Sunday, September 30, 2018
HIJRAH YANG LUAR BIASA
Dikatakan Rasulullah pernah bersabda,
حب الوطن من الإيمان.
Yang bermaksud,
"Cintakan tanah air sebahagian daripada iman"
Namun begitu ulama hadith menyatakan kalam ini tidak thabit dari Rasulullah dari segi diroyah. Manakala dari segi makna, kenyataan ini ada benarnya & mempunyai ukuran yang tertentu di sisi Islam.
Jika tidak pun kecintaan pada tanah air bahagian daripada iman, namun mencintai tanah air adalah sesuatu yang selari dengan fitrah manusia & diraikan di sisi Islam.
Tempat jatuh lagikan dikenang, inikan pula negeri kelahiran. Sudah tentu ia adalah sesuatu yang tabie, seseorang yang dilahirkan di sesuatu watan, membesar, makan & minum hasil bumi tanah kelahiran tersebut akan jatuh cinta & mempunyai hubungan kejiwaan yang halus dengan tanah airnya.
Sudah tentu tiada salahnya!
Bahkan dikatakan Rasulullah pernah bersabda menggambarkan kecintaan baginda kepada Kota Mekah ;
والله إنك لخير أرض الله وأحب أرض الله إلى الله، ولولا أني أخرجت منك ما خرجت
"Demi Allah, sesungguhnya engkau (Mekah) adalah sebaik baik bumi & bumi yang paling dicintai oleh Allah. Kalaulah aku tidak dihalau keluar darimu, nescaya aku tidak akan keluar..."
(Terjemahan bebas)
Lebih hebat dari itu, al-Quran turut meletakkan kecintaan kepada bumi tempat tinggal atau tanah air pada standard yang tinggi, setinggi cinta pada diri & agama.
Firman Allah,
وَلَوْ أَنَّا كَتَبْنَا عَلَيْهِمْ أَنِ اقْتُلُوا أَنْفُسَكُمْ أَوِ اخْرُجُوا مِنْ دِيَارِكُمْ مَا فَعَلُوهُ إِلَّا قَلِيلٌ مِنْهُمْ..
Dan sesungguhnya kalau Kami perintahkan kepada mereka: "Bunuhlah dirimu atau keluarlah kamu dari kampungmu", niscaya mereka tidak akan melakukannya kecuali sebagian kecil dari mereka....
An-Nisa : 66
Dalam ayat ini perintah Allah untuk membunuh diri mereka berdiri selari dengan perintah keluar dari kampung halaman mereka.... Menunjukkan ketinggian kecintaan kepada al-wathan, setinggi cinta pada diri...
Manakala dalam ayat :
لَا يَنْهَاكُمُ اللَّهُ عَنِ الَّذِينَ لَمْ يُقَاتِلُوكُمْ فِي الدِّينِ وَلَمْ يُخْرِجُوكُمْ مِنْ دِيَارِكُمْ أَنْ تَبَرُّوهُمْ وَتُقْسِطُوا إِلَيْهِمْ ۚ إِنَّ اللَّهَ يُحِبُّ الْمُقْسِطِينَ
Allah tidak melarang kamu untuk berbuat baik dan berlaku adil terhadap orang-orang yang tiada memerangimu karena agama dan tidak (pula) mengusir kamu dari negerimu. Sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang berlaku adil.
Mumtahanah : 8
Dua hal yakni tidak memerangi kerana agama & tidak mengusir dari kampung halaman berdiri sama tinggi. Ini menunjukkan cubaan mengusir seseorang dari kampung halaman mereka ditanggap dengan begitu serius dalam Islam sama seperti memerangi mereka dalam urusan agama.
Apa lagi hujah untuk menafikan betapa benarnya & mulianya kecintaan kepada tanah air?
Nah, di sinilah kita belajar menghargai & takjub kepada Ikhwah Muhajirin dari kalangan sahabat.
Meskipun tanah air itu mereka cintai, & cinta itu mulia, tabie & tinggi nilainya di sisi islam... Sanggup cinta itu mereka gadaikan demi sebuah perintah hijrah.
Kadangkala hijrah untuk agama menuntut kita memberi sesuatu yang luar dari kebiasaan....
Salam Maal Hijrah 1440 H
🙂
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment