Allah dan Allah akan menjadikan mereka orang yang sesat di jalan itu. Apabila mereka menghina ayat-ayat Allah dan rasul-Nya, maka Allah akan menghina mereka dengan azab yang menghinakan dan apabila mereka menyombongkan diri daripada menerima kebenaran, Allah akan menghina mereka di dunia dan akhirat.[2]

Kita sendiri mungkin pernah mengalami keadaan ini. Apabila kita mengabaikan sesuatu yang bermanfaat kepada kita, sedang kita mampu untuk melakukannya, maka Allah swt akan menguji kita dengan menyibukkan kita dengan perkara yang boleh memudaratkan kita dan mengharamkan ke atas kita perkara dan manfaat yang kita abaikan.


Contoh mudah, apabila pendakwah tidak turun padang melakukan kerja-kerja mengingatkan orang ramai tentang kebenaran, mereka disibukkan dengan aktiviti mengutuk umat dan masalah orang ramai, bukan turun sebagai penyelesai masalah. Bila al-akh tidak sibuk di medan masing-masing, mereka diuji dengan masalah ukhuwah, dengki, iri hati, rasa serba tak kena, gaduh di Facebook dan sebagainya.


Fenomena-fenomena ini telah pun disebut dalam Quran dalam banyak kesempatan.

Antaranya;

فَلَمَّا زَاغُوا أَزَاغَ اللَّهُ قُلُوبَهُمْ

Maka tatkala mereka berpaling (dari kebenaran), Allah memalingkan hati mereka
(As Saff :5)


Ayat di atas merujuk kepada kaum Nabi Musa yang diajak untuk beriman kepada Allah dan risalah yang beliau bawa. Mereka sedar bahawa Nabi Musa adalah utusan Allah. Tetapi mereka menyakiti beliau dan membelakangi ajakan ini. Akhirnya Allah memalingkan hati mereka dan mereka dihinakan. Begitulah, manfaat itu ditukar dengan kemudaratan.


Seterusnya;



وَلَمَّا جَاءَهُمْ رَسُولٌ مِنْ عِنْدِ اللَّهِ مُصَدِّقٌ لِمَا مَعَهُمْ نَبَذَ فَرِيقٌ مِنَ الَّذِينَ أُوتُوا الْكِتَابَ كِتَابَ اللَّهِ وَرَاءَ ظُهُورِهِمْ كَأَنَّهُمْ لَا يَعْلَمُونَ

Dan setelah datang kepada mereka seorang Rasul dari sisi Allah yang membenarkan apa (kitab) yang ada pada mereka, sebahagian dari orang-orang yang diberi kitab (Taurat) melemparkan kitab Allah ke belakang (punggung)nya, seolah-olah mereka tidak mengetahui (bahwa itu adalah kitab Allah).

وَاتَّبَعُوا مَا تَتْلُو الشَّيَاطِينُ عَلَىٰ مُلْكِ سُلَيْمَانَ

Dan mereka mengikuti apa yang dibaca oleh syaitan-syaitan pada masa kerajaan Sulaiman
(Al Baqarah 101-102)


Inilah pula ayat berkenaan suatu umat yang menolak keimanan kepada rasul dan kitab sehingga Allah uji mereka dengan mereka mengikuti apa yang dibaca oleh syaitan-syaitan. Alangkah jeleknya apa yang mereka pilih. Mereka membeli kemudaratan dengan jalan hidayah!


Begitu banyak lagi ayat-ayat lain yang menceritakan akan keadaan ini.


Alangkah berguna dan bermanfaatnya prinsip ini kepada kita semua terutamanya umat islam, umat dakwah ini. Ketika diberi peluang dan dibukakan pintu-pintu kebaikan yang banyak dalam keadaan kita mampu untuk melakukannya, janganlah memerah otak mencari alasan untuk mengelakkan diri. Jika kita meninggalkan kebaikan-kebaikan ini, Allah akan uji kita dengan kesibukan kepada perkara yang memudaratkan kita.

Prinsip ini memberi teguran yang keras buat kita ikhwah sekalian yang sering memberi alasan dan bertangguh-tangguh.


Kadang-kadang kita memberi alasan untuk menangguhkan amal dakwi kita sama ada tajmik mahupun takwin dengan alasan mahu focus pada bisnes, bina karier terlebih dahulu, focus pelajaran semata-mata, masalah itu dan ini dalam keadaan kita sebenarnya mampu, nescaya kita akan diuji dengan kesibukkan yang lain.

Keadaan ini telah diumpamakan dalam Quran seperti berikut;

وَمِنْهُمْ مَنْ عَاهَدَ اللَّهَ لَئِنْ آتَانَا مِنْ فَضْلِهِ لَنَصَّدَّقَنَّ وَلَنَكُونَنَّ مِنَ الصَّالِحِينَ

Dan diantara mereka ada orang yang telah berikrar kepada Allah: "Sesungguhnya jika Allah memberikan sebahagian karunia-Nya kepada kami, pastilah kami akan bersedekah dan pastilah kami termasuk orang-orang yang saleh

فَلَمَّا آتَاهُمْ مِنْ فَضْلِهِ بَخِلُوا بِهِ وَتَوَلَّوْا وَهُمْ مُعْرِضُونَ

Maka setelah Allah memberikan kepada mereka sebahagian dari karunia-Nya, mereka kikir dengan karunia itu, dan berpaling, dan mereka memanglah orang-orang yang selalu membelakangi (kebenaran).

(At-Taubah :75-76)

Seorang masyaikh da’wah ketika selesai menamatkan pendidikannya di Madinah, mengajak rekannya untuk mulai aktif berda’wah. Diajak menolak, dengan alasan ingin kaya dulu, karena orang kaya suaranya didengar orang dan kalau berda’wah, da’wahnya diterima. Beberapa tahun kemudian mereka bertemu. "Ternyata kayanya kaya begitu saja", ujar Syaikh tersebut.[3]


Semoga prinsip ke-34 ini mengetuk-ngetuk jiwa kita yang keras ini. Mudah-mudahan dapatlah kami berkongsi lagi prinsip dakwi yang lain dari Quran.



[1] Qawaid Hisan;Q34
[2] Ibid
[3] Untukmu Kader Dakwah-KH Rahmat

Thursday, June 15, 2017

HAMALATUL TAURAT YANG DICELA





 Teks Ucapan

Thumma alhamdulillah. Kita telah pun memasuki hari-hari dalam sepuluh malam terakhir Ramadhan untuk Ramadhan kali ini dengan keadaan penuh sihat dan disimbahi nikmat iman dan hidayah. Betapa sedihnya meneropong beberapa hari ke belakang, melihat hari-hari dalam Ramadhan yang berlalu pergi semakin bertambah dengan cepat, tanpa sempat kita memanfaatkan dengan sebaik mungkin.

Oleh itu ikhwah, marilah kita merenung sejenak.


Dalam satu peristiwa yang cukup bersejarah semasa hayat imam Hasan al-Banna memimpin Ikhwan Muslimin iaitu pada tahun 1941, telah diadakan Muktamar Ikhwan yang keenam, yang menghimpunkan wakil-wakil ikhwan dari seluruh pelosok Mesir. Siri-siri pertemuan berbentuk Muktamar ini diadakan dua kali setahun untuk mempertemukan wakil ikhwan dengan tujuan lain yang tertentu.


Muktamar keenam kali ini diadakan selepas hampir 13 tahun ikhwan ditubuhkan, iaitu setelah satu tempoh yang panjang kewujudan ikhwan dalam masyarakat Mesir secara khususnya. Imam al-Banna telah memberikan ucapan beliau dalam muktamar kali ini seperti kelazimannya yang kami kira terdapat beberapa penekanan yang relevan untuk kita teliti bersama.

Antara lain, beliau mengingatkan dan memperjelaskan siapkah ikhwan di era ini?


Persoalan ini sangat penting untuk kita ingatkan kerana sudah menjadi lumrah apabila kita melazimi sesuatu atau memposisikan diri dengan peranan tertentu, dalam tempoh yang panjang perbuatan kita itu akan hilang ruhnya dan akan menjadi rutin. Sehingga kita tidak lagi beramal dan wujud dalam rangka tujuan asal kita berada di dalam sesuatu keadaan.


Inilah juga peringatan yang telah Allah swt sebutkan ketika berbicara tentang Ramadhan, iaitu dengan mengaitkannya dengan Quran dan mengingatkan para sahabat dan kita semua akan fungsi asas dan asal Quran iaitu sebagai;

Huda linna 
Bayyina
      Furqan

Jadi siapakah dan apakah tujuan adanya ikhwan di tengah-tengah masyarakat islam ini?
Daripada bacaan dan kefahaman kami, imam al-Banna menggariskan sekurang-kurangnya 6 fungsi dan tujuan keberadaan ikhwan dalam masyarakat. Secara tidak langsung, ia memberi signal kepada penggerak tarbiyah dan dakwah, bahawa inilah 6 peranan mereka yang perlu sentiasa dihidupkan saat keberadaan mereka.


“Saudara, ingatlah baik-baik bahawa kamu adalah orang asing yang mengajak ke arah kebaikan ketika nilai kemanusiaan sedang hancur luluh. Kamu adalah pemikiran baru. Allah mahu dengan kewujudan kamu ini kamu akan dapat memisahkan manusia kepada dua pihak, pihak yang benar dan pihak yang salah. Ketika ini manusia sedang bergelumang dengan kebenaran dan kepalsuan. Kamu mengajak manusia ke arah Islam, kamu pembawa al-Quran, kamu menghubungkan bumi dengan langit, kamu adalah pewaris Muhammad saw. dan kamu adalah pengganti para sahabat selepas ketiadaan baginda…..”[i]


Dalam kesempatan yang ringkas ini, barangkali kita akan membahaskan salah satu daripada peranan atau fungsi kita semua yang disebutkan dalam teks ucapan di atas iaitu sebagai pembawa al-Quran, atau hamalatul Quran.

Hamalatul Quran


Terminalogi yang dipopularkan oleh sang imam ini tidak kita temui dalam Quran sendiri ataupun dalam hadis (sekitar bacaan penulis). Tetapi term ini cukup makruf dan difahami makna dan tuntutannya. Pembawa Quran yang dimaksudkan adalah rijal yang memikul amanah Quran, yang bertanggungjawab memelihara dan mendirikan arahan-arahan al-Quran, persis generasi sahabat yang telah menjadi generasi pemikul al-Quran yang terbaik.


Perkataan hamalatul berasal dari hamal yang bererti membawa. Tidak hairanlah perempuan yang membawa kandungan yang sarat disebut sebagai perempuan yang hamil, si pembawa (merujuk kepada kandungannya). Yang kita cuba maksudkan dengan hamalatul Quran bukanlah dia seorang yang membawa bebanan mushaf al-quran ke hulu dan ke hilir, tetapi orang yang memikul beban amanahnya.


Dalam quran sendiri mungkin kita tidak akan menjumpai ayat yang secara langsung berbicara tentang hamalatul-Quran. Tetapi Allah swt ada merekodkan kisah bani Israel sebagi pemikul Taurat, atau hamalatul Taurat sebagaimana firman-Nya;


مَثَلُ الَّذِينَ حُمِّلُوا التَّوْرَاةَ ثُمَّ لَمْ يَحْمِلُوهَا كَمَثَلِ الْحِمَارِ يَحْمِلُ أَسْفَارًا ۚ بِئْسَ مَثَلُ الْقَوْمِ الَّذِينَ كَذَّبُوا بِآيَاتِ اللَّهِ ۚ وَاللَّهُ لَا يَهْدِي الْقَوْمَ الظَّالِمِينَ


Perumpamaan orang-orang yang dipikulkan kepadanya Taurat, kemudian mereka tiada memikulnya adalah seperti keledai yang membawa kitab-kitab yang tebal. Amatlah buruknya perumpamaan kaum yang mendustakan ayat-ayat Allah itu. Dan Allah tiada memberi petunjuk kepada kaum yang zalim. (Al-Jumuah :5)


Ayat ini secara ringkas menyebut tentang Bani Israel yang telah diberi kemuliaan memikul amanah kitab Taurat, sebagai hamalatul Taurat, kemudian setelah suatu tempoh (tsumma) mereka tidak lagi memikulnya. Pengabaian mereka kepada kitab Taurat telah dicela dalam ayat ini dan disifati oleh Quran persis keldai yang membawa barangan dalam permusafiran... alangkah jeleknya perumpaan ini.


Sangat besar pengajaran dan hikmah kenapa perbuatan dan akibat hamalatul Taurah ini disebut dalam surah ini. Di sana adanya undang-undang persamaan dalam Quran ataupun Qanun al-Tamatsul[ii]. Sekiranya Bani Israel yang mengabaikan Taurat dicela sedemikian rupa, maka umat Islam yang mengabaikan Quran juga akan mendapat akibat dan persepsi yang sama oleh Allah swt.

Kita berlindung daripada keadaan yang menghinakan ini.

Jadi ikhwah yang dikasihi Allah swt,


Apakah yang berlaku kepada pemikul Taurat sehingga mereka enggan membawa amanah Taurat setelah pada awalnya mereka membawanya dan akibatnya Allah menghinakan mereka?


Tempoh Masa


Disebut dalam ayat tadi, mereka adalah pembawa taurat, yang kemudian berlalu satu tempoh masa yang lama kemudian mereka tidak membawanya lagi. Kata kunci sini adalah pada perkataan Tsumma yang memberi isyarat ada satu tempoh waktu amanah itu dibiarkan sehingga mereka terus mengabaikannya.


Keadaan ini memberi pengajaran kepada kita betapa bahayanya membiarkan diri kita dalam tempoh masa yang lama berenggang dengan al-Quran atau mengabaikan tuntuntan-tuntutannya. Al-Quran ibarat sang kekasih yang cepat merajuk, jika dibiarkan sejenak, ia akan menjauhkan kita dan tidak lagi sudi untuk mendampingi kita.


Juga yang boleh difahami dari menjauhkan diri dari al-quran dan tuntutan beramal dengannya adalah menjauhi amanah-amanah dakwah, menjauhi suasana ibadah, menjauhi orang-orang yang soleh, pertemuan-pertemuan tarbiyah dan majlis-majlis ilmu untuk suatu tempoh sehingga tiba ke suatu keadaan kita berasa janggal dan tidak lagi sudi untuk memenuhi peluang-peluang kebaikan ini.


Sudah ramai yang kita dengari kisah dari ikhwah dan akhowat yang memencilkan diri dari amal islami untuk suatu tempoh sehingga akhirnya mereka terus dilupakan dan melupakan amal-amal yang memuliakan ini. Sehingga apabila diajak kembali mereka merasa janggal dengan dakwah, segan dengan ikhwah serta rasa berdosa dan tidak layak untuk mengisi saf dakwah menghantui diri-diri ini.

Begitu dasyat kesannya mengabaikan amanah sebagai hamalatul Quran.


Buat ikhwah yang sedang diuji dengan pelbagai bentuk ujian, yang dicampak dalam suasana jauh dari amal islami, terputusnya hubungan dari biah solehah dan dikongkong oleh keadaan-keadaan semasa yang mengekang penglibatan dengan dakwah dan tarbiyah, janganlah terus kita mengabaikan tanggungjawab hamalatul Quran ini. Ambillah sekadar sedikit masa untuk bermuhasabah dan jangan biarkan tempoh itu berlalu panjang sehingga Allah mencabut rasa kenikmatan berdakwah dari dada-dada kita.

Jangan biarkan tempoh itu panjang!

Kembalilah saat kita terasa sudah lama tidak diisi. Rujuklah.


Sesungguhnya tempoh waktu yang lama boleh mengeraskan hati, sehingga hilang rasa sensitif terhadap iman, ibadah dan hidayah.


Belumkah datang waktunya bagi orang-orang yang beriman, untuk tunduk hati mereka mengingat Allah dan kepada kebenaran yang telah turun (kepada mereka), dan janganlah mereka seperti orang-orang yang sebelumnya telah diturunkan Al Kitab kepadanya, kemudian berlalulah masa yang panjang atas mereka lalu hati mereka menjadi keras. Dan kebanyakan di antara mereka adalah orang-orang yang fasik. (Hadid :16)




[i] Majmuk Rasail, PBP
[ii] Muntalaq

Monday, June 5, 2017

BULAN BERANGKAT



لَا يَسْتَوِي الْقَاعِدُونَ مِنَ الْمُؤْمِنِينَ غَيْرُ أُولِي الضَّرَرِ وَالْمُجَاهِدُونَ فِي سَبِيلِ اللَّهِ بِأَمْوَالِهِمْ وَأَنْفُسِهِمْ ۚ فَضَّلَ اللَّهُ الْمُجَاهِدِينَ بِأَمْوَالِهِمْ وَأَنْفُسِهِمْ عَلَى الْقَاعِدِينَ دَرَجَةً ۚ وَكُلًّا وَعَدَ اللَّهُ الْحُسْنَىٰ ۚ وَفَضَّلَ اللَّهُ الْمُجَاهِدِينَ عَلَى الْقَاعِدِينَ أَجْرًا عَظِيمًا

Tidaklah sama antara mukmin yang duduk (yang tidak ikut berperang) yang tidak mempunyai 'uzur dengan orang-orang yang berjihad di jalan Allah dengan harta mereka dan jiwanya.

Allah melebihkan orang-orang yang berjihad dengan harta dan jiwanya atas orang-orang yang duduk satu derajat. Kepada masing-masing mereka Allah menjanjikan pahala yang baik (surga) dan Allah melebihkan orang-orang yang berjihad atas orang yang duduk dengan pahala yang besar,..

4:95

Ayat Qur'an yang sering membakar semangat para daie untuk berangkat keluar dari keselesaan, sekiranya tanpa uzur.

Sentiasa menyegarkan. Walaupun terletak pada surah An-Nisa',  surah yang banyak mesej tentang orang yang lemah, tertindas dan tiada upaya.

Bulan Ramadan bulan berangkat keluar..

Begitu banyak peristiwa dalam sejarah kaum Muslimin, mereka berangkat keluar untuk misi ad-Deen ini pada bulan Ramadan.

Meninggalkan lembutnya karpet di masjid, udara yang nyaman di bawa pendingin hawa dan juadah yang lazat..

Kerana seorang yang faham tahu, yang menyucikan seseorang bukan la tanah di mana dia berada. Tetapi amal-amal dan keberangkatan yang dia lakukan di jalan Allah.


.. Ibnu Taimiyah telah berkata:

 “Abu Hurairah telah berkata:

“Berjaga satu malam di kubu pertahanan jihad lebih aku suka daripada berdiri (bersembahyang) pada malam lailatul qadar di sisi Hajar Aswad.

Bumi yang paling mulia bagi seorang manusia ialah bumi yang paling dia taat kepada Allah dan rasulNya. Ia berbeza mengikut situasi. Tidak ditentukan bumi mana  yang lebih mulia yang dipijaki oleh manusia, tetapi yang lebih mulia bagi setiap manusia tertakluk kepada sifat takwa, taat, khusyuk, tunduk dan hadir hatinya di hadapan Allah.


Rujukan :
Muhammad Ahmad Ar-Rashid:Muntalaq