Kali terakhir saya memuat naik sebarang entry dalam blog ini
ialah pada bulan Februari tahun ini. Satu pencapaian yang mendukacitakan kerana
walaupun tempoh PKP yang lama, tiada catatan bernilai telah dimuatkan. Benarlah,
if you want to get a job done, give it to the busiest person! Satu ungkapan
yang mungkin ada benarnya.
Masa memang unik! “Demi masa!”, sumpah Allah swt dan betapa benarlah
sumpahan Allah, manusia dalam kerugian. 3 bulan PKP tidak akan kembali lagi. Jika
pun ia dikuat kuasakan semula, ia adalah makhluk baharu, bukan hari-hari lampau
yang telah pergi. Satu muhasabah!
Tetapi saya cuba kembali lagi kerana nature dakwah from
home ini sangat menyebabkan para
daie mudah tertipu dan terpedaya dengan dakwah yang kelihatan mudah! Semuanya dengan
klik-klik dan sedikit persiapan bermain papan kekunci yang boleh dibuat di
penjuru katil, di bawah bayu pendingin hawa!
Di mana kita bermula ?
Mungkin dengan mengenangkan kembali sebarang dua kisah yang
sudah makin menipis dalam ingatan. Cikgu Sarimah merupakan cikgu Bahasa Melayu
kami di MRSM suatu ketika dahulu. Sudah tentu cikgu-cikgu Bahasa Melayu sangat
gigih mengajar kami sehingga skill menulis kami pada hari ini masih baik. Semoga
setiap tulisan yang baik, susunan kata yang tersebar dan difahami sekelian umat
dengan membawa seribu satu peringatan, pahalanya turut mengalir dan dinikmati
oleh para guru kami, apatah kedua ibu bapa kita !
Kenapa kita bermula dengan kisah Cikgu Sarimah ?
Saya tidak tahulah bagaimana untuk membalas jasa para guru. Hanya
Allah swt yang mampu mengganjari usaha, kesungguhan dan keikhlasan mereka!
Namun saya agak gembira mengingatkan Cikgu Sarimah. Ini kerana,
ketika kami memulakan dakwah nun jauh di pekan Gombak sekitar 2013 seumpamanya,
ditakdirkan Allah anak Cikgu Sarimah pada waktu itu termasuk dalam senarai pemegang
biasiswa yang akan melanjutkan pelajaran ke luar negara. Kami tidak menyangka
dalam sekelian individu yang disantuni, beliau adalah anak guru kami yang kami
sanjungi. Mari kita namakan dia Ikhwan. Beliau telah menjadi sebahagian daripada
ahli halaqah kecil yang dibawa oleh anak didik halaqah kami di situ.
Ketika bertaaruf dengan Ikhwan, kami sangat terkejut dan
gembira akan perjalanan hidup ini. Bagaimana Allah swt memberi kami sedikit ruang
dan peluang untuk membalas jasa guru kami dengan menyantuni anaknya,
lebih-lebih lagi disantuni dengan rangka berkongsi nikmat tarbiyah islam. Luar biasa
takdir ini!
Kisah yang tak seberapa penting untuk kalian baca ini telah
menguatkan kefahaman dan keimanan saya kepada suatu scenario yang dikhabarkan oleh
Allah swt dalam surah al-Kahfi.
Allah swt telah mengutus hamba-hamba-Nya yang luar biasa
iaitu Nabi Allah Musa, dan Hamba-Nya yang soleh yang dikatakan bernama Khidir
untuk menyelamatkan harta yang ditinggalkan oleh sang ayam yang telah pergi
selamanya, kepada dua orang anak yatim. Firman Allah;
وَأَمَّا ٱلۡجِدَارُ فَكَانَ
لِغُلَٰمَيۡنِ يَتِيمَيۡنِ فِي ٱلۡمَدِينَةِ وَكَانَ تَحۡتَهُۥ كَنزٞ لَّهُمَا وَكَانَ
أَبُوهُمَا صَٰلِحٗا فَأَرَادَ رَبُّكَ أَن يَبۡلُغَآ أَشُدَّهُمَا وَيَسۡتَخۡرِجَا
كَنزَهُمَا رَحۡمَةٗ مِّن رَّبِّكَۚ وَمَا فَعَلۡتُهُۥ عَنۡ أَمۡرِيۚ ذَٰلِكَ تَأۡوِيلُ
مَا لَمۡ تَسۡطِع عَّلَيۡهِ صَبۡرٗا
Adapun tembok itu
pula, adalah ia dipunyai oleh dua orang anak yatim di bandar itu; dan di
bawahnya ada "harta terpendam" kepuyaan mereka; dan bapa mereka
pula adalah orang yang soleh. Maka Tuhanmu menghendaki supaya mereka cukup
umur dan dapat mengeluarkan harta mereka yang terpendam itu, sebagai satu
rahmat dari Tuhanmu (kepada mereka). Dan (ingatlah) aku tidak melakukannya
menurut fikiranku sendiri. Demikianlah penjelasan tentang maksud dan tujuan
perkara-perkara yang engkau tidak dapat bersabar mengenainya".
-Sura Al-Kahf, Ayah
82
Atas sebab apakah tumpuan dan perhatian Allah swt cukup istimewa
kepada dua anak yatim tadi? Memang anak yatim mendapat perhatian istimewa,
tetapi bagi dua anak yatim dalam kisah ini, ia lebih istimewa. Dan jawapannya
kita ketemui pada frasa, dan bapa mereka pula adalah orang yang soleh.! Ya!
Kerana kesolehan si bapa yang telah pergi meninggalkan dunia yang sementara ini
telah menjadi asbab Allah mengutus para hamba yang terbaik untuk memelihara
anak yatim tadi!
Jadi, mungkin begitulah Allah melindungi ahli keluarga kita,
apabila kita sudah tiada di samping mereka. Kesungguhan, kesolehan, keikhlasan
dan amal-amal kita akan menjadi asbab untuk Allah membantu kita mengurus dan
memelihara ahli keluarga kita. Tidaklah saya katakan, kami merupakan utusan
tuhan untuk menjaga dan memelihara Ikhwan, dalam konteks cerita tadi, tetapi
sedikit sebanyak somehow it’s relatable. Berkat kesungguhan Cikgu Sarimah
mendidik anak bangsa, maka Allah ‘ganjari’ dengan menjaga serta memelihara perjalanan
hidup si anak, ketika si ibu tiada di sisi!
Begitulah kita yakin, berdoa dan berharap, usaha dakwah kita
yang kecil, masa yang kita sumbangkan untuk islam sehingga sedikit sekali
tersisa untuk kita berikan perhatian kepada keluarga, saudara-mara dan kenalan,
akan menjadi asbab untuk Allah mengutus para hamba-Nya dalam kehidupan keluarga,
saudara mara dan kenalan kita. Semoga kesolehan kita ini mengesani dan memberi
limpahan kebaikan kepada orang-orang di sisi kita walaupun kita tidak lagi bersama mereka, apatah setelah kita berkunjung ke alam sana!