Ayuh kita hayati beberapa baris
pesanan dari Imam Hasan al-Banna di bawah untuk para pemuda dan sampaikan
kepada pemuda-pemuda yang lain, yang belum sampai kepada pengetahuan mereka
mesej dan amanat ini.
***
Sesungguhnya sesuatu fikrah itu
hanya boleh berjaya bila mana terdapat pengikut-pengikut yang yakin penuh
dengan ajarannya, yang benar-benar ikhlas dalam usaha menegakkannya, yang
mempunyai semangat yang berkobar untuk mempertahankan kewujudannya, dan
disamping itu ada kesediaan yang mendorong mereka kearah berkorban serta terus
bertindak menjayakannya. Keempat-empat rukun tersebut; keimanan, keikhlasan,
semangat dan tindakan adalah merupakan ciri-ciri utama pemuda.
Kesimpulan ini ialah kerana asas
keimanan itu ialah hati yang cerdik; asas keikhlasan ialah sanubari yang jernih
dan bersih, dan asas semangat insan ialah perasaan yang segar mekar; manakala
asas bagi setiap tindakan pula ialah keazaman yang gagah lagi tabah.
Itulah sebabnya maka angkatan
pemuda, sejak dahulu hingga sekarang, tetap merupakan tiang pasak bagi
kebangkitan sesuatu umat. Mereka merupakan rahsia kekuatan mana-manah
kebangkitan; malahan angkatan pemuda jugalah yang menjadi barisan penjulang
panji-panji bagi sesuatu fikrah perjuangan.
Allah SWT berfirman;
إِنَّهُمْ
فِتْيَةٌ آمَنُوا بِرَبِّهِمْ وَزِدْنَاهُمْ هُدًى
Sesungguhnya mereka
itu adalah pemuda-pemuda yang beriman dengan Tuhan mereka; dan Kami tambahkan
petunjuk kepada mereka.
(Surah al-Kahfi, Ayat 13)
(Surah al-Kahfi, Ayat 13)
Dengan kesimpulan inilah maka
kamu angkatan pemuda akan menghadapai kewapian yang bertambah banyak, tugas
yang semakin besar, tuntutan-tuntutan umat yang kian berlipat ganda, malah dari
sinilah maka amanah yang dipikul ke atas
bahu kamu itu bertambah menjadi lebih berat. Oleh itu hendaklah kamu berfikir
panjang lebar, mestilah bekerja keras, bahkan mestilah kamu menentukan sikap
untuk tampil ke hadapan menyelamatkan umat serta menunaikan hak-hak mereka
dengan sempurna melalui angkatan pemuda sendiri.[1]
***
Daripada sebahagian kecil risalah untuk pemuda di atas dapat
kita simpulkan bahawa pemuda sepanjang zaman adalah;
1)
Pilar kebangkitan setiap
umat
2)
Rahsia kekuatan dalam
setiap kebangkitan; dan
3)
Pengibar panji setiap
fikrah
Ini selari dengan firman Allah
yang dinaqalkan di atas. Tidak hairanlah siri serangan pemikiran banyak
bertumpu untuk menyerang anak-anak muda. Apabila anak muda telah terpesong,
maka bangunan islam hanya tunggu masa untuk rebah dan ranap. Kebangkitan adalah
mustahil tanpa pemuda. Kekuatannya hilang dan tiada lagi angkatan yang akan
mengibarkan panji fikrah islam.
Pemuda Contoh Bernama Ibrahim
Fikrah islam yang cergas dan
mekar di tangan pemuda contoh telah dibuktikan oleh al-Qur’an melalui kisah
usaha dakwah yang gigih dan giat oleh Nabi Ibrahim as. Setelah beliau memukul
dan memecahkan berhala yang menjadi tandingan bagi Allah SWT dan disembahi oleh
kaumnya, maka gegak gempita la keadaan kaumnya mencari pelaku bagi perbuatan
berkenaan.
Allah SWT berfirman;
قَالُواْ مَن فَعَلَ هَٰذَا بِـَٔالِهَتِنَآ إِنَّهُۥ لَمِنَ ٱلظَّلِمِينَ
(Setelah melihat
kejadian itu) mereka bertanya: "Siapakah yang melakukan perbuatan yang
demikian terhadap tuhan-tuhan kami? Sesungguhnya adalah ia dari orang-orang
yang zalim".
-Sura Al-Anbiya',
Ayah 59
Mereka bertanya-tanya sesama
mereka, tidak menjangkakan adanya saingan lain terhadap tuhan mereka. Kelihatan
muncul fikrah lain yang menyalahi apa yang mereka lakukan selama ini. Fikrah
yang positif dan aktif. Fikrah yang bangkit menentang kemungkaran. Bukan fikrah
yang negatif dan pasif. Siapakah pelakunya?!
قَالُواْ سَمِعۡنَا فَتٗى يَذۡكُرُهُمۡ يُقَالُ لَهُۥٓ إِبۡرَٰهِيمُ
(Setengah dari)
mereka berkata: "Kami ada mendengar seorang anak muda bernama Ibrahim,
mencacinya".
-Sura Al-Anbiya',
Ayah 60
Ketika sesi berbincang dan saling
bertanya-tanya itu berlangsung, maka sebahagian mereka terus menuduh dan
menyebut nama Nabi Ibrahim. Tidak nama suspek-suspek yang lain. Yang terpacul
keluar, terus nama Nabi Ibrahim. Lebih menarik mereka menyifati beliau sebagai
seorang anak muda.
Apakah maksudnya kepada kita?
Maksudnya Nabi Ibrahim walaupun
seorang diri membawa fikrah islam yang sahih itu, telah dikenali oleh kaumnya.
Dia telah menjadi satu angkatan muda yang kuat walaupun seorang diri. Beliau
telah menjadi pilar bagi fikrah islam. Beliau telah menjadi rahsia kekuatan
bagi fikrah islam meskipun perlu berhadapan dengan kumpulan sesat yang ramai
dan kuat. Dan ternyata panji fikrah islam telah berkibar megah di tangannya
sehingga ia dikenali umum.
Paling penting, ketika ini semua
berlaku, beliau merupakan seorang anak muda. Nah, apa pula anak muda kita
lakukan untuk mempertahan fikrah islam daripada diseleweng dan dijumudkan oleh
musuh-musuh islam melalui pelbagai serangan?