Sesungguhnya Allah itu baik dan tidak menerima melainkan
yang baik-baik sahaja. Ini adalah pelajaran penting yang kita petik tatkala
meneliti kalam Nubuwwah yang dihimpun oleh al-Imam An-Nawawi dalam himpunan
hadis Arbainnya. Sabda Rasulullah SAW;
إِنَّ اللهَ طَيِّبٌ لاَ يَقْبَلُ إِلاَّ طَيِّباً
“Sesungguhnya Allah Ta’ala itu baik (thayyib), tidak menerima kecuali yang baik
(thayyib)..”
Hadis ini masih panjang namun kita memetik sekadar
melengkapkan pelajaran di pusingan ini. Para hamba-Nya yang memahami dengan
mendalam ungkapan hadis di atas pasti tidak senang duduk memikirkan amal-amal
yang telah kita lakukan di hari-hari semalam. Adakah yang terbaik dan diterima
oleh Allah SWT? Satu muhasabah yang menginsafkan. Sudikah Allah SWT menerima
amal-amal kita yang penuh sambil lewa, acuh tak acuh dan penuh
ketidaksempurnaan itu?
Tambahan pula, ada ayat Qur’an yang menggerunkan berkenaan
hal ini;
وَقَدِمۡنَآ إِلَىٰ مَا عَمِلُواْ مِنۡ عَمَلٖ فَجَعَلۡنَٰهُ
هَبَآءٗ مَّنثُورًا
Dan Kami tujukan perbicaraan kepada apa yang mereka telah
kerjakan dari jenis amal (yang mereka pandang baik), lalu Kami jadikan dia
terbuang sebagai debu yang berterbangan.
Surah Al-Furqan, Ayat 23
Subhanallah, di hari kiamat nanti ada jenis amal yang
dipertontonkan oleh Allah SWT, yang dianggap baik oleh si pelaku di dunia.
Malangnya, amal-amal itu tidak diterima oleh Allah. Sebaliknya, amal-amal itu
menjadi debu berterbangan, lenyap begitu sahaja. Kita berlindung dengan Allah
SWT agar tidak termasuk dalam golongan tersebut dan bermunajat semoga amal-amal
kita baik yang lepas mahupun yang akan datang diterima oleh Allah SWT.
Namun hati mana yang tidak gusar setiap kali memikirkan
penerimaan Allah SWT ini? Nah, di sini kita belajar sesuatu. Sekali lagi dari
kisah Isteri Imran. Amalan dan pemberian Isteri Imran telah diisytiharkan oleh
al-Qur’an bahawa ia diterima oleh Allah SWT. Bukan sahaja diterima, tetapi
Allah menerima dengan penerimaan yang baik, Qobul Hasan! Masha Allah, luar
biasa!
Firman Allah SWT;
فَتَقَبَّلَهَا رَبُّهَا بِقَبُولٍ حَسَنٖ وَأَنۢبَتَهَا نَبَاتًا
حَسَنٗا وَكَفَّلَهَا زَكَرِيَّاۖ
Maka ia (Maryam yang dinazarkan oleh ibunya) diterima oleh
Tuhannya dengan penerimaan yang baik, dan dibesarkannya dengan didikan
yang baik, serta diserahkannya untuk dipelihara oleh Nabi Zakaria...”
Surah Ali Imran, Ayat 37
Alangkah cemburunya kita kepada Isteri Imran tatkala
pemberian, nazar dan amalnya itu telah mendapat ruang khusus dalam ayat Qur’an
dan diumumkan dengan terang-terangan bahawa Allah telah menerimanya. Memang
wajar! Sungguh berbaloi nazar dan pemberian sedemikian sekiranya mendapat
jaminan penerimaan daripada Rabbul Izzati, pemilik Alam ini.
Namun adakah Isteri Maryam tahu berkenaan hal ini,
penerimaan dan jaminan ini? Pada amatan kita, tidak. Dia tidak tahu. Allah SWT
menceritakan hal ini di kemudian hari, dalam ayat-ayat-Nya supaya kita yang
membaca ini tahu dan mengambil teladan. Baik kita mahupun sesiapun tidak tahu,
adakah amal-amal kita diterima oleh Allah SWT. Sama ada Allah terima atau
tidak, hal ini kekal rahsia dengan hikmah tersendiri. Antaranya, supaya jiwa
para hamba sentiasa cemas dan mencuba untuk memberikan yang terbaik dalam
setiap amalnya.
Namun sekurang-kurangnya di hadapan kita, ada kisah dan
cerita peribadi-peribadi yang telah berbuat dan amalan mereka mendaki ke langit
dengan penuh bergaya lalu diterima oleh Allah SWT. Inilah dia wanita dambaan
al-Qur’an yang mengajarkan kita bagaimana mempersembahkan amal yang terbaik
sehingga diterima oleh Allah SWT.
Ada lagi pelajaran lain yang boleh kita cerna dari saki-baki
ayat di atas. Mari kita perhatikan sekali lagi;
فَتَقَبَّلَهَا رَبُّهَا بِقَبُولٍ حَسَنٖ وَأَنۢبَتَهَا نَبَاتًا
حَسَنٗا وَكَفَّلَهَا زَكَرِيَّاۖ
Maka ia (Maryam yang dinazarkan oleh ibunya) diterima oleh
Tuhannya dengan penerimaan yang baik, dan dibesarkannya dengan didikan
yang baik, serta diserahkannya untuk dipelihara oleh Nabi Zakaria...”
Surah Ali Imran, Ayat 37
Setelah al-Qur’an mengumumkan bahawa nazar itu diterima
dengan penerimaan yang baik, di sana ada implikasi atau kesan yang boleh kita
amati apabila amal, hasrat atau nazar itu diterima. Iaitu bagaimana Allah telah
menyiapkan asbab-asbab supaya impian dan nazar Isteri Imran untuk menjadi
realiti. Sekurang-kurangnya, dua asbab dapat kita keluarkan;
1) Allah menyiapkan bayi Maryam untuk tumbuh besar dalam
suasana dan perwatakan yang baik.
2) Allah menyerahkan penjagaan Maryam ini dibawah jagaan dan
peliharaan Nabi Zakariya
Kita akan lihat satu persatu bagaimana asbab-asbab ini
menatijahkan nazar dengan takdir dan izin Allah SWT.
Pertama, Maryam telah tumbuh dan membesar dengan baik. Ini
dapat kita simpulkan melalui frasa وَأَنۢبَتَهَا
نَبَاتًا حَسَنٗا. Daripada ungkapan ini juga, ada 2 pelajaran lain yang
kami ingin kongsi.
1) Perkataan وَأَنۢبَتَهَا lebih tepat
diterjemahkan “..dan ditumbuhkan dia..” kerana perkataan nabat sering dikaitkan
dengan pertumbuhan tanaman seperti yang digunakan dalam banyak tempat dalam
al-Qur’an. antaranya,
وَٱللَّهُ أَنۢبَتَكُم مِّنَ ٱلۡأَرۡضِ نَبَاتٗا
"Dan Allah telah menumbuhkan kamu (hidup dari
benda-benda yang berasal) dari bumi, dengan pertumbuhan yang sungguh-sungguh
sempurna,
Surah Nuh, Ayat 17
Penggunaan perkataan ini memberi gambaran bahawa Bayi Maryam
ini telah dipastikan untuk tumbuh dengan baik sejak kecil, seperti
tanaman-tanaman yang tumbuh segar dan luar biasa khasiatnya. Nah, untuk satu
tumbuhan itu tumbuh dengan baik, ada dua faktor utama yang menentukan, iaitu
kondisi luaran yang dia dterima seperti keadaan tanah, air, cahaya matahari
etc, dan juga kondisi benih itu sendiri. Jika benih itu bukan dari baka yang
baik dan tidak terkumpul padanya genetik-genetik yang membawa khasiat, tidak
ada gunanya suasana pertanian yang hebat.
Jadi sebenarnya, tumbesaran Maryam yang baik itu telah
dipastikan daripada kedua-dua aspek ini. Dia tumbuh dalam suasana penuh solehah
dan Maryam sendiri telah mewarisi perwatakan-perwatakan yang luar biasa dari
Sang Ibu dan Ayah. Jadi para ibu dan ayah, kemunculan anak yang luar biasa
manfaatnya bermula di peringkat Ibu Bapa lagi!
2) Seterusnya, perhatikan lagi pada ungkapan وَأَنۢبَتَهَا نَبَاتًا حَسَنٗا yang bermaksud
dan dibesarkannya dengan pembesaran/pertumbuhan yang baik. Frasa ini sangat
unik kerana menghimpunkan kata kerja dan kata nama. Dalam bahasa Arab, teknik
ungkapan ini disebut sebagia maf’ul mutlaq, iaitu secara mudahnya, apabila
dalam satu ayat, perbuatan atau kata kerja kemudian disusuli dengan kata nama.
Ungkapan ini dalam bahasa Arab digunakan antaranya bertujuan
untuk memberi penekanan dan pendetailan kepada kata kerja atau perbuatan tadi.
Dalam ayat di atas, sudah memadai Allah menyebut “dibesarkannya”. Tetapi tidak
cukup, ditegaskan bahawa Maryam telah dibesarkan dengan pembesaran/pertumbuhan
yang hasanan. Masha Allah, besarnya perhatian Allah SWT dalam memastikan nazar
Isteri Imran ini menjadi kenyataan!
Asbab kedua yang dipersiapkan oleh Allah SWT untuk
takdir yang ditentukan buat Bayi Perempuan ini ialah, beliau telah dijaga dan
dipelihara oleh Nabi Zakariya yang mempunyai hubungan kekeluargaan dengan ibu
dan ayahnya. Sebenarnya pada penggunaan perkataan kafalah itu sendiri mempunyai
maksud yang tersendiri dan lebih memukau, namun cukuplah kita bawa kesimpulan
bahawa Allah SWT telah menerima nazar Isteri Imran ini dan mengadakan baginya
asbab-asbab supaya nazar dan hasrat yang baik itu menjadi realiti.
Saudaraku,
Tidak keterlaluan jika di penghujung pelajaran dari Isteri
Imran ini, kita temukan satu kaedah dalam memahami al-Qur’an. Iaitu, petanda
apabila Allah telah menerima amal, nazar dan hasrat murni kita itu, Allah akan
mudahkan dan persiapkan jalan-jalannya!
Maka marilah kita memasang impian yang tinggi mengunung
untuk islam ini, berusahan dan beramal ke arah itu. Mudah-mudahan tumuhat itu
diterima oleh Allah SWT dan dipersiapkan jalan-jalannya, amin.
Tamatlah pusingan pelajaran dari Wanita al-Qur’an yang
bernama Hannah ini.
Petikan dari buku : Wanita yang diabadikan Dalam Qur'an
Bakal terbit