Izinkan kami
menulis lagi pada malam yang hening ini berkongsi rasa dan tadabur apabila
menghadap ayat-ayat Allah dengan pengalaman tarbiyah dan secebis ilmu. Pada ayat
di bawah, Allah mengungkapkan dengan penuh kehairanan! Kaifa?! Bagaimana?
Satu persoalan
timbul!
Bagaimana kamu
boleh kufur, kembali kafir sedangkan dibaca ke atas kamu ayat-ayat Allah dan
dalam kalangan kamu ada RasulNya!
Pelik!
وَكَيۡفَ تَكۡفُرُونَ وَأَنتُمۡ تُتۡلَىٰ عَلَيۡكُمۡ ءَايَٰتُ ٱللَّهِ
وَفِيكُمۡ رَسُولُهُۥۗ وَمَن يَعۡتَصِم بِٱللَّهِ فَقَدۡ هُدِيَ إِلَىٰ صِرَٰطٖ مُّسۡتَقِيمٖ
Dan bagaimana kamu
akan menjadi kafir padahal kepada kamu dibacakan ayat-ayat Allah (Al-Quran),
dan dalam kalangan kamu ada RasulNya (Muhammad, s.a.w)?
-Sura Aal-E-Imran,
Ayah 101
Apa yang pelik?
Pada amatan kami, ayat ini memberi isyarat bahawa dengan dua
benda ini cukuplah untuk meyakinkan manusia untuk beriman dan untuk terus istiqomah mendiami iman tersebut;
iaitu melazimi ayat Qur’an dan adanya para Rasul yang mendampingi mereka. Dengan
dua unsur ini, sepatutnya sangat pelik mereka masih kufur kepada Allah swt!
Dalam situasi tarbiyah kita, barangkali kita boleh anggap
dua kunci atau unsur yang boleh membantu bahkan perlu bagi seorang akh untuk
terus istiqomah dalam amal islami ialah tarbiyah bermanhaj yang berterusan dan
hadirnya seorang sosok murabbi.
Jika terus hadir wasilah tarbiyah, sering dibacakan
ayat-ayat Allah, mengkaji ilmu islam dan keluasan ilmu Allah ditambah pula
adanya murabbi di sisi, bagaimana lagi antum boleh futur??
Inilah ibrah yang menjenguk masuk ke dalam kotak pemikiran
kami. Betapa manusia itu berhajat kepada dua benda ini untuk terus bersemangat
waja dalam amalnya; sumber tarbiyah dan seorang murabbi!
Saudaraku,
Betapa kita berhajat kepada tarbiyah.
Betapa berhajatnya kita pada tarbiyah, dengan materinya yang
tersusun dan dengan seorang murabbi ini mengingatkan kita bagaimana hubungan
guru dan pelajar dalam kesenjangan atau pemeringkatan dunia akademik.
Ketika kita masih di bangku sekolah, biasanya seorang guru
mempunyai puluhan dan bahkan mungkin ratusan murid dengan seorang guru menjadi
guru untuk beberapa kelas. Begitu tingkatan atau “darjah” kompleksiti dan
tingkatan akademik ini menaik, ratio murid : guru semakin mengecil.
Atau lebih jelas kita lihat di IPT. Ketika kita berada di
kelas undergraduate, seorang pensyarah menjadi rujukan ratusan siswa. Begitu siswa
itu meningkat dari sarjana muda, sarjana dan sehingga kedoktoran, bilangan
pelajarnya berkurang untuk setiap pensyarah atau penyelia.
Kerana apa?
Bukankah jika difikirkan logik, makin tinggi level akademik
seseorang makin matang dan makin kurang kebergantungan dia kepada gurunya? Lalu
kenapa seorang pensyarah tidak menyelia ratusan kalau tidak ribuan calon PhD
pada satu-satu masa?
Ternyata, makin tinggi ilmu dan pemeringkatan akademik
seseorang, makin dia memerlukan bimbingan khusus seorang guru, seorang murabbi.
Begitu mudah hal ini difahami dalam dunia akademik. Pelajar akur betapa mereka
berhajat kepada seorang sosok yang dinamakan penyelia tatkala pemeringkatan
dalam akademik mereka menaik selangkah demi selangkah!
Nah, bagaimana dalam tarbiyah? Bukankah perkara sama juga
berlaku?
Makin lama, mendalam tarbiyah dan tinggi pemeringkatan
tarbiyah bermakna makin dia berhajat kepada sosok murabbi. Tidak ada istilah
seseorang akh telahpun tamat institusi tarbiyah dan boleh menjadi alumni.
Sekiranya seseorang itu merasakan telah lama mengikuti
program tarbiyah, telah menghafal separuh al-Quran dan sebilangan besar hadith
Rasulullah maka dia sudah bersedia untuk membebaskan diri dari keterikatan pada
sistem ini, ternyata itu satu kefahaman yang fatal. Bahkan di puncak level
tarbiyahlah seseorang itu makin terdedah kepada pemesongan, penyelewengan dari
ghayah yang asal dan berhadapan dengan jeneral syaitan yang lebih berpengalaman
mengelabui pemikiran dan kejernihan hati manusia!
Jadi teruslah memeluk erat tarbiyah meskipun engkau telah
melangkau jauh ke puncak iman. Kerana dengan tarbiyah dan adanya murabbi inilah
kunci kalian tidak berpaling dan futur!