Terkait dengan
Maryam as, satu babak kisah dalam Qur’an yang akan kita kupas sekejap lagi
mempunyai seribu satu pelajaran untuk kita semua, terutamanya untuk mereka yang
giat menyampaikan mesej-mesej kebenaran, bercerita tentang al-Qur’an dan Islam.
Firman Allah
SWT;
فَتَقَبَّلَهَا رَبُّهَا بِقَبُولٍ حَسَنٖ وَأَنۢبَتَهَا نَبَاتًا حَسَنٗا
وَكَفَّلَهَا زَكَرِيَّاۖ كُلَّمَا دَخَلَ عَلَيۡهَا زَكَرِيَّا ٱلۡمِحۡرَابَ وَجَدَ
عِندَهَا رِزۡقٗاۖ قَالَ يَٰمَرۡيَمُ أَنَّىٰ لَكِ هَٰذَاۖ قَالَتۡ هُوَ مِنۡ عِندِ
ٱللَّهِۖ إِنَّ ٱللَّهَ يَرۡزُقُ مَن يَشَآءُ بِغَيۡرِ حِسَابٍ
Maka
ia diterima oleh Tuhannya dengan penerimaan yang baik, dan dibesarkannya dengan
didikan yang baik, serta diserahkannya untuk dipelihara oleh Nabi Zakaria.
Tiap-tiap kali Nabi Zakaria masuk untuk menemui Maryam di Mihrab, ia dapati rezeki
(buah-buahanan yang luar biasa) di sisinya.
Nabi
Zakaria bertanya:" Wahai Maryam dari mana engkau dapati (buah-buahan)
ini?" Maryam menjawab; "Ialah dari Allah, sesungguhnya Allah
memberikan rezeki kepada sesiapa yang dikehendakiNya dengan tidak dikira".
Surah
Ali Imran, Ayat 37
Sungguh ajaib.
Meskipun di mata seorang Nabi persis Zakariya. Keanehan yang Nabi Zakariya
dapati apabila melihat rezeki mencurah-curah turun kepada Maryam membuatkan dia
langsung bertanya. Ayuh kita beri perhatian kepada jawapan Maryam yang
bersahaja dan kesannya kepada Nabi Zakariya sejurus mendengar jawapan
berkenaan.
Kata Maryam;
"Ialah
dari Allah, sesungguhnya Allah memberikan rezeki kepada sesiapa yang
dikehendakiNya dengan tidak dikira”
Jawapan dari
Maryam ini sangat biasa, logik dan bersahaja. Tentu sahaja rezeki itu dari
Allah bukan? Ia satu hakikat yang kita tahu, apatah lagi bagi seorang Nabi
seperti Nabi Zakariya. Ia bukanlah pelajaran baharu. Dan melihat kepada tutur
kata Maryam itu, beliau sekadar menjawab pertanyaan tanpa sebarang niat lain.
Namun ternyata
jawapan yang bersahaja, kata-kata yang ringkas dan mantap itulah telah
menyentap sanubari Nabi Zakariya. Kesimpulan sederhana ini dapat kita buat
apabila memerhatikan kesan langsung kepada tindak-tanduk Nabi Zakariya yang
direkodkan dalam al-Qur’an pada ayat berikutnya;
هُنَالِكَ دَعَا زَكَرِيَّا رَبَّهُۥۖ قَالَ رَبِّ هَبۡ لِي مِن لَّدُنكَ
ذُرِّيَّةٗ طَيِّبَةًۖ إِنَّكَ سَمِيعُ ٱلدُّعَآءِ
Ketika
itu Nabi Zakaria berdoa kepada Tuhannya, katanya:" Wahai Tuhanku! Kurniakanlah
kepadaku dari sisiMu zuriat keturunan yang baik; sesungguhnya Engkau sentiasa
Mendengar (menerima) doa permohonan".
Surah
Ali Imran, Ayat 38
Perkataan هُنَالِكَ membawa erti di situ juga. Ya! Di situ
juga, tanpa berganjak, langsung dia berdoa kepada tuhannya. Ungkapan ini
menunjukkan betapa kuat dan mendalamnya kesan yang dialami oleh Nabi Zakariya
sejurus mendengar “tarbiyah sentap” dari Maryam tadi.
Sekiranya kita menghayati perjalan hidup
Nabi Zakariya yang sudah puluhan tahun berdoa dan mengharapkan zuriat dari
Allah SWT sebagaimana disebut dalam ayat-ayat yang lain, tentu babak ini dan
tindak-tanduk ini akan lebih bermakna buat kita. Nabi Zakariya barangkali
hampir berputus asa dan kecewa dalam berharap, namun mendengar sahaja tutur
Maryam bahawa Allahlah yang memberi rezeki tanpa kira, tanpa hisab, dia kembali
dari kekecewan, penuh harapan.
2 Pelajaran besar buat kita di sini;
Pertama, kadang-kadang satu ungkapan yang
sama itu memberi kesan pada satu ketika dan tidak memberi kesan pada ketika
yang lain. Kita tidak tahu, pada waktu manakah kata-kata kita yang bertujuan
mengajak kepada kebaikan itu akan menghantarkan si pendengar kepada pintu
hidayah. Mungkin tidak ada kesannya hari ini, tetapi boleh jadi esok.
Lantas, kita hanya dituntut untuk terus
menyampaikan. Semakin kerap, berterusan dan banyaknya ungkapan nasihat yang
kita berikan, maka bertambahlah pulak kebarangkalian kata-kata itu akan bertemu
si pendengar pada saat yang tepat. Jadi saudaraku, jangan berhenti dalam usaha
dakwahmu itu!
Kedua, inilah
rahsia dan kehebatan yang mungkin terpancar kepada sosok Maryam. Bagaimana
kata-kata yang terpacul dari beliau itu pada kesempatan yang tepat telah
menusuk masuk ke sanubari Nabi Zakariya tanpa berlengah-lengah, terus dan
memberi kesannya. Kata-kata yang sampai atau balagh ini adalah kesan langsung
dari keimanan yang mantap si yang menuturkannya.
Iman, ibadah dan
mujahadah mempunyai kekuatan tersendiri dan mempengaruhi kata-kata ajakan kita
kepada orang lain. Sesetengah kaum salaf memberi nasihat, kata-kata dari
pemilik hati yang bersih akan sampai kepada pendengar. Manakalah petutur yang
mempunyai hati yang kotor, kata-katanya ibarat mencurahkan air ke daun keladi.
Begitulah kata-kata nasihat yang kita petik dan sampaikan semula dalam edisi yang
telah diubahsuai.
***
Petikan buku : Wanita Yang Diabadikan Dalam al-Qur'an
1 comment:
Thanks for sharing, nice post! Post really provice useful information!
Hương Lâm chuyên cung cấp máy photocopy, chúng tôi cung cấp máy photocopy ricoh, toshiba, canon, sharp, đặc biệt chúng tôi có cung cấp máy photocopy màu uy tín, giá rẻ nhất.
Post a Comment